Monday, September 22, 2008

Jejak Andalusia - Pemimpin & Kerajaan

Selepas menawan Portugal, Tariq bin Ziyad sebenarnya berniat meluaskan jajahan takluk Islam ke serata benua Eropah. Namun hasrat beliau ini telah dikesan lebih awal oleh Raja England, Raja Perancis dan Raja German. Akibat takut kehilangan kuasa, mereka telah merancang untuk berdamai dengan kerajaan Islam bagi mengelakkan negara mereka dijajah. Raja-raja ini merancang untuk menyogok Khalifah Walid bin Abdul Malik dengan hamba sahaya wanita, emas dan permata (Raja dan pemimpin Islam terutama di Timur Tengah, sehingga kini masih diperalatkan oleh negara-negara Barat). Jadi mereka telah berpakat untuk menghantar hadiah-hadiah tersebut ke Damsyik sebagai persembahan kepada khalifah bagi tujuan perdamaian dengan harapan negara mereka tidak diserang oleh tentera Islam.

Khalifah Walid bin Abdul Malik gembira dengan hadiah-hadiah yang dipersembahkan kepada baginda oleh raja-raja dari tiga buah negara tersebut. Atas alasan Islam menyeru umatnya ke arah perdamaian dan baginda sendiri seorang yang sukakan perdamaian, maka baginda bersetuju membatalkan serangan tentera Islam ke atas benua Eropah. Justeru, Khalifah Walid bin Abdul Malik telah mengeluarkan arahan agar Tariq bin Ziyad pulang ke Damsyik walaupun ketika itu Tariq bin Ziyad sedang mengatur persediaan untuk menyerang Eropah.

Walaupun sedih dengan arahan tersebut, namun sebagai panglima perang yang taat, Tariq bin Ziyad telah mengambil keputusan untuk pulang ke Damsyik dan bermastautin di sana. Semasa di Damsyik, Tariq bin Ziyad turut berkhidmat di bawah pemerintahan Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik (715 hingga 717 Masihi) dan Khalifah Umar bin Abdul Aziz (717 hingga 720 Masihi) sehinggalah beliau meninggal dunia pada 720 Masihi (125 Hijrah). Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham.

Sejak Andalusia berada dalam jajahan Islam, telah wujud ratusan individu dan kerajaan yang memerintah negara tersebut. Pemerintah pertama di Andalusia ialah Abdul Aziz yang dilantik oleh ayahnya sendiri iaitu Musa bin Nusair (wakil khalifah di Afrika) untuk memegang jawatan sebagai gebenor Andalusia. Namun Abdul Aziz tidaklah disukai dikalangan tentera-tentera Islam sehinggakan beliau akhirnya terbunuh oleh rakyatnya sendiri hanya selepas 2 tahun memerintah (Pengajaran kepada pemimpin Malaysia agar tidak mengangkat saudara mara sendiri sebagai pemimpin).

Pemimpin dan kerajaan Islam yang memerintah Andalusia bermula tahun 711 Masihi sehinggalah 1492 Masihi ialah, Amir-Amir dari kerajaan Bani Umaiyah, Khalifah-Khalifah dari kerajaan Bani Umaiyah, kerajaan Ziriyah di Granada, kerajaan Bani Hamud di Malaga, raja-raja Daniyah, Najibiyah dan Hudiyah di Saracosta, kerajaan Amiriyah di Valencia, kerajaan Bani Abbaad di Sevilla, kerajaan Murabitun, kerajaan Jahuriyah di Cordova, kerajaan Bani Zin-Nun di Toledo, kerajaan Bani Hamud di Pulau Khadraa, kerajaan Muwahidun dan yang terakhir ialah kerajaan Bani Al-Ahmar di Granada.

Walaupun terdapat ratusan pemerintah di Andalusia, saya cuma akan menyentuh berkenaan beberapa pemimpin yang dalam analisis saya memainkan peranan penting dalam proses kegemilangan dan kejatuhan Andalusia. Antara pemimpin Andalusia yang yang akan dibincangkan dalam penulisan akan datang ialah dua orang Amir dari kerajaan Bani Umaiyah iaitu Abdul Rahman I yang digelar Ad-Dakhil iaitu “Yang Masuk” (mula memerintah pada 756 Masihi bersamaan 138 Hijrah) dan Abdul Rahman II yang digelar Al-Ausat iaitu “Yang Pertengahan” (mula memerintah 822 Masihi bersamaan 206 Hijrah). Seorang lagi ialah Khalifah pertama di Andalusia dari kerajaan Bani Umaiyah iaitu Abdul Rahman III yang bergelar An-Nasir iaitu “Yang Membela” (mula memerintah 912 Masihi bersamaan 300 Hijrah).

Seterusnya ialah Al-Mu’tamid bin Abbaad yang merupakan salah seorang raja di Sevilla dari Bani Abbaad (mula memerintah 1088 Masihi bersamaan 461 Hijrah); Yusof bin Tasyfin dari kerajaan Murabitun (mengambil alih pemerintahan pada 1091 Masihi bersamaan 484 Hijrah); Muhammad bin Abdullah Tumrut dan Abdul Mu’min dari kerajaan Muwahidun yang berpusat di Maghribi (Morocco); serta Muhammad XII yang digelar Abu Abdullah yang merupakan pemerintah Islam terakhir di Granada dari Bani Al-Ahmar (mula memerintah 1485 Masihi bersamaan 890 Hijrah).


Pemimpin-pemimpin yang dinyatakan di atas mempunyai peranan yang besar terhadap kegemilangan dan kejatuhan empayar Islam di Andalusia (Sepanyol), di mana kesannya dapat dilihat sehingga ke zaman ini yang akan dibincangkan dalam penulisan akan datang.

2 comments:

  1. Assalamaulaikum Paneh,

    Terima Kasih berkongsi kisah-kisah ini yang memang kita semua mesti mengambil iktibar darinya.

    ReplyDelete
  2. Sungguh tragis. kisah kegemilangan yang hilang.

    Beringatlah wahai pemimpinku, berwaspadalah wahai bangsaku!

    ReplyDelete