Saturday, September 13, 2008

Jejak Andalusia - Syahid atau Menang

Kedatangan tentera Islam di Andalusia telah berjaya di kesan oleh pihak musuh. Pada 19 Julai 711 bersamaan bulan Ramadhan 116 Hijrah, King Roderick telah menghantar seramai 25 ribu orang angkatan tentera untuk mengalahkan tentera Islam yang hanya seramai 12 ke 17 ribu orang sahaja. Serangan pertama King Roderick ini pada awalnya berjaya mengkucar-kacirkan tentera Islam, namun tentera Islam telah berjaya bersatu kembali dan mampu menahan serangan bertubi-tubi tentera musuh. Peperangan berlarutan dari pagi hingga ke petang. Sebaik tiba waktu malam angkatan tentera masing-masing telah berundur untuk berehat.

Pada malam tersebut, Tariq bin Ziyad telah mengambil keputusan untuk membakar semua 12 buah kapal perang kepunyaan tentera Islam. Tujuannya agar tentera Islam tidak terfikir untuk berundur dan pulang, sebaliknya berjuang dengan lebih bersungguh-sungguh demi mencapai kemenangan. Selepas habis kesemua kapalnya dibakar, Tariq bin Ziyad telah mengumpulkan semua angkatan tenteranya dan berkata,

“Saudara-saudaraku, di belakang kita laut, di hadapan kita musuh. Kita tidak dapat melarikan diri. Demi Allah, kita datang ke sini untuk syahid ataupun memperoleh kemenangan”.

Kata-kata Tariq bin Ziyad telah menyemarakkan semangat angkatan tentera Islam untuk terus berjuang menegakkan syiar Islam. Pada masa itu, King Roderick telah menghantar perisiknya di kalangan tentera Islam. Namun kehadiran perisik itu turut disedari oleh Tariq bin Ziyad. Lalu beliau mengarahkan agar tentera Islam membelah mayat musuh yang telah dibunuh dan berpura-pura memakan mayat tersebut. Ini merupakan taktik perang psikologi yang dimainkan oleh Tariq bin Ziyad terhadap tentera musuh. Perihal ini telah disaksikan oleh perisik King Roderick dan dia telah pulang untuk melaporkan kejadian berkenaan kepada rajanya.

Sebaik menerima laporan berkenaan kapal yang dibakar dan perihal tentera Islam memakan mayat musuh, angkatan tentera Gotic mula berasa gentar. Bagi mengelakkan tentera Gotic berterusan takut dan lari dari medan peperangan, King Roderick telah mengarahkan pasukan tenteranya dipasung kaki mereka dengan rantai semasa berperang. Pada hari kedua, King Roderick turut menambah bilangan anggota tenteranya melebihi 100 ribu orang untuk berperang dengan tentera Islam.

Serangan hari kedua tentera Gotic berjaya ditangkis oleh barisan tentera Islam. Namun keadaan tentera Gotic menjadi semakin lemah akibat kekurangan bekalan makanan akibat sabotaj penduduk tempatan yang tidak sukakan King Roderick. Tambahan pula keadaan tentera Gotic yang dirantai kakinya telah menyukarkan mereka untuk bergerak bebas. Kesempatan ini telah diambil oleh angkatan tentera Islam dengan membakar rumput-rumput kering yang terdapat di sekeliling tentera Gotic sehingga menyebabkan ramai tentera Gotic terbunuh dalam kebakaran. Serangan berterusan tentera Islam juga telah berjaya mengkucar-kacirkan tentera musuh sehingga ramai tentera Gotic telah melarikan diri dari medan peperangan. Akhirnya Tariq bin Ziyad telah beroleh peluang untuk membunuh King Roderick yang berjaya dipanahnya sehingga raja yang zalim itu jatuh dah hilang di dalam arus sungai yang deras.

Selepas kekalahan angkatan perang King Roderick, tentera Islam telah meneruskan kemaraannya ke kota-kota besar di Andalusia dan satu persatu telah berjaya di tawan. Kecuali Granada yang terpaksa diperangi kerana saki baki tentera Gotic di situ telah mendapatkan bantuan tentera Rom; kota-kota lain seperti Toledo, Cordoba dan Malaga telah ditawan secara aman kerana mendapat sokongan daripada rakyat tempatan yang mengalu-alukan kedatangan tentera Islam.

Seterusnya tentera Islam telah mara ke Ecija untuk berperang dengan saki baki tentera Gotic yang turut mendapat sokongan tentera Rom dan Portugal. Namun gabungan tentera Tariq bin Ziyad dan Musa bin Nusair yang datang ke Andalusia untuk membantu pada masa itu telah memperoleh kejayaan besar dalam peperangan di Ecija. Seterusnya tentera Islam mara hingga ke Portugal dan turut berjaya menawan negara tersebut. Akhirnya 2/3 daripada keseluruhan Andalusia berserta negara Portugal telah berada dalam jajahan takluk Islam sepenuhnya. Maka bermulalah tarikh keramat kegemilangan Islam di bumi Eropah bermula pada 711M sehinggalah pada tahun 1492 Masihi.

2 comments:

  1. Best2.. citer yg best.. saya suka... kalau bole perbanyakkan lagik.. cite2 yg menaikkan semangat utk mengaku diri kite ni... ISLAM...

    ReplyDelete
  2. Sejarah gemilang ini mudah-mudahan akan berulang dalam dunia Islam.

    ReplyDelete