Friday, August 14, 2009

Bermula dengan FITNAH

Sultan Mahmud Shah telah mengamalkan dasar ‘pilih kasih’ terhadap pegawai-pegawai dan pembesar-pembesarnya. Akibatnya berlakulah fitnah memfitnah dikalangan pegawai-pegawai dan pembesar-pembesar untuk menawan hati Sultan.

Kebajikan tanah-tanah jajahan Melaka banyak diabaikan oleh Sultan Mahmud Shah serta pegawai-pegawai Baginda. Semasa Melaka diserang oleh Portugis pada tahun 1511, tanah-tanah jajahan Melaka langsung tidak membantu Melaka untuk menentang Portugis kerana dendam mereka kepada Sultan Melaka.

Sebelum itu banyak tanah-tanah jajahan Melaka cuba melepaskan diri dari Melaka. Pembesar-pembesar negeri pada masa itu juga berbalah sesama sendiri, iaitu perbalahan diantara pembesar-pembesar keturunan Melayu Islam dan India Islam. Keadaan telah menjadi bertambah buruk apabila di saat akhir ketika Portugis menyerang Melaka, Sultan Mahmud membunuh Bendahara Tun Mutahir di atas fitnah Raja Mendaliar yang menuduh Tun Mutahir hendak menjadi raja.

Dikatakan juga Sultan Mahmud adalah merupakan seorang pemerintah yang lemah dan tidak menghiraukan kepentingan agama dan kebajikan rakyat jelata. Baginda tidak mampu menguasai pembesar-pembesarnya sendiri. Menurut R.O.Winsteadt, baginda hanya berperanan sebagai Ketua Negara tanpa sebarang kuasa.

Seperkara lagi, dari segi kekuatan tentera, di zaman pemerintahan Sultan Mahmud Shah tidak terdapat lagi pahlawan-pahlawan gagah berani saperti sebelum pemerintahan Baginda. Pahlawan-pahlawan adalah terdiri daripada rakyat jelata biasa yang berlatarbelangkan petani dan tidak ada latihan tentera. Kehadiran mereka sebagai tentera adalah berdasarkan kepada ‘taat pada Sultan’ sahaja. Akhirnya kedudukan pertahanan Melaka telah menjadi lumpuh dan lemah serta senang diserangi oleh pihak Portugis. Bercakap berkenaan kekuatan Portugis pada masa itu, ianya merupakan sebuah kuasa baru di Eropah yang telah berjaya menakluki pengaruh Arab di Eropah dan Afrika.

Kehebatan ahli-ahli pelayaran saperti Batholomew Diaz dan Vasco da Gama mempelopori jalan perdagangan baru di sebelah timur dan mengawasi pedagang-pedagang Arab telah menaikkan semangat mereka untuk menjadikan Portugis sebagai kuasa baru yang ditakuti.

Matlamat pihak Portugis adalah untuk menghapuskan orang-orang Arab dan agama Islam di mana-mana sahaja, kerana mereka sudah lama bermusuh dengan orang-orang Arab sejak penaklukan beberapa buah Negara di Eropah.


Pada tahun 1509 pihak Portugis telah menghantar Diego Lopez de Squiera ke Melaka sebagai pedagang sambil membuat risikan dan melihat perkembangan yang berlaku di Melaka. Oleh kerana melakukan kesilapan, de Squeira dan orang-orangnya telah ditawan dan dipenjarakan oleh Sultan Mahmud Shah. Setelah menawan Goa pada 25 November 1510, Alfonso de Albuquerque telah membuat rancangan untuk menyerang Melaka, iaitu sebuah negeri Islam di sebelah timur yang masyhur dengan perkembangan agama Islam.

Alfonso de Albuquerque telah memulakan pelayarannya dari Goa pada 20 Mei 1511 dengan sebuah angkatan laut yang mengandungi 12 buah kapal beserta 800 orang tentera Portugis dan 600 orang tentera upahan dari Pegu ( Burma ) dan India. Angkatan ini telah dikepalai oleh sebuah kapal yang diberi nama ‘Flor de La Mar’ yang bermaksud ‘Bunga Samudera’ ( Flower of The Sea ).

Di dalam pelayaran tersebut Alfonso de Albuquerque telah menahan sebuah kapal dagang dari Gujerat dan memaksanya menunjuk arah ke Pedir dan Pasai. Dari situlah beliau telah membuat strategi untuk menyerang Melaka. Alfonso telah mengambil kesempatan dari penahanan Ruy de Aranjo dan Diego Lopez de Squeira oleh Sultan Mahmud Shah untuk membuat serangan terhadap Melaka.

Semasa Alfonso de Albuquerque dan tentera-tenteranya berada di perairan Melaka, keadaan Melaka begitu tegang sekali. Ianya berpunca dari hukuman mati yang telah dikenakan oleh Sultan Mahmud terhadap Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir tanpa usul periksa dan tanpa diadili dan juga perbalahan dikalangan pelbesar-pembesar negeri berkenaan dengan penahanan dua orang Portugis.

Keadaan telah bertambah buruk apabila terdapat beberapa orang talibarut Portugis yang terdiri daripada pedagang-pedagang Cina dan India yang membocorkan segala rahsia berkenaan dengan apa yang sedang berlaku di istana Sultan Melaka. Keadaan sebegini tentu mengembirakan Alfonso de Albuquerque dan membuka jalan baginya untuk menyerang Melaka.

Walau pun Sultan Mahmud telah membebaskan dua tahanan Portugis, tetapi Alfonso tetap dengan pendiriannya untuk menyerang Melaka kerana beliau telah merasa yakin akan kemenangan yang akan tercapai setelah beberapa orang talibarut Portugis telah membocorkan segala rahsia akan kelemahan yang dialami oleh pihak istana Melaka.

Rahsia-rahsia termasuklah kedudukan meriam-meriam yang ada di kota pertahanan Melaka serta sejumlah dua puluh ribu orang tentera yang terdiri dari orang-orang Jawa, Pasai, dan Melayu Melaka disamping dua puluh ekor gajah penyerang.

Setelah hampir sebulan pihak Portugis menyerang Melaka, pada waktu subuh, 10 Ogos 1511, Alfonso de Albuquerque telah mendaratkan tentera-tenteranya di kaki Bukit Melaka di sebelah utara jambatan dengan lima buah tongkang Cina. Di dalam serangan waktu subuh itu pihak Portugis telah mengarahkan bedilan meriam mereka ke arah masjid dari kapal perang Portugis yang berlabuh di perairan pantai Melaka.

Ini diikuti dengan pendaratan beramai-ramai tentera-tentera Portugis. Pahlawan-pahlawan Melayu Melaka telah cuba dipulihkan semangat mereka dengan membaca hikayat-hikayat pahlawan-pahlawan Islam, misalnya, Hikayat Amir Hamzah, dan Hikayat Mohamad Ali Hanafiah di dalam istana Sultan, tetapi akhirnya dapat ditewaskan juga oleh pihak Portugis.

Pada 24 Ogos 1511 tentera-tentera Portugis di bawah pimpinan Alfonso de Albuquerque telah dapat menumpaskan pahlawan-pahlawan Melaka di dalam satu peperangan yang memakan masa lebih kurang satu bulan. Dengan kekalahan pahlawan-pahlawan Melaka di tangan Portugis, maka lenyaplah keagungan pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka yang telah diasaskan oleh Parameswara pada tahun 1400.

Sumber: Melaka Hari Ini.

3 comments:

  1. Tahniah Che Din....sungguh bermaklumat. kalau boleh nak tahu cerita mengenai Si Kitul kerana Anwar hari ini sama macam beliau

    ReplyDelete
  2. Siapa yang membocorkan rahsia?

    Tongkang-tongkang siapa yang mendaratkan tentera portugis?

    ReplyDelete
  3. yah memang tepat che din, dulu Tun Mutahir di fitbah tapi Tun Mutahir moden , bapa pemfitnah Malaysia.

    ReplyDelete