Saturday, December 20, 2008

Aku, Paklah dan Anwar

Aku sukakan buku. Sejak dulu aku boleh peruntukan banyak masa hanya untuk membaca. Aktiviti membaca adalah sebahagian rutin yang aku gemari. Dalam masa santai, aku boleh habiskan sebuah buku seminggu. Namun jika dihambat dengan tugas berterusan, aku hanya boleh menghabiskan sebuah buku saja sebulan. Aku juga suka membaca segala apa yang ditulis oleh para blogger. Tidak kiralah blog berbentuk politik, ilmu, agama, aktiviti peribadi dan sebagainya, pasti akan aku baca diwaktu terluang. Namun aku berdepan realiti bahawa semakin banyak yang aku baca, semakin banyak pula benda yang aku tak tahu. Rasa diri ini semakin kurang, makin kecil. Entahlah. Kadangkala rasa diri ini tidak tahu atau belajar apa-apa pun sebelum ini.

Aku menyebut nama Paklah dan Anwar dalam tajuk artikel ini kerana aku merasakan dua individu ini turut berhadapan dengan dilema yang aku hadapi. Dalam pengamatan aku semakin lama mereka berdua ini terlibat dalam politik, mereka kelihatan semakin tidak belajar apa-apa. Segala tindakan dan keputusan mereka selama ini boleh dipersoalkan dan amat diragui. Ini hanya anggapan aku dan aku tidak dapat pastikan anggapan orang lain terhadap mereka.

Aku melihat Paklah bukan sebagai leader atau decision maker. Aku melihat Paklah sebagai golongan pekerja yang hanya menurut arahan. Mungkin pengalamannya sebagai PTD terbawa-bawa semasa beliau menjadi Perdana Menteri yang sering merujuk pihak atasan untuk membuat keputusan. Kerana itu di zaman pentadbirannya aku melihat Paklah lambat dalam membuat keputusan. Beliau akan mengambil masa seminggu untuk mengulas sesuatu isu yang sudah pun basi. Dalam dunia yang serba mencabar dan pantas ini, berlengah bukanlah penyelesaian yang baik. Walaupun rakyat sudah menyampaikan mesej jelas semasa PRU 12, namun Paklah masih dalam keadaan yang sama. Tidak belajar apa-apa. Semakin lama beliau menjadi Perdana Menteri, semakin kalut jadinya negara ini.

Anwar pula kelihatan seperti seorang yang serba tahu. Dia boleh bercakap mengenai apa sahaja tetapi hanya diperingkat 'permukaan' sahaja. Kebanyakan isu yang dikupasnya tidak cukup mendalam. Tiada perincian yang pasti. Sebab itu kita boleh lihat adakalanya Anwar boleh menjadi imam serta khatib, manakala pada sisi yang lain pula kita akan dapat melihat beliau menyalakan api di kuil. Pada satu peringkat aku melihat beliau bersungguh memperjuangkan Islam, tetapi pada ketika lain beliau kelihatan akrab dengan Amerika dan Yahudi yang sering menindas umat Islam. Apabila bercakap, beliau akan menekankan penyebutan sesuatu perkataan yang boleh membuatkan orang terpesona serta terlupa akan kedangkalan isi yang disampaikannya. Aku boleh melihat Anwar dalam pelbagai rupa dan gaya. Seperti yang pernah aku katakan sebelum ini bahawa beliau bolehlah diibaratkan seperti sesumpah yang sering bertukar rupa.

Banyak lagilah yang aku boleh tulis tapi rasanya semua orang pun tahu tentang Paklah dan Anwar. Dua orang individu berbeza tetapi mempunyai ciri yang sama iaitu makin lama semakin tidak tahu apa-apa. Ini pandangan aku dan jika anda merasakan aku mengarut maka anggaplah saja yang kepala aku tengah 'weng' kerana demam. Adios.

8 comments:

  1. Pak Lah let other people make a fool of himself. Anwar make fool of other people. Yang seorang macam Don Quixote sementara yang seorang lagi macam penglipur lara yang mampu membuat orang lain lena dibuai mimpi dan angan kosong.Kedua2nya menjahanamkan Melayu.

    ReplyDelete
  2. Pak Lah dan 2x5 sahaja dengan DSAI.
    Pak Lah memberi ruang kehangatan antara kaum demi untuk diberi gelaran bapa kebebasan. Manakala DSAI ambil kesempatan diatas ketidakcerdikan bapa kebebasan demi nak ganti bapa kebebasan dengan bapa sondol/bapa reformasi

    ReplyDelete
  3. salam Tuan,

    Apa yang anda katakan tu, nampak betul. Seorang silembik (ungkapan mudah) dan seorang lagi jenis dua alam.

    Jadi kepada siapa kita harapkan? Nun jauh di sudut hati saya amat kecewa sebenarnya.

    ReplyDelete
  4. yang memulakan isu kronisma ialah anwar, paklah takyah cerita,tapi sekarang kalau dapat anwar nak bawak semua lam parlimen. so, do difference

    ReplyDelete
  5. benar kata anda semua. kadangkala jauh di sudut hati rasa kecewa melihat permainan 2 individu ni.

    ReplyDelete
  6. kita memang la rasa kecewa...tapi masih ramai lagi di luar sana yang masih buta dalam menilai...gara2 terlalu ta'asub dengan lakonan mereka berdua...

    sedih...

    ReplyDelete
  7. salam mawaddah..
    terlebih dahulu, saya nak bagitau saya tak menyebelahi mana-mana pihak.tetapi melihat dari sudut kepentingan melayu itu sendiri.saya setuju dengan kata samat.Paklah ni diperbodohkan orang terutamanya KJ.Anwar ni pulak memperbodohkan orang.Tapi dari segi konteks membela 'melayu kampung' harapan serta usaha paklah disamping tersirat visi dan misi nya.Nenda saya seorang yang tiada pengaruh politik dikampung.Alhamdulillah melalui bajet yang besar dalam pertanian, nenda saya dapat peruntukan tambahan baja untuk tanaman kenaf serta dedak.Alhamdulillah raya korban lalu dapatlah jual 5ekor lembu daripada 2tahun sebelum ini.Hakikat ini saya harus akui bahawa paklah membawa perubahan bukan kepada golongan seperti saya dan tuan sekelian yang duduk dibandar serta yang bergantungan kepada industri dan koprat.Tapi anwar bijak.Disaat paklah yang lemah cuba mengeluarkan orang melayu kampung yang susah, anwar bijak bermain emosi dengan orang-orang dibandar dan pertengahan.Kalau tuan-tuan duduk dibandar,perubahan ini pasti tak dapat dirasa mahupun dihidu.Jika dilihat, golongan yang susah umur lingkungan 43 tahun keatas yang hidup berasakan pertanian (pengeluar) bukan middle men trader, pastinya tiada yang mengikut kempen anwar.jika di teliti lebih terperincin, penyokong anwar adalah orang yang tidak mempunyai pekerjaan tetap,anak muda tak berpendidikan serta menganggur,sektor koprat dan industri berat,dan middlemen trader serta kaum india yang tinggal diladang.mereka ini semua golongan yang lantang bercakap dan golongan yang pernah mewah.Contoh sekarang paklah dalam inisiatif cuba menyelamatkan getah.Tapi kita sedia maklum bahawa harga getah dipelopor oleh barat.Saya pernah kata dalam komen terhadap 1artikel dalam blog ini bahawa getah pasti akan menjunam turun kerana amerika akan menyimpan stok getah sebagai senjata mereka.Hari ini terbukti apabila negara getah di asia tenggara turut menjadi mangasa kegawatan mereka ditambah dengan kemerosotan nilai industri berat dunia.Saya tak nafikan bahawa paklah dikatakan orang yang menimbulkan isu perkauman. Sekali lagi kita lihat, Mara,mardi,fama antara yang mempelopori bajet utama negara.Sebab melalui bantuan serta skim2 ini, hanya orang melayu sahaja yang dapat laba nya.Akhirnya sektor koprat pasti terjejas kerana tiada suntikan yang dapat membantu menaikkan harga saham.Berapa ramai orang melayu yang main saham? Berapa ramai cina? Jadi fokus koprat melayu kenalah juga tepat dan berfikiran bisnes from malays to malays.Apapun secara lahiriah nya saya akui anwar dan paklah sama je tetapi secara hakikinya niat paklah jauh lebih baik daripada anwar untuk membentuk komiti melayu dan mengurangkan jurang ekonomi dengan cina.

    ReplyDelete
  8. Saya bersetuju dengan pandangan anak hangtuah berkenaan jasa paklah dalam bidang pertanian khususnya kepada orang Melayu sendiri. Perkara yang benar tetap perlu kita dibenarkan.

    Tetapi mungkin perlaksanaannya perlu lebih menyeluruh. Masalah kita adalah penekanan kepada produk agro pertanian dari sudut pengeluaran tanpa tumpuan khusus kepada pemasaran. Kerana itulah kita melihat pelbagai projek pertanian dijalankan tetapi berlaku lambakan produk akibat tidak dapat dipasarkan.

    Pengeluaran dan pemasaran perlu berjalan seiring. Paklah dan pasukannya perlu memikirkan kaedah untuk menyelesaikan masalah ini. Ramai petani yang terlibat dalam projek agro tani ni merungut kerana pendapatan semakin merosot akibat tiada pasaran dan berlakunya lambakan produk kerana terlalu ramai pengusaha. Dan kita dapat melihat kelemahan Paklah untuk mengurus dan memperoleh pelaburan. Senang cerita kita kena buat kerja kasi habis.

    Jika dulu Che Det menumpukan kepada perindustrian, tetapi dia buat sampai selesai. Selain menarik pelabur di Malaysia, beliau juga berusaha mempromosikan produk yang dikeluarkan dari Malaysia ke negara-negara lain. Usaha seperti itu kurang diberi perhatian oleh Paklah dan pasukannya untuk membantu pengeluar mencari pasaran. Jangan hanya tumpukan setakat pasaran dalam negara sahaja seperti mengadakan expo pertanian semata. Sebagai individu yang turut melabur dalam projek pertanian, perkara ini turut memberi kesan kepada kami. Tidak salah menumpukan kepada pertanian tetapi perlaksanaan dasar perlu lebih menyeluruh dan tak buat kerja separuh2.

    Kalau bab getah ni pulak, kita kena memikirkan kaedah penghasilan getah sintetik yang lebih murah seperti yang dilakukan barat. Dengan sumber getah asli yang banyak, sudah tentu kita dapat mengeluarkan produk yang lebih berkualiti.

    Cakap pasal Nuar ni pulak, buktikanlah jika beliau benar2 hebat..cubalah bawak masuk pelaburan di negeri2 yang diperintah pembangkang. Den cabar ko Nuar. Setakat cakap dan kritik kerajaan yor, semua orang bulih buek.

    ReplyDelete