Wednesday, June 1, 2011

Ahli Sunnah Waljama'ah (Pengenalan)

Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud, "Akan berpecah umat ku kepada 73 kelompok kesemuanya di dalam neraka kecuali satu." Para sahabat bertanya...

"Siapakah yang satu itu wahai Rasulullah?"

Nabi menjawab, "Yang satu itu adalah orang yang berpegang (ber'aqidah) sebagai peganganku dan pegangan para sahabatku" (Hadis riwayat Thabarani).

Dalam kitab Sadah al-Muttaqin oleh Iman al Zabidi (syarah Ihya'Ulum al-Din karangan Imam al-Ghazali), "Apabila disebutkan golongan Ahli Sunnah Waljama'ah, maka maksudnya ialah orang-orang yang mengikut rumusan fahaman al-Asy'ari dan fahaman Abu Mansur al-Maturidi."

Perpecahan umat islam setelah wafatnya Nabi S.A.W adalah satu fakta sejarah yang tidak dapat dihindarkan. Fahaman-fahaman seperti Syi'ah, Khawarij, Mu'tazilah, Qadariyyah, Jabariyyah, Mujassimah, Baha'iyyah, Ahmadiyyah, Wahhabiyyah dan lain-lain adalah di antara fahaman yang disebut dalam kitab-kitab Usuluddin, Umat Muhammad S.A.W. akan berpecah kepada firqah-firqah dan pada hari ini dapat kita rasakan gerakannya.

Tersebut dalam kitab 'Bughyah Mustarsyidin' karangan Mufti Syaikh Sayyid 'Abdulrrahman bin Muhammad bin Husin bin 'Umar yang dimasyhurkan sebagai Ba'alawi, menyatakan firqah-firqah yang sesat itu yang berpokok pada tujuh firqah. Mereka ialah;

1- SYI'AH

Berpecah kepada 22 aliran. Golongan yang memuja saidina 'Ali secara berlebih-lebihan sehingga mengkafirkan sebahagian para sahabat Nabi S.A.W.

2-KHAWARIJ

Berpecah kepada 20 aliran. Golongan yang berlebih-lebihan membenci Saidina 'Ali karamallah wajhah ada diantaranya mengkafirkan Saidina 'Ali karamallah wajhah.

3-MU'TAZILAH

Berpecah menjadi menjadi 20 aliran. Mempunyai pemahaman bahwa segala perbuatan manusia merupakan hasil karya ciptaan manusia sendiri, tidak ada intervensi takdir. Mereka juga mengatakan bahawa di syurga kelak, orang-orang mukmin tidak akan melihat Dzat Allah. Mereka juga menyatakan bahawa Allah wajib memberi pahala kepada orang-orang yang taat dan menyiksa orang-orang durhaka.

4-MURJI'AH

Berpecah menjadi 5 aliran. Golongan yang mempunyai pemahaman bahawa seseorang yang membuat maksiat tidak menjadi masalah setelah mereka beriman. Sementara orang kafir pula apapun kebaikannya tidak memberi manfaat.

5- NAJARIYYAH

Aliran ini memiliki kesamaan pendapat dengan Ahlussunnah tetapi mempunyai kefahaman serupa dengan Mu’tazilah dalam hal sifat-sifat Allah dan tidak qadîm-nya Kalam Allah. Najjariyah terbahagi menjadi 3 aliran.

6- JABARIYYAH

Aliran ini menyatakan bahawa makhluk sepenuhnya dipaksa oleh takdir dan tidak memiliki ikhtiyâr (kehendak atau kekuatan untuk berbuat). Semua yang dilakukan oleh hamba adalah perbuatan Allah semata. Makhluk tak ubahnya robot yang hanya bergerak dan berjalan dengan arahan perintah Allah.

7- MUSYABBIHAH

Golongan yang menyerupa dan menjisimkan (menjasadkan) Tuhan dengan makhluk seperti bertangan, berkaki, duduk di atas kursi dan lain-lain.

Ahli Sunnah Waljama'ah (1 aliran) + Syi'ah (22 aliran) + Khawarij (20 aliran) + Mu'tazilah (20 aliran) + Murji'ah (5 aliran) + Najariyyah (3 aliran) + Jabariyyah (1 aliran) + Musyabbihah (1 aliran) = JUMLAH (73 aliran).

No comments:

Post a Comment