Saturday, January 9, 2010

SAINS untuk RAKYAT bukan untuk KEPARAT

"Kita tidak layan lagi sebarang rundingan untuk dapatkan diskaun bil air disebabkan kebocoran dalam premis pengguna. Kita juga tidak menerima sebarang rayuan untuk bayar secara ansuran bil air yang melambung akibat kebocoran dalam premis kediaman," kata Encik Zulkifli bin Ibrahim, Pengurus Besar Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS).

Kewujudan SAINS merupakan satu tragedi pada rakyat Negeri Sembilan sekiranya syarikat milik kerajaan negeri ini secara agresif cuba membuat perubahan ke arah berorientasikan keuntungan. Logiknya, pada fikiran rakyat syarikat ini milik kerajaan negeri. Produk yang ditawarkan pula ialah air yang diperolehi melalui sumber semulajadi dan perniagaan ini tidak bersaing dengan mana-mana syarikat pun. Hanya syarikat itu saja pilihan yang rakyat ada, maka wajarlah pihak SAINS 'beri muka' kepada pengguna yakni rakyat Negeri Sembilan.

Rakyat Negeri Sembilan yang baru nak faham slogan 'rakyat didahulukan' kini semakin keliru dengan pendekatan SAINS yang kelihatan seperti baru nak belajar berniaga. Jangan biarkan rakyat 'murka' hingga menjelang PRU-13 nanti kerana kerajaan negeri yang akan menanggung bahananya. Pihak pembangkang kini dah dapat 'peluru hidup' dengan karenah SAINS ini. Prinsip mudahnya, rakyat tidak peduli dengan kos SAINS untuk rawatan air, kos menggantikan paip lama yang rosak atau kos untuk membina empangan Ulu Sepri, tetapi rakyat akan bertanya "Kenapa dulu boleh, tapi sekarang ni bila dah diperbadankan tak boleh pulak?"

Senario kebocoran paip dalam kawasan premis kediaman merupakan perkara biasa sejak dulu sehingga kini. Sejak zaman JBANS sehinggalah SAINS, perkara yang sama tetap berlaku. Purata laporan kes kebocoran dalam premis kediaman yang diterima pihak SAINS lebih kurang 3 kes seminggu. Berdasarkan akal yang waras, tiada siapapun yang suka akan paip bocor kerana kawasan yang dilimpahi air pasti menjadi kotor dan pengguna pula akan terbeban untuk membayar bil air yang tinggi.

Berikut merupakan caj penggunaan air bagi seisi keluarga seramai 6 orang. Purata penggunaan air ialah 36m³ sebulan dengan caj yang dikenakan masih mengikut tarif lama iaitu:-

20m³ yang pertama @ RM0.55/m³ = RM11
15m³ yang kedua @ RM0.85/m³ = RM12.75
1m³ yang ketiga @ RM1.40/m³ = RM1.40
Jumlah bayaran bil ialah RM25.15

Kebocoran air kebiasaannya akan menyebabkan bacaan meter naik mendadak sehingga menjangkau 60m³. Disebabkan tarif penggunaan melebihi 35m³ ialah RM1.40/m³, maka bil tambahan yang terpaksa dibayar pengguna akibat kebocoran air sebanyak 24m³ tadi akan berjumlah RM33.60.

Maka bil bulanan yang lazim dibayar isi rumah bagi penggunaan 36m³ air berjumlah RM25.15 yang ditambah lagi RM33.60 akibat kebocoran air, maka jumlah yang perlu dibayar oleh pengguna akan meningkat menjadi RM58.75 sebulan. Ini sudah tentu membebankan pengguna terutamanya mereka yang berpendapatan rendah.

Jadi apakah kaedah penyelesaian yang sewajarnya kepada rakyat sekiranya pihak SAINS masih angkuh dengan polisi baru yang membebankan pengguna sehingga terpaksa menanggung kos air yang tinggi sebanyak RM1.40 bagi setiap meterpadu air yang tidak mereka gunakan langsung?

Kedua-dua pihak perlukan situasi menang-menang. Pihak SAINS tidak terlalu rugi dan pengguna pula tidak terlalu untung.

Saranan saya, pengguna perlulah menanggung kos rawatan air pihak SAINS pada kadar minimum RM0.47 bagi setiap meter padu air yang melimpah akibat kebocoran. Berdasarkan kes di atas, maka pengguna hanya perlu membayar 24m³ x RM0.47 yang berjumlah RM11.28 bagi kebocoran 24m³ air. Pihak SAINS juga mungkin boleh mengenakan syarat lain kepada pengguna seperti tarif berbeza pada bulan berikutnya supaya pengguna mengambil tindakan segera bagi menangani masalah kebocoran dan seterusnya mengelakkan berlakunya pembaziran air.

Diharapkan Pengerusi SAINS merangkap Menteri Besar Negeri Sembilan tidak terlepas pandang akan perkara sebegini. Sementelah Tok Mat pernah mengatakan bahawa tahun 2010 ini kerajaan negeri tidak bercadang untuk mengubah sebarang dasar terdahulu, tetapi akan berterusan mengkaji perlaksanaan dasar sedia ada. Semoga Tok Mat tetap "feel the feeling" masalah rakyat di Negeri Sembilan.

8 comments:

  1. Assalamualaikum Paneh,

    Paip bocor ni kita pun faham sebab kebanyakkan paip semuanya dah terlalu lama. Perlu diperbaiki.

    Masalahnya sekarang terlalu ramai mak bijak yang beri pendapat dari 'luar' tanpa mengetahui apa sebenar yang berlaku dalam sesuatu syarikat itu apatah lagi syarikat kerajaan.

    Maka ramai yang senang nak komplain dengan hanya bercakap contohnya dalam isu banyak GLC dan inilah yang digemari pembangkang sebab mereka tak buat kerja, mereka bercakap sahaja, mengapi apikan rakyat.

    Saya berharap masalah ini dapat diatasi untuk kebaikan rakyat N9. InsyaAllah.

    ReplyDelete
  2. Saya tinggal ditingkat pertama bangunan rumah kedai. Kebiasaan sejak 12tahun antara RM30-RM42.. kalo school holidays saja tinggi.

    Baru2 meter berpusing macam roda motor 200km/hr.. dan caj bulan tersebut RM1,200.00...

    Kiranya terdapat kebocoran, memang banjir rumah saya hari2 pada bulan tersebut.

    Kiranya terdapat kebocoran, mesti air dilongkang akan mengalir tak henti2...

    Semua kami teliti... tiada setitik pun nampak mengalir?

    Tetapi supaya tidak ragu2, saya tukarkan semua saluran baru, RM800.00 dan hantar meter untuk diperiksa RM25+-.

    Tiada kerosakan meter!!

    Pada bulan sebelum, meter saya kena potong kerana tidak selesai RM76.00, kepala meter dimatikan. Sejurus membayar, tiba2 pada bulan seterusnya, meter saya melambung??

    Apa ini sebotaj bagi pihak mereka? kerana pada tahun in, hampir 20premis dirow sama telah mengalami masaalah sama.... 12tahun tidak apa2!!

    KENA SABOTAJ

    ReplyDelete
  3. Semasa JBANS saya pernah buat aduan tentang karenah pekerja JBA yang membuat kerja dihadapan rmh saya melibatkan paip dari 'main pipe' ke meter. Staff JBA tak layan lansung, malahan ada stafnya yang saya tetefon tak mengaku kakitangan JBA(no h/p saya dapat dari pejabat JBA).Seorang jurutera wanitanya yang saya hubungi pun 2x5. Saya buat aduan di portal Kerajaan NS pun tak jalan. Jawapannya dlm website berkenaan masalah pengadu telah diselesaikan, padahal tiada seorang pun yang datang bertanya apa yang saya adukan. Sekarang dah jadi SAINS pun pi mai pi mai tang tu juga la.

    ReplyDelete
  4. bersambung..

    Jiran aku pun kena lebih teruk.. dekat RM1.5K dan terpaksa berdiam diri..

    Yang aneh, datang pulak bil Indahwater.. Bulan2 dia kena caj dekat RM80 dari RM26.00.

    Bila rujuk, kata mereka "on average monthly consumption" di mana RM1.5K diambil kira...

    Bulan2 RM35x11 campuk RM1.5K, bahagi 12, untuk mendapat average estimated use of previous year's monthly usage?

    Apa kegila, kira average macam nih? Yang sebulan caj meter tinggi di ambil kira untuk mendapat average!!

    Padahal kegunaan bulanan tak mencecah 100cubic m! Ceh sekadar bulanan RM26, memandai nak caj in advance RM80 tiap bulan..

    Ada komplot antara Indahwater.

    Lambat bayar, asyik duk hantar surat lawyer nak tuntut... depa nak caj pun sekadar guna andaian tahun lepas.. nak tunjuk samseng duk hantar surat lawyer pulak!!

    ReplyDelete
  5. aku rasa tok mat kena amik berat hal pengadu2 ni. jangan buek bodo yo. rakyat mesti didahulukan. boto tak tok azman? jgn dok sibuk mencatur politik adik ko yang manjang silap yo percaturan tu. komplen terhadap badan kerajaan negeri perlu diselesaikan a.s.a.p.

    ReplyDelete
  6. Aku dah naik meluat dgn SAINS ni. Service mereka macam hampeh, air manjang putus, alasan paip pecah, tnb tak supply air dan pam rosak. Tak ada hotak ke SAINS nak overcome masalah ni.Kawasan Kuala Pilah paling tenat, dgn kes air putus dan bekalan tak konsisiten. Lagi satu bil tertunggak tak sudah-sudah, kesian dgn makcik-makcik dan nenek-nenek yg biasa bayar bil kat pejabat pos kena plak gi pejabat SAINS nak settle tunggakkan. Punca tunggakkan bukan pengguna tak bayar tapi SAINS tukar system apa pada computer, lalu orang2 tua merangkak gi mengadap org SAINS. Gila punya kerja. MB dan EXCO air tengoklah masalah ni. Jangan asyik bercuti luar negeri je.Ambik ownershiplah wahai MB dan EXCO air.

    ReplyDelete
  7. Your blog keeps getting better and better! Your older articles are not as good as newer ones you have a lot more creativity and originality now keep it up!

    ReplyDelete
  8. kalau dah otak korporat, kelakuannya pun sama keparat eh...apo bezo eh dgn UMNO...kalau dah korporat, dio pun sama2 mengkeparatkan rakyat...rakyat dahulu kena keparat, itulah UMNO dan agen2 keparatnya...

    ReplyDelete