Banyak perkara yang wajar dipersoalkan mengenai sistem PBS.
Sistem yang melatih ibu bapa dan pelajar jadi pak turut (yes sir) kerana terpaksa akur dengan apa jua keputusan guru. Kalau tak, takut anak-anak jadi mangsa diskriminasi.
Apa istimewanya penilaian berdasarkan sekolah ni kalau setakat prestasi murid dinilai mengikut pandangan guru yang buat penilaian berdasarkan angka dan huraian yang diberi. Sedangkan ia tidak pun bawa sebarang kredit dan nilai tambah kepada pentafsiran akademik.
Apa maknanya mendapat band 6 dalam semua mata pelajaran kalau keputusan masih berdasarkan merit dalam peperiksaan? Sama jugalah dengan masa lalu bila kecemerlangan diukur dengan peperiksaan, sedangkan alasan yang diberi KPM ialah semua ini atas kehendak penjaga. Ini sesuatu yang mengarut!
Disebabkan PBS dan PT3 ini sesuatu yang baru, maka banyak masa guru dihabiskan untuk berseminar dan kursus yang menyebabkan banyak juga masa murid terbiar dan merugikan.
Pelajar yang terlibat dalam PBS dan PT3 ini juga adalah murid yang sama turut menjadi perintis dalam perlaksanaan PBSMI Kementerian Pendidikan. Jangan nanti disebabkan banyak rungutan, maka tahun depan KPM akan mansuhkan pula PBS dan PT3, hanya sekadar menjadikan anak-anak sebagai bahan ujikaji.
Apakah kriteria kecemerlangan pihak KPM sebenarnya? Kriteria ini perlu jelas supaya rakyat benar-benar faham. Jika mengambil kira prestasi Kerajaan BN di PRU14 kelak, pihak KPM perlu sedar bahawa setiap pelajar yang terkesan dengan sistem PBS dan PT3 ini pasti akan menyebabkan Kerajaan BN akan kehilangan 2 undi iaitu ibu dan bapa murid yang kecewa dengan sistem yang diperkenalkan KPM ini. Maka terpulanglah kepada pembangkang untuk mengambil kesempatan memainkan isu ini.
Setelah mengambil kira KBAT band berdasarkan subjek yang kononnya melibatkan keputusan holistik, maka apa kaitan sumbangan keputusan akademik secara spesifiknya? Apa pula kayu ukur KPM untuk buat keputusan bagi kemasukan pelajar yang berminat ke asrama penuh? Patutkah diadakan ujian pemilihan kemasukan ke SBP sepertimana yang telah dilaksanakan MRSM sekian lama yang tidak sekadar mengukur pencapaian pelajar berdasarkan keputusan akedemik? Permohonan sepatutnya merangkumi keputusan PBS seiring keputusan akademik minima..barulah boleh dikatakan betul dan adil.
Bukankah keputusan peringkat awal PBS sepatutnya membawa markah tertentu untuk menentukan markah dalam peperiksaan PT3? Kenapa kini keputusan itu boleh hilang begitu saja?
PT3
Sebelum ini apabila ramai pihak mempertikai mengapa diwujudkan PT3, alasan KPM kononnya kerana mengikut dan memuaskan kehendak ibu bapa.
Memanglah ada kewajaran untuk diadakan suatu tanda aras bagi menentukan tahap kemajuan anak-anak kita, tapi kaedahnya perlulah ada kewajarannya. Mengambil contoh penilaian PT3, mengapa soalan bagi semua subjek mengandungi tiga set soalan berlainan? Malah bagi subjek sains, terdapat enam set soalan berlainan. Walau apa pun alasan dan kriteria penyelesaian sebagai pelarasan dalam menentukan markah, ia pasti tidak akan sama dan inilah yang dipertikaikan.
Bagaimana pula dengan pemilihan set soalan yang dilakukan oleh pihak sekolah? Yang dimaksudkan di sini, guru guru pastinya terlibat dan sudah tentu mengetahui apakah bentuk atau corak soalan lebih awal. Walaupun boleh saja diberikan alasan ianya dilakukan secara rahsia, tapi siapa boleh menafikan yang soalan-soalan ini telah diketahui dulu oleh sesetengah pihak? Sedangkan peperiksaan PMR dan UPSR yang dikawal ketat pun dikesan wujud kebocoran, inikan pula PT3.
Pemeriksa yang terdiri dikalangan guru sekolah itu sendiri juga boleh dikatakan satu kelompangan kerana ia pasti tidak dapat lari daripada sikap pilih kasih guru terhadap murid kegemarannya; sementelah guru itu sendiri maklum siapa pelajar yang dinilai mereka.
Berbeza dengan PMR, UPSR dan SPM yang mana para pemeriksa kertas jawapan tidak mengetahui kertas pelajar mana yang disemak, adalah lebih adil method-nya.
Walaupun markah diberi mengikut format atau apa jua istilah yang diberikan KPM, pegawai penafsir yang hanya berpandukan 10% soalan dan penandaan markah daripada keseluruhan, cukup untuk dijadikan penanda aras yang kononnya boleh dianggap sebagai kaedah penandaan pemarkahan yang betul. Adakah ianya boleh diterima pakai walau apa pun alasannya?
Bagaimana pula jika tahap peratusan cemerlang bagi pelajar yang mendapat semua A merudum teruk jika dibandingkan dengan tahun-tahun sebelumnya? Bagaiman pula dengan pelajar yang gagal di SBP? Adakah mereka juga patut disingkirkan dari SBP? Dan bagaimana dengan nasib pelajar yang memohon SBP?
Dalam rangka membentuk para pelajar ke arah pencapaian aras tinggi dan holistik, adakah keputusan pihak KPM diambil kira secara spesifik? Kalau setakat ikut kaedah lama saja maka tiada apalah perubahannya. Baik jangan diadakan langsung PT3 dan kekalkan saja PMR.
Di Malaysia ni dah terlalu kerap perubahan yang dilakukan KPM. Setiap kali menteri bertukar, mesti ada perubahan sebab para menteri terlalu ghairah nak tinggalkan legasi masing-masing hingga tergamak memperjudikan nasib dan masa depan anak-anak yang tak faham apa-apa, dengan bahasa bakunyalah, clusternyalah etc. Yang jadi mangsa ialah rakyat marhaen!
Kerajaan terutama KPM janganlah terlalu mendengar pandangan pengampu-pembodek pembuat dasar yang telah banyak merumitkan perkara yang sepatutnya mudah. Kalangan pembuat dasar ni, ramai yang boleh dipertikaikan keikhlasan mereka sebenarnya.
UMNO/BN telah diberi mandat setiap kali PRU untuk menolong rakyat terutama orang Melayu luar bandar yang setia mengundi parti itu. Jangan sampai rakyat hilang kepercayaan hingga buka ruang kepada pihak pembangkang untuk memanipulasi perkara seperti ini!
Nota: Artikel di atas adalah nukilan saudara 'Apak Warisan' yang diemailkan kepada kami.