Indeks Memberi Dunia Yayasan Bantuan Kebajikan (CAF) kata Myanmar negara paling pemurah di dunia. Apa barang CAF ni..betul ke tak dapatan kajian yang dibuatnya tu? Macamana Myanmar boleh jadi negara paling pemurah sedangkan Malaysia jauh lebih maju dari segala segi berbanding Myanmar sepatutnya yang dapat gelaran paling pemurah tu!!
Bukan ke sejak 2010 kerajaan BN dengan pemurahnya bagi BR1M pada rakyat Malaysia. Dan setiap tahun pemberian tu makin bertambah. Kalau tahun lepas kerajaan bagi BR1M RM5.9 bilion, tahun 2017 nak dekat2 PRU ni pulak kerajaan BN up lagi jadi RM6.8 billion yang bagi manfaat kepada 7 juta rakyatnya. Itu tak dikira pemurah lagi ke tu wahai CAF? Sebab tu la kita pertikaikan pilihan CAF ni. Sebab kita memang ada bukti yang Malaysia lebih pemurah.
Itu belum campur lagi rakyat Malaysia dengan sukarelanya tolong bayarkan hutang RM53 billion sebuah syarikat yang MO1 jadi penasihat veto Akta 117 tu. Entah duit tu didermakan pada siapa pun rakyat Malaysia tak tau! Entah buat beli apartment ka..entah buat beli lukisan ka..entah buat filem lucah ka..entah buat bayar hutang judi ka..entah buat belanja kenduri dengan Paris Hilton ka..entah buat shoping kat Hawaii dengan Jakel ka..tapi rakyat tetap istiqamah tolong bayarkan pakai GST. Fakta ni adalah bukti paling win menunjukkan betapa pemurahnya rakyat Malaysia di dunia ni!!
Dan yang sepatutnya dapat tempat kedua negara paling pemurah ialah Arab Saudi aka Dunia Lain. Ini bukan sebarang dakwa ok..ada bukti jelas termasuk pengakuan si pemilik akaun Ambank yang mengaku secara langsung di TV nombor 3 bahawa ada anak raja Arab pernah derma RM2.6 bilion ke dalam akaun MO1. Derma terbesar dalam sejarah dunia kleptokrasi tuuuu...jadi sepatutnyalah Arab Saudi jadi negara kedua paling pemurah selepas Malaysia. Walaupun buruk siku duit tu dipulang semula..tapi dedak..ops..derma tetap derma hokey!!
Cuma satu je kajian CAF yang kita setuju iaitu China ranking paling bawah dalam bab derma2 ni. Dorang kalau derma sesama sendiri je pemurah. Kalo bukan sekaum dengan mereka bukan main kudukut la..kat mana2 pun sama je perangai dorang ni. Jadi bab ni kita setuju la dengan CAF. Cuma mintak tolong CAF kaji balik la ranking nombor satu Myanmar tu sebab rasanya Malaysia dan Arab Saudi lebih layak duduk di dua tangga teratas. Sekian, I rest my case.
*********
MYANMAR dinamakan sebagai negara paling pemurah di dunia untuk tahun ketiga berturut-turut, demikian menurut Indeks Memberi Dunia Yayasan Bantuan Kebajikan (CAF). Indeks tahunan itu diperoleh daripada purata 1,000 responden setiap negara yang keseluruhannya melibatkan 140 negara. Ia mengambil kira tiga aspek penting iaitu membantu orang tidak dikenali, menderma wang dan kesukarelawan. Bagaimanapun, kedudukan Singapura lebih baik tahun ini apabila berada di tempat ke 28 iaitu meningkat enam tangga berbanding tahun lalu. Ia kedudukan terbaik sejak indeks ini dilancarkan pada 2010. Republik itu memperbaiki kedudukannya daripada segi membantu orang tidak dikenali dan menderma. Separuh daripada responden di Singapura didapati membantu orang tidak dikenali, manakala enam daripada 10 atau 58 peratus menderma tahun lalu. Bagaimanapun, aspek kesukarelawan menurun dari 27 kepada 23 peratus.
Situasi berbeza di Myanmar apabila sembilan daripada 10 responden menderma wang untuk tujuan kebajikan. Menurut indeks itu, penduduk Myanmar bermurah hati kerana mematuhi ajaran agama Buddha.
Selain itu, Amerika Syarikat, Australia, New Zealand dan Sri Lanka tersenarai antara lima negara teratas yang mengamalkan sikap pemurah. Bagaimanapun, China menduduki tangga paling bawah kerana mencatat mata dari segi kesukarelaan dan derma yang rendah. - Sumber
1.Saya mengucapkan terima kasih di atas peluang yang diberikan kepada saya untuk mengambi bahagian dalam perbahasan Bajet 2017. Saya mengambil peluang ini untuk menyentuh beberapa perkara asas berkaitan dengan bajet dan pengurusan ekonomi negara.
2.Pertamanya ialah mengenai tadbirurus ekonomi (economic governance). Bercakap mengenai soal ini, saya tidak dapat lari daripada menyentuh satu isu yang amat menggelisahkan kita hari ini iaitu isu 1MDB.
3.Dahulu saya duduk di sebelah sana dan hari ini saya berdiri di sebelah sini pun kerana saya bercakap mengenai isu 1MDB. Saya meragui kewajaran Perdana Menteri menubuhkan 1MDB dan menjadi Pengerusi Lembaga Penasihatnya. Saya mempersoalkan mengapa 1MDB yang bermodal hanya RM1 juta tetapi menanggung liabiliti sehingga RM42 bilion disebabkan kerugian dan kehilangan wang yang tidak diketahui sebabnya. Akhirnya 1MDB menghadapi masalah kecairan wang tunai yang teruk sehingga tidak dapat membayar hutang piutangnya. Saya juga bertanya ke mana wang 1MDB lesap dan bagaimana sejumlah RM2.6 billion dijumpai dalam akaun peribadi Malaysian Official One?
4.Banyak perkara yang saya bangkitkan mengenai skandal 1MDB ketika saya masih di dalam kerajaan. Saya tidak bersetuju dengan Perdana Menteri hampir dalam semua perkara yang melibatkan 1MDB. Semasa di dalam kerajaan saya menolak pelan rasionalisasi 1MDB untuk menyelesaikan hutang-hutang yang bertimbun menerusi penjualan aset-asetnya yang diperolehi dengan harga yang murah daripada kerajaan kerana saya percaya ada elemen-elemen terselindung yang tidak dijelaskan dengan nyata. Pelan tersebut tidak dibuat oleh pihak pakar yang bebas, tetapi disediakan secara dalaman sahaja oleh Kementerian Kewangan. Seolahnya Malaysian Official One ingin menyembunyikan fakta-fakta penting mengenai penyelewengan 1MDB daripada diketahui oleh pihak lain.
5.Malah, selepas mesyuarat kabinet saya menghubungi mantan Peguam Negara dan bertanyakan beliau adakah wajar kabinet memutuskan pelan penstrukturan semula 1MDB. Bukankah itu tanggungjawab Lembaga Pengarah 1MDB? Peguam Negara bersetuju dengan pandangan saya dan kemudiannya keputusan kabinet ditukar daripada meluluskan pelan rasionalisasi 1MDB kepada mengambil maklum sahaja tentang cadangan tersebut. Jelas terbukti sekarang bahawa teguran saya terhadap pelan rasionalisasi 1MDB yang dibentangkan oleh Ahli Parlimen Tambun sebagai Menteri Kewangan II pada ketika itu adalah berasas bilaman apa yang diluluskan oleh Jemaah Menteri tidak dilaksanakan malahan apa yang berlaku hari ini berlainan sekali dari apa yang sepatutnya dilaksanakan.
6.Begitu juga apabila kabinet diminta meluluskan pembiayaan sebanyak RM3 bilion kepada 1MDB untuk membayar faedah pinjamannya. Saya berasa amat tidak selesa dengan keputusan itu. Bilamana syarikat 1MDB ditubuh, kabinet langsung tidak dirujuk. Kehilangan wang berbilion ringgit pun tidak tidak dilapor kepada kabinet. Tetapi apabila syarikat ini menghadapi masalah untuk membayar hutang, barulah Perdana Menteri merujuk kepada kabinet untuk meminta sejumlah wang yang besar daripada kerajaan. Ini suatu tindakan yang amat tidak bertanggungjawab dan bertentangan dengan prinsip tadbirurus ekonomi yang baik. Tiada ketelusan dan akuntabiliti. Saya amat tidak bersetuju dengan tindakan itu. Akhirnya, keputusan untuk meluluskan pembiayaan sebanyak RM3 bilion kepada 1MDB ditukar kepada kredit tersedia sebanyak RM950 juta.
7.Akhirnya, apabila masalah 1MDB menjadi semakin parah, kerajaan terpaksa menanggung semua hutang-piutang 1MDB yang asalnya berjumlah RM42 bilion dan sehingga tahun lalu meningkat kepada RM53 bilion. Jumlah ini akan meningkat dari masa ke semasa apabila ditambah faedah yang mesti dibayar. Ini adalah satu kerugian yang amat besar kepada rakyat kerana wang rakyat terpaksa digunakan untuk membayar hutang 1MDB. Adakah wajar rakyat menanggung beban hutang sedangkan wang 1MDB telah dicuri dan disalahgunakan sewenang-wenangnya oleh Malaysian Official One dan konco-konconya untuk berfoya-foya dan bermewah?
8.Saya berdoa semoga Malaysian Official One diberikan hidayah oleh Allah s.w.t. untuk mengakui kesilapannya, memohon maaf dan bertaubat nasuha di atas segala kemungkaran yang dilakukan. Rakyat yang bermaruah pastinya tidak akan bertolak ansur dengan kemungkaran. Malah adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk melawan dan mengubah kemungkaran. Sepertimana sabda Rasulullah s.a.w dalam sebuah hadith sahih:
Yang bermaksud:
Barangsiapa yang melihat kemungkaran, maka ubahlah ia dengan tangannya (yakni kuasa), jika tidak mampu maka (ubahlah) dengan lisannya, jika tidak mampu maka (ubahlah) dengan hatinya, dan itu adalah selemah-lemah iman.
9.Keduanya ialah tentang institusi-institusi penting negara seperti Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Bank Negara Malaysia dan Polis DiRaja Malaysia yang gagal berfungsi atau menjadi, dengan izin, dysfunctional. Institusi-institusi ini telah disalahgunakan oleh Malaysian Official One untuk melindungi kesalahan jenayah besar yang telah dilakukannya. Peguam Negara dipecat, pegawai-pegawai SPRM ditukar dan dibersarakan, Gabenor Bank Negara diugut dan Ketua Polis Negara telah gagal melaksanakan amanah.
10.Integriti institusi-institusi ini semakin dipersoalkan. Ketika pihak berkuasa di luar negara mengambil tindakan undang-undang ke atas pihak-pihak yang terlibat dalam kegiatan pengubahan wang haram yang ada kaitan langsung dengan 1MDB, di Malaysia seolahnya tiada apa yang berlaku. Di Amerika Syarikat, Peguam Negara memfailkan saman ke atas individu-individu yang dikaitakan dengan 1MDB, termasuk anak tiri Najib Razak. Peguam Negara Amerika Syarikat menemui bukti-bukti kukuh mengenai perlakuan jenayah kleptokrasi yang terbesar dalam sejarah dunia yang melibatkan kehilangan wang berjumlah sekurang-kurangnya US$3.5 bilion atau RM28 bilion. Di Singapura, beberapa buah bank ditutup kerana terlibat dalam kegiatan pengubahan wang haram yang ada kaitan dengan 1MDB. Di Switzerland, pihak berkuasa kewangan negara itu mendapati beberapa buah bank melanggar undang-undang mengenai pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan transaksi 1MDB. Semuanya bertumpu kepada skandal 1MDB yang mana Pengerusi Lembaga Penasihatnya adalah Perdana Menteri.
11.Tetapi di Malaysia tiada apa yang berlaku. Kenapa senyap sunyi? Seolah-olah siasatan terhadap salahlaku oleh mereka yang terlibat secara langsung dalam skandal 1MDB tidak dikuatkuasakan! Siasatan terhadap bekas CEO Shahrul Halmi tidak diambil. Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah yang berhenti tidak disiasat dan dilepaskan begitu saja. Tiada seorang pun dipecat atau dihadapkan ke mahkamah atas salahlaku yang dibuat oleh mereka. Yang nyata seolah-olah segala yang berlaku ini disahkan oleh Perdana Menteri. Peguam Negara yang baharu pun tidak menemui sebarang bukti untuk mendakwa sesiapapun yang terlibat dalam skandal 1MDB. Walaupun ada bukti RM42 juta wang SRC International masuk ke dalam akaun Perdana Menteri, tetapi Peguam Negara mendapati Perdana Menteri tidak melakukan apa-apa perbuatan jenayah. Pelik dan ajaib! Kalau seringgit pun duit syarikat milik kerajaan masuk ke dalam akaun penjawat awam tanpa ada sebab munasabah merupakan satu perbuatan rasuah, inikan pula RM42 juta masuk ke dalam akaun Perdana Menteri. Bagaimana Peguam Negara boleh mengatakan ini bukan perbuatan rasuah? Betapa rosaknya institusi Peguam Negara di bawah telunjuk Malaysian Official One!
12.Seingat saya janji kerajaan bahawa isu dan masalah 1MDB ini akan diselesaikan pada tahun 2016 sebagaimana yang dibuat dalam cadangan rasionalisasi 1MDB hanya merupakan khayalan yang tidak mampu dilaksanakan dengan berlalunya tahun 2016 tidak lama lagi. Benarlah sebagaimana yang disebutkan oleh Ketua Audit Negara mengenai 1MDB bahawa tahap pematuhan (compliance) dengan tadbir urus korporatnya adalah di tahap paling lemah.
13.Isu ketiga yang saya ingin bangkitkan di Dewan yang mulia ini ialah tentang kedudukan kewangan kerajaan yang semakin meruncing dan ketahanan ekonomi negara yang kian lemah.
14.Jelas, bajet untuk tahun hadapan dibentangkan dalam keadaan hasil kerajaan merosot hampir 10 peratus yang sebahagian besarnya disebabkan oleh kejatuhan harga minyak dunia. Purata harga minyak dunia telah jatuh daripada US$100 setong pada tahun 2014 kepada kira-kira US$52 pada tahun 2015, dan kini dengan purata kira-kira US$42. Akibat kemerosotan hasil kerajaan, defisit bajet negara kita telah meningkat kepada hampir 4 peratus pada bulan Ogos 2016. Begitu juga dengan hutang kerajaan yang semakin membebankan. Pada bulan Jun 2016, hutang kerajaan dilaporkan berjumlah RM655.7 bilion atau 53.2 peratus kepada KDNK. Jika diambil kira hutang 1MDB yang kini berjumlah lebih RM50 bilion, yang sebahagian besarnya dijamin oleh kerajaan, hutang kerajaan kepada KDNK adalah melebihi had 55 peratus yang ditetapkan.
15.Ini menunjukkan bahawa kedudukan kewangan kerajaan amat meruncing. Dengan bayaran faedah bagi hutang kerajaan meningkat daripada RM20.3 bilion pada tahun 2013 kepada RM28.9 bilion pada tahun 2017, kutipan cukai GST sebanyak RM30 bilion nampaknya akan habis digunakan untuk menampung bayaran faedah sahaja.
16.Malah, jika dilihat akan unjuran pendapatan tahun hadapan sekitar RM220 bilion, kerajaan mencadang akan membelanjakan sebanyak 97% daripada pendapatan negara untuk perbelanjaan mengurus. Ini amat merisaukan. Hanya lebih kurang RM5 billion sahaja yang ada untuk perbelanjaan pembangunan, maka dengan itu kerajaan terpaksa berhutang lagi sebanyak RM40 bilion untuk perbelanjaan pembangunan pada tahun hadapan.
17.Lebih merisaukan kita ialah ketahanan ekonomi Malaysia yang semakin lemah. Hutang isirumah telah meningkat secara mendadak daripada RM90 bilion pada tahun 1997 kepada RM847 bilion pada tahun 2015, iaitu pertumbuhan hutang sebanyak 841 peratus. Hari ini, hutang isirumah Malaysia mencecah 89.9 peratus kepada KDNK, iaitu antara yang tertinggi di Asia.
18.Saya bimbang dalam keadaan hutang kerajaan dan isirumah meningkat, rizab antarabangsa berkurangan, nilai ringgit jatuh, harga komoditi rendah dan kadar inflasi tinggi, negara kita tidak mampu bertahan jika berlaku serangan sepekulasi matawang, na’uzubillahi min zalik. Ketika ringgit kita diserang pada tahun 1997 sekurang-kurangnya rizab antarabangsa kita masih kukuh, harga komoditi masih tinggi dan kerajaan mempunyai sumber kewangan yang mencukupi untuk melaksanakan langkah-langkah rangsangan ekonomi dan mengeluarkan negara daripada krisis.
19.Malangnya, bajet 2017 yang dibentangkan oleh Malaysian Official One langsung tidak menunjukkan bahawa kerajaan serius serta mempunyai pelan yang jelas untuk memulihkan ekonomi negara dan mempersiapkan Malaysia bagi menghadapi sebarang kemungkinan buruk yang akan berlaku akibat ketahanan ekonomi negara yang lemah.
Tuan Yang di-Pertua,
20.Di awal ucapan saya tadi, saya menyebut tentang isu 1MDB. Mungkin ada yang mempersoalkan mengapa saya membangkitkan isu ini. Apa kaitannya dengan bajet? Apa kaitannya dengan kepentingan rakyat?
21.Kaitannya dengan bajet adalah jelas. RM53 bilion hutang 1MDB kini ditanggung oleh kerajaan. Tetapi malangnya, Malaysian Official One tidak menjelaskan secara terperinci bagaimana hutang piutang ini hendak dibayar oleh kerajaan.
22.Persoalannya, adakah kerajaan mempunyai sumber kewangan yang mencukupi untuk melunaskan hutang piutang ini? Tentunya segala tanggungan ini perlu dilunaskan dengan menggunakan sumber dana kerajaan, iaitu sumber sama yang diagihkan kepada kementerian-kementerian dan agensi-agensi kerajaan dalam bajet yang dibentangkan. Apakah nantinya kementerian-kementerian akan menerima peruntukan yang lebih kecil berbanding apa yang dijanjikan di dalam bajet kerana kerajaan terpaksa menggunakan sumber yang sedia ada untuk membayar hutang piutang yang ditanggung akibat penyelewengan dan kepincangan dalam tadbir urus negara? Persoalan ini mesti dijelaskan oleh Malaysian Official One.
23.Isu 1MDB juga mempunyai kaitan langsung dengan rakyat. Saya berjumpa dengan orang ramai dan bertanya kepada mereka 1MDB ini milik siapa? Mereka jawab milik Najib. Ada yang jawab milik Rosmah. Saya kata salah! 1MDB milik rakyat! Kemudian saya bertanya, siapa akan membayar hutang 1MDB? Mereka jawab rakyat akan bayar!
24.Rakyat sebenarnya cerdik. Mereka tahu skandal 1MDB membawa padah secara langsung ke atas nasib mereka. Yang cuba menafikan hakikat ini hanyalah Menteri-Menteri, pegawai-pegawai JASA dan cybertroopers UMNO yang sememangnya diupah untuk berbohong dan menegakkan benang yang basah!
25.Selain itu, skandal 1MDB mempunyai kesan negatif ke atas nilai ringgit yang menjunam. Ya, banyak faktor yang mempengaruhi kenaikan atau kejatuhan nilai matawang, tetapi skandal 1MDB adalah salah satu fakor utama yang mempengaruhi sentimen pasaran terhadap ringgit. Walaupun dikatakan asas ekonomi kita kukuh, tetapi kehilangan keyakinan terhadap Malaysia akibat skandal 1MDB menyebabkan nilai ringgit jatuh ke paras yang lebih rendah. Pakar-pakar ekonomi mengatakan berdasarkan perkiraan asas ekonomi, nilai ringgit kita tidak sepatutnya melebihi RM3.50 berbanding US$1.00. Yang lebih daripada itu adalah sentimen.
26.Sebab itu rakyat merungut mengenai kenaikan harga barang. Saya pergi ke pasar bertanya seorang makcik apa yang beliau beli? Katanya tak banyak tapi harganya lebih mahal daripada dahulu. Kalau dahulu dengan wang RM50.00 sudah boleh membeli barang satu bakul, sekarang dengan nilai yang sama hanya separuh bakul sahaja yang mampu dibeli.
27.Ini sebenarnya adalah kesan daripada kejatuhan nilai ringgit. Banyak barang makanan seperti sayur-sayuran, buah-buahan, beras, daging, kelapa dan lain-lain yang diimport. Apabila nilai ringgit jatuh, maka harga barang-barang ini akan menjadi lebih mahal. Jadi mana boleh dikatakan masalah 1MDB tiada kesan kepada rakyat. Kerana sentimen pasaran yang negatif terhadap negara kitalah, yang sebahagian besarnya disebabkan oleh skandal 1MDB, nilai ringgit kita jatuh, harga barangan yang diimport menjadi lebih mahal dan rakyat menanggung beban kos sara hidup yang tinggi.
Tuan Yang di-Pertua,
28.Saya ingin mengucapkan tahniah juga kepada Perdana Menteri. Beliau pandai menggunakan sumber yang ada untuk membina persepsi bahawa semuanya berada dalam keadaan yang baik. Dengan izin, everything is okay! Cash is King! Banyak gula-gula diberikan kepada rakyat dalam Bajet 2017. Tetapi gula-gula ini manisnya hanya sementara. Ia umpama candu ekonomi untuk membuatkan orang khayal sebentar dibuai mimpi yang indah-indah. Sedangkan penyakit sebenar ekonomi negara kita tidak dirawat. Ubat yang pahit tidak diberikan untuk memulihkan ekonomi negara yang sedang tenat.
29.Pembentangan bajet pada tahun ini pun agak berlainan berbanding tahun-tahun sebelum ini. Ada grandstanding. Ada props. Biasanya grandstanding dan props digunakan untuk mencantikkan sesuatu yang sebenarnya tidak cantik. Ia sekadar suatu silap mata untuk menutup kelemahan dalam pengurusan ekonomi negara. Kos sara hidup meningkat, hutang negara bertimbun, perniagaan perlahan, syarikat membuang pekerja, pengangguran meningkat, perbelanjaan pengguna menurun, hasil kerajaan merosot, peruntukan untuk kementerian-kementerian dipotong, wang dalam khazanah negara lesap dan sumber kerajaan digunakan untuk membayar hutang.
30.Namum, dalam keadaan yang meruncing sebegini pun, kita berasa amat kesal kerana kerajaan masih mengambil sikap, dengan izin, “business as usual”. Perbelanjaan untuk kebajikan rakyat seperti biasiswa, perkhidmatan kesihatan dan subsidi barangan asas telah dipotong, namun gaji dan elaun Menteri kekal seperti biasa. Malah projek-projek mega yang hanya menguntungkan beberapa kerat kroni diteruskan tanpa diusik sedikit pun. Tiada pun disebut dengan jelas bagaimana kerajaan bercadang menjana peluang pekerjaaan untuk mengatasi masalah kadar pengangguran semakin meningkat.
31.Baru-baru ini ketika para mahasiswa kita yang berada di dalam mahupun di luar negara keluh kesah kerana tidak menerima biasiswa seperti yang dijanjikan dan para pesakit terpaksa membayar sendiri kos perubatan di hospital-hospital kerajaan, Perdana Menteri dengan bangganya merasmikan projek pengindahan Taman Tugu Negara yang menelan belanja sebanyak RM650 juta. Nampaknya, kerajaan pimpinan Malaysian Official One ini lebih mementingkan pengindahan taman yang pastinya menguntungkan segelintir pihak daripada nasib para pelajar dan pesakit di negara kita yang amat memerlukan bantuan kerajaan.
32.Kerajaan juga nampaknya langsung tidak prihatin dengan masalah kos sara hidup rakyat. Ketika rakyat mengharapkan bantuan kerajaan untuk meringankan beban yang ditanggung, kerajaan sebaliknya menghapuskan subsidi minyak masak yang pastinya akan menyebabkan harga makanan meningkat dan menambah beban kos sara hidup rakyat. Sedangkan isu sebenar iaitu masalah ketirisan dalam pengagihan subsidi kerajaan tidak diatasi dengan baik. Misalnya, kerajaan menanggung kerugian sebanyak RM540 juta setahun akibat kegiatan penyeludupan minyak masak yang gagal dibendung oleh pihak berkuasa.
33.Ini tidak termasuk ketirisan-ketirisan lain. Berdasarkan kajian yang dibuat ke atas Laporan Tahunan Ketua Audit Negara, kerajaan mengalami kerugian antara RM23 bilion hingga RM40 billion setahun disebabkan kelemahan dalam penguatkuasaan dan gejala rasuah dan penyelewengan yang berleluasa.
34.Kita juga sedang berhadapan dengan pertumbuhan ekonomi yang semakin perlahan yang sebahagian besarnya disebabkan oleh persekitaran luaran yang lemah dan keyakinan terhadap ekonomi domestik yang merosot teruk. Dalam keadaan ini, fokus seharusnya diberikan kepada usaha untuk merangsang permintaan domestik. Ini bermakna, peruntukan perlu diberikan kepada sektor-sektor yang mewujudkan peluang pekerjaan, dan pada masa yang sama menghasilkan aliran masuk pertukaran asing. Elaun pelaburan semula bagi sektor-sektor ini perlu diperkenalkan dan projek-projek yang mempunyai kandungan import yang tinggi boleh ditangguhkan.
35.Nasib pekerja boleh dilindungi dengan memperkenalkan skim insurans pengangguran. Laporan Bank Negara Malaysia menunjukkan hanya 1 daripada 10 rakyat Malaysia boleh menyara hidup lebih daripada 6 bulan jika mereka kehilangan pendapatan utama. Kos sara hidup juga boleh dikurangkan dengan mengurangkan kos barangan makanan. Antara langkah sementara yang boleh diambil ialah menghapuskan GST untuk barangan runcit tertentu seperti susu tepung, kicap, sos cili dan barangan asas yang lain. Untuk mengurangkan beban kos perubatan, terutamanya bagi penyakit kritikal, kerajaan boleh mempertimbangkan pengeluaran wang simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk membeli insuran perubatan.
36.Inilah antara langkah-langkah yang sepatutnya diambil oleh kerajaan, bukannya menyuruh graduan yang telah melabur puluhan ribu ringgit untuk mendapatkan segulung ijazah menjual nasik lemak, ataupun rakyat berkerja siang dan malam sebagai pemandu Uber. Ini bukanlah penyelesaian yang rakyat harapkan daripada kerajaan. Tanpa disuruh oleh kerajaan pun mereka mungkin akan melakukan kedua-dua perkara ini untuk memperolehi rezeki yang halal dan menyara kehidupan.
Tuan Yang di-Pertua,
37.Bajet yang dibentangkan oleh kerajaan bukanlah satu bajet yang realistik. Ia langsung tidak memenuhi kehendak rakyat dari segi keperluan menangani kos sara hidup yang semakin meningkat. Ia juga tidak mengandungi satu perancangan yang jelas untuk merangsang pertumbuhan ekonomi negara, mewujudkan peluang-peluang pekerjaan baharu dan menambahkan pendapatan rakyat. Peruntukan kepada kementerian-kementerian yang bertanggungjawab menyampaikan perkhidmatan-perkhidmatan utama kepada rakyat seperti pendidikan dan kesihatan dipotong. Isu tadbirurus ekonomi (economic governance) tidak ditangani dengan baik sehingga menjejaskan keyakinan pelabur dan rakyat terhadap ekonomi negara.
38.Sebaliknya, pada pandangan saya, bajet 2017 hanya sarat dengan gula-gula politik sekadar untuk menutup segala kelemahan dan kepincangan Malaysian Official One yang telah mencuri dan merompak khazanah negara.
2. Mengapa kerajaan letak lebih kurang USD4 bilion (RM16 bilion) dalam Aabar PJS Limited yang bukan dimiliki oleh IPIC..iaitu sebuah syarikat yang dimiliki oleh 2 anak raja yang didaftar di British Virgin Islands?
3. Mengapa tindakan undang2 TIDAK DIAMBIL ke atas pengurusan 1MDB kerana masukkan duit ke syarikat yang tak betul?
4. Mengapa TIADA tindakan kepada 2 anak raja itu kerana penyelewengan wang tersebut?
5. Apa jadi dengan unit pelaburan bernilai lebih kurang USD1 bilion yang sepatutnya matang pada tahun lalu tetapi sehingga kini rakyat tidak dimaklumkan apa yang berlaku?
6. Apa terjadi dengan Binding Term Sheet dengan IPIC? Mengapa 1MDB tidak memenuhi perjanjian tersebut sehinggakan IPIC kemukakan SAMAN melalui arbitration sebanyak USD6.5 bilion yang bersamaan dengan RM26 bilion?
7. Apa jadi kepada penjualan Bandar Malaysia? Kerajaan jual 60% pegangan kepada syarikat daripada negara China dan membiarkan bayaran dibuat hanya pada tahun 2022. Syarikat China ambil untung dulu..kemudian baru bayar? Keputusan ini meletakkan risiko perniagaan dan risiko pembayaran kepada 1MDB dan kerajaan. Mana kita tahu tahun 2022 pembayaran akan dibuat? Dan minoriti shareholding adalah daripada 2 syarikat daripada Malaysia? Siapa pemilik 2 syarikat Malaysia ini?
8. Switzerland kini mengambil tindakan undang2 terhadap bank dan individu yang terlibat dengan skandal pengubahan wang haram 1MDB..begitu juga dengan British. Di Singapura..2 bank telahpun ditutup disebabkan penglibatan mereka dalam jenayah pengubahan wang haram 1MDB. Tapi apa dah jadi dengan undang2 Malaysia yang 1MDB sendiri ditubuhkan di negara ini?
9. Kemudiaan saya bangkitkan soal SRC, mengapa Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) berikan pinjaman sebanyak RM4 bilion dan draw down sekaligus? Biasanya bagi pinjaman, draw down, kita bagi ikut progress payment dan bukannya sekaligus sebagaimana pinjaman kepada SRC. Dan tujuannya SRC ini ditubuhkan adalah untuk terlibat dalam bidang perlombongan, tapi akhirnya perbelanjaan hanya lebih kurang RM400 juta sahaja yang digunakan dalam perlombongan. Jadi kemana hilangnya dana US$1.6 bilion yang berbaki itu yang kononnya dalam bentuk pelaburan?
10. Isunya mengapa KWAP tidak ambil tindakan sedangkan wang itu tidak digunakan spesifik untuk perlombongan dan baki yang tidak digunakan itu sebahagiannya ada dalam akaun BSI di Switzerland yang telahpun dibekukan oleh pihak berkuasa monetary. Jadi apa tindakan KWAP seterusnya untuk berbincang dengan SMA..sekaligus mendapatkan semula wang pinjaman milik rakyat yang telah hilang itu?
p/s: Husni selaku mantan Menteri Kewangan II sudah pasti tahu jawapannya..cuma sengaja nak MO1 sendiri kantoi menjawab di Parlimen. Kalo Husni sendiri sebagai Menteri Kewangan yang bertanggung jawab terus kepada 1MDB dulu pun masih ragu serta blur dengan Najib dan 1MDB..so para menteri..dedakian serta pencacai semua tak payah nak paloi sangat la konon lebih tau daripada Husni!!
Najib selaku orang yang bertanggungjawab sepenuhnya ke atas 1MDB selaku PM, Menteri Kewangan dan Penasihat 117 yang berkuasa veto dalam 1MDB, seharusnya tampil menjawab. Takkan la Najib seBANGANG (pinjam ayat Najib sendiri) itu mahu pegang segala jawatan..tapi mengaku tak tahu apa2?
Perdana Menteri dan seluruh anggota kabinet mesti mengambil tanggungjawab sepenuhnya di atas skandal penyelewengan 1MDB yang yang satu demi satu didedahkan oleh pasukan penyiasat antarabangsa. Terbaharu, Swiss Financial Market Supervisory Authority (FINMA) mengesahkan berlakunya kegiatan penggubahan wang haram dalam urusniaga BSI Bank di Singapura yang melibatkan 1MDB. Menurut kenyataan yang dikeluarkan pada 24 Mei 2016, FINMA yang menjalankan prosiding penguatkuasaan ke atas pegawai-pegawai BSI Bank di Singapura mendapati kegiatan penggubahan wang haram ini melibatkan urusniaga berjumlah ratusan juta dollar Amerika Syarikat dalam 100 akaun di bank berkenaan.
Siasatan FINMA mendapati dalam tempoh antara 2011 hingga April 2015, pihak bank telah gagal mengenalpasti urusniaga-urusniaga dalam skala besar yang berisiko tinggi mahupun menjelaskan sumber aset-aset yang diurusniaga. Kesemua urusniaga ini adalah berkaitan dengan perniagaan yang melibatkan individu-individu yang terdedah secara politik (politically exposed persons) yang mempunyai hubungan dengan 1MDB.
Beberapa fakta penting yang didedahkan oleh FINMA menunjukkan pihak bank bersubahat dalam kegiatan penggubahan wang haram yang berlaku dalam skala yang besar. Antaranya:
· Pihak bank berpuashati dengan penjelasan pelanggan, iaitu individu yang mempunyai hubungan dengan 1MDB, bahawa deposit berjumlah AS$20 juta dollar (RM81.6 juta) adalah ‘hadiah’;
· Sejumlah AS$98 juta dollar (RM400 juta) dikreditkan dalam satu akaun tanpa dijelaskan latrabelakang komersilnya;
· Dalam banyak kes, terdapat bukti urusniaga ‘pass-through’ yang membayangkan berlakunya kegiatan penggubahan wang haram. Dalam satu kes, sejumlah AS$20 juta dollar (RM81.6 juta) dipindahkan ke dalam beberapa akaun di bank berkenaan pada hari yang sama sebelum dipindahkan ke dalam akaun di sebuah bank lain; dan
· Pihak bank menjalankan urusniaga-urusniaga lain yang melibatkan sejumlah wang yang serupa walaupun dalam sesetengah kes penjelasan dan dokumen kontrak yang diperolehi adalah bertentangan dengan tujuan akaun-akaun berkenaan dibuka.
Kesemua fakta ini menunjukkan telah berlaku aktiviti penggubahan wang haram dalam skala besar yang melibatkan wang berjumlah ratusan juta dollar dalam urusniaga yang dikaitkan dengan 1MDB.
Peguam Negara Switzerland, Micheal Lueber, sebelum ini telah mendedahkan bahawa sejumlah AS$4 billion dollar (RM16.3 billion) wang 1MDB dikhuatiri telah dilesapkan (misappropriated). Selain itu, berdasarkan laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara, sejumlah AS$7 billion dollar (RM28.6 billion) tidak dapat dikesan, atau dalam erti kata lain telah lesap. Adakah pendedahan FINMA mengenai aktiviti penggubahan wang haram di BSI Bank di Singapura adalah sebahagian daripada wang 1MDB yang dikatakan telah lesap itu?
Selain itu, Wall Street Journal telah mendedahkan sekeping surat daripada Bank Negara Malaysia kepada Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara, YB Dato' Hassan Ariffin. Surat ini mengesahkan bahawa syarikat Good Star Limited yang telah menerima bayaran sejumlah AS$1.03 billion dollar (RM4.2 billion) daripada 1MDB adalah milik Jho Low iaitu kenalan rapat anak tiri Perdana Menteri, Riza Aziz, yang kini sedang disiasat oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat kerana membeli hartanah bernilai ratusan juta dollar di negara itu dengan menggunakan sumber dana yang diragui.
Ini adalah bukti penyelewengan terbesar dalam skandal 1MDB. Bagaimana bayaran yang sepatutnya dibuat kepada syarikat usahasama 1MDB dan Petrosaudi telah dimasukkan ke dalam akaun sebuah syarikat milik individu yang tiada kaitan dengan usahasama tersebut. Lebih mencurigakan individu ini mempunyai kaitan rapat dengan keluarga Perdana Menteri dan diketahui menjadi orang perantara dalam urusan-urusan 1MDB yang melibatkan Perdana Menteri sendiri. Saya menggesa supaya pihak berkuasa di Malaysia bersikap lebih telus dan serius dalam menjalankan siasatan ke atas 1MDB. Agak malang apabila pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sehingga ke hari ini tidak diberikan kebenaran untuk mendapatkan Mutual Legal Assistance (MLA) bagi mengumpul bukti-bukti mengenai penyelewengan1MDB dan SRC International di luar negara.
Agak malang juga apabila Peguam Negara mendapati tiada apa-apa bukti salahlaku yang membolehkan pihaknya mendakwa mana-mana individu yang terbabit dalam skandal 1MDB. Sedangkan hasil siasatan FINMA ke atas BSI Bank menunjukkan terdapat bukti-bukti salah-laku yang kukuh untuk mendakwa dan seterusnya mensabitkan pihak-pihak yang berkenaan dengan kesalahan jenayah. Malah, pihak berkuasa Singapura juga telah mendakwa seorang pegawai bank BSI dan mengarahkan bank berkenaan ditutup kerana penglibatan dalam skandal kewangan yang membabitkan 1MDB. Kegagalan Jabatan Peguam Negara menemui apa-apa bukti kesalahan jenayah dalam kes ini hanya akan menjejaskan kewibawaan institusi itu dan juga agensi-agensi lain yang terlibat dalam siasatan ke atas 1MDB.
Malah, lebih malang sebahagian besar anggota kabinet yang saya tahu mempunyai maklumat mengenai penyelewengan yang berlaku di dalam 1MDB, khususnya yang melibatkan Perdana Menteri, diam seribu bahasa. Tiada seorangpun yang berani tampil menyatakan kebenaran, malah ada kalangan mereka yang lebih selesa bersekongkol mempertahankan kemungkaran. Ini adalah episod paling hitam dalam sejarah kepimpinan negara kita. Mereka yang memilih untuk mempertahankan kemungkaran dan melindungi kebatilan sebenarnya tidak layak untuk memimpin.
Dengan pendedahan hasil siasatan oleh FINMA dan pendakwaan kesalahan jenayah ke atas seorang pegawai BSI Bank oleh pihak berkuasa Singapura, adalah amat aneh lagi menghairankan jika pihak berkuasa di Malaysia masih gagal menemui sebarang bukti bagi mendakwa individu-individu yang terbabit dalam skandal rasuah 1MDB.
Saya mengulangi penegasan saya sebelum ini bahawa Perdana Menteri mesti mengambil tanggungjawab sepenuhnya di atas segala penyelewengan yang berlaku dalam syarikat 1MDB kerana beliau selaku Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB terlibat secara langsung dalam membuat keputusan-keputusan transaksi syarikat. Kerana penyelewengan inilah 1MDB menanggung liabiliti berjumlah RM53 bilion pada masa ini yang sekiranya tidak dapat dibayar oleh syarikat, maka akhirnya kesemua tanggungan ini terpaksa dibayar oleh kerajaan menggunakan wang cukai yang dikutip daripada rakyat. Akhirnya rakyat terpaksa menanggung beban akibat penyelewengan yang dilakukan oleh Perdana Menteri.
Ini sesuatu yang amat tidak adil. Jika tiada sebarang tindakan diambil ke atas Perdana Menteri dan individu-individu lain yang terlibat di dalam skandal ini, maka rakyat tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya, malah akan terus ditindas. Dalam keadaan yang terdesak ini, kita tidak boleh menolak kemungkinan bahawa banyak lagi kantung negara akan dikebas semata-mata untuk menutup lubang besar yang dibuat oleh 1MDB. Sedangkan para petualang yang menyeleweng wang negara terus dibiarkan bebas menikmati hasil yang diperolehi secara haram.