Friday, November 4, 2011

Paksa Anwar ke Masjid Kampung Hulu

Warga Paneh Miang baru-baru ini telah menyertai ekspedisi berkereta dalam program "Jelajah Kenegaraan" anjuran Kelab Melayu Negeri Sembilan (KMNS) bersama lebih kurang 30 orang belia/beliawanis sekitar Negeri Sembilan.

Jika sebelum ini warga Paneh Miang pernah terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan seperti menganjurkan kelas tuisyen untuk pelajar Melayu yang bakal menduduki peperiksaan, bengkel kemahiran teknikal, bengkel blogger baru, kembara Ramadhan, ekspedisi berakit, siri motivasi etc; program jelajah kali ini adalah yang pertama seumpamanya kami sertai dan sekaligus memperoleh maklumat langsung serta feedback berguna terutama daripada generasi muda akan situasi semasa yang berlaku di Negeri Sembilan.

Program jelajah yang bermula jam 9.30am dan berakhir pada jam 2.00pm keesokan harinya, banyak membantu peserta jelajah menimba ilmu dan maklumat bermanfaat akan sejarah dalam negara yang kurang dihayati oleh generasi muda hari ini.

Terima kasih kepada YDP Kelab Melayu Negeri Sembilan iaitu Saudara Abdul Halim Lokman atas penganjuran ekspedisi ini serta pelbagai lagi program kemasyarakatan yang telah dianjurkan KMNS selama ini demi survival anak-anak Melayu Negeri Sembilan. Berikut antara sebahagian gambar yang sempat dirakam di sepanjang program "Jelajah Kenegaraan" ini berlangsung;

Persinggahan pertama program jelajah adalah di Replika Istana Raja Melewar. Penerangan diberikan oleh wakil Muzium, Encik Norizan.


Raja Melewar atau nama asalnya ialah Raja Mahmud. Baginda merupakan Raja Pertama yang memerintah Negeri Sembilan dan telah ditabalkan di Penajis, Rembau pada tahun 1773 dengan memakai gelaran Raja Melewar sebelum berangkat ke Seri Menanti. Sebelum memerintah, baginda terlebih dulu terpaksa berperang serta mengalahkan Raja Khatib (seorang Putera Raja yang diutuskan untuk membuat persediaan keberangkatan Raja Melewar) yang telah mengisytiharkan dirinya sebagai Raja. Setelah menang dalam peperangan, Raja Melewar kekal memerintah di Negeri Sembilan. Baginda gering dan mangkat pada tahun 1795 di Astana Raja semasa melawat Luak Rembau dan di makamkan di Bukit Serajin bersebelahan dengan makam permaisuri baginda.


Persinggahan kedua program jelajah adalah di Makam Dato Dol Said yang berasal dari suku Semelenggang. Daerah Dol Said asalnya dalam jajahan Nagari Nan Sambilan sebelum persempadanan negeri yang dilakukan oleh British, sekaligus menjadikan Dol Said sebagai rakyat Negeri Sembilan pertama yang menubuhkan pasukan bagi melakukan serangan terhadap British dalam Perang Naning. Penghulu Dol Said telah berjaya mendapat sokongan orang Melayu seramai 1,000 orang untuk menentang British dalam Perang Naning yang bermula pada 6 Ogos 1831 dan berakhir pada 24 Ogos 1831 iaitu kira-kira 18 hari berperang. Dalam peperangan tersebut, Penghulu Dol Said telah mendapat kejayaan dan sebab utama kejayaan tersebut adalah kerana perpaduan yang wujud di kalangan orang Melayu serta sokongan orang Melayu di wilayah yang lain. Dol Said akhirnya terpaksa berundur ke Pasir Besar setelah kalah dalam perang Naning kedua pada Februari 1832 dan dalam masa 4 bulan akhirnya Naning jatuh ke tangan British pada 15 Jun 1832. Naning kemudiannya diletakkan di bawah peraturan Negeri-Negeri Selat pada 27 Oktober 1832.


Persinggahan ketiga program "Jelajah Kenegaraan" adalah di Masjid Kampung Hulu, Melaka Tengah, Melaka. Serangan Portugis ke atas Melaka pada 1511 telah memusnahkan kesemua masjid yang dibina di zaman Kesultanan Melayu Melaka, dan sekaligus menjadikan Masjid Kampung Hulu diwartakan sebagai tapak warisan Masjid Tertua di Malaysia yang hanya dibina pada 1728 pada zaman Belanda oleh seorang muallaf China, Shamsuddin bin Arom.


Pemandangan kawasan perkuburan yang terletak di bahagian belakang Masjid Kampung Hulu. Di sini turut bersemadi Allahyarham Sayyid Abdullah Al–Hadad, seorang guru agama yang terkenal di Melaka dan menurut sesetengah pendapat, beliau dianggap sebagai "Wali" oleh penduduk tempatan.


Tempat berwuduk yang terdapat di dalam kawasan Masjid Kampung Hulu. Ramai pengunjung yang membawa keluarga serta anak-anak mereka untuk mandi di sini, dan terdapat juga pengunjung yang turut membawa bekas minuman untuk mengambil air dari kolah ini yang dipercayai kononnya mempunyai pelbagai khasiat.


Empat tiang seri yang menggunakan kayu berlian serta konsep asal masjid yang dibina pada 1728 tetap dikekalkan. Ciri-ciri senireka masjid dari tanah Jawa telah dimasukkan dalam binaan Masjid Kampung Hulu. Masjid ini mempunyai bumbung berlapis 3, dengan bentuk seakan-akan piramid. Ruang di antara lapisan bumbung membolehkan kemasukan udara dan cahaya ke dalam masjid. Mereka percaya bahawa lapisan paling atas bumbung masjid bererti "iman manusia kepada Tuhan", lapisan kedua, "hubungan manusia dengan manusia" dan yang ketiga membawa maksud "alam semula jadi yang menghubungkan manusia dengan Pencipta". Walaupun binaan masjid ini dipengaruhi senireka Jawa, hiasan dengan pengaruh China turut digunakan untuk menghiasi masjid. Bahan-bahan seperti jubin seramik dan jubin lantai daripada kerajaan China Dinasti Ching turut digunakan. Motif-motif menghiasi tepian kubah masjid, menara batu yang menunjukkan ciri senireka Melaka pada masa itu, turut juga dipengaruhi rekabentuk pagoda China. Ukiran dan seni bina masjid menggunakan faktor alam semulajadi. Pengaruh tumbuh-tumbuhan menjadi kriteria utama seni bina serta ukiran pada bahagian dinding dan bumbung masjid berkenaan. Di hujung bumbung terdapat ukiran berkonsepkan sulur bayur mahkota dan awan larat.


Yang Di Pertua Kelab Melayu Negeri Sembilan telah diberi penghormatan oleh pihak pengurusan Masjid Kampung Hulu untuk menyampaikan ucapan beserta sumbangan ikhlas.


Noja (Tok Siak) Masjid Kampung Hulu, Tuan Haji Abdullah, turut menceritakan satu kisah benar yang berlaku di masjid ini. Pernah seorang pengamal perubatan tradisional (bomoh) bersumpah mubahalah dalam masjid ini kerana dituduh menodai seorang wanita yang diubatinya. Si bomoh bersungguh menafikan tuduhan walaupun wanita yang menjadi mangsa berkeras mengatakan bahawa si bomoh telah menodainya. Malah si bomoh sebaliknya menuduh pula wanita itu sebagai perempuan murahan. Namun, mungkin secara kebetulan atau ikhtibar yang diberi Allah SWT kerana mempermainkan sumpah, bomoh tersebut telah mati dilanggar kereta dihadapan rumahnya sendiri genap 7 hari setelah dia bermubahalah. Dikhabarkan juga, kaum Cina dan India yang tinggal di sekitar Melaka Tengah turut takut untuk bersumpah di Masjid Kampung Hulu disebabkan karamahnya. Agak-agaknya Anwar, Saiful dan Eskay berani tak bermubahalah di masjid ini? Hehehe...


Persinggahan terakhir kami dalam program "Jelajah Kenegaraan" pasti tidak lengkap jika tidak ke Bukit Kepong. Memorial Balai Polis Bukit Kepong kini dikelilingi pagar batu umpama kubu yang jauh berbeza semasa serangan komunis di rumah pasong tersebut pada 23 Februari 1950. Namun replika bangunan balai, rumah kelamin, dapur dan bilik pasong etc. masih dikekalkan bagi memelihara kesan sejarahnya.


Peserta jelajah diberi penerangan mengenai peristiwa sebenar yang terjadi semasa serangan komunis di Bukit Kepong. Kronologi peristiwa, situasi peperangan, kaedah mengundur diri etc. diterangkan secara terperinci di sini. Jika ada yang masih menganggap Mat Indera itu pejuang, bolehlah datang sendiri ke sini untuk mendapatkan fakta sejarah sebenar. Dengarnya warga Bukit Kepong memang tertunggu-tunggu kedatangan Mat Sabu ke situ. Ada bran?


Program "Jelajah Kenegaraan" berakhir di rumah salah seorang penduduk Kampung Tui, Bukit Kepong. Kami disambut sendiri oleh Ketua Kampung Tui, yang mengisahkan bagaimana penduduk Kampung Tui adalah antara yang terawal menghulurkan bantuan semasa serangan komunis di Bukit Kepong pada 1950. Banyak jasa penduduk Kampung Tui ini. Terima kasih kepada tuan rumah yang sudi menjamu kami makan tengahari yang enak walaupun makan di bawah renyai-renyai hujan. Ada rezeki insyaAllah kami akan berkunjung lagi.

*********

Warga Paneh Miang turut mengalukan mana-mana blogger Negori yang ingin melibatkan diri dalam gerak kerja sosial bersama NGO's di Negeri Sembilan. Jika berminat untuk sertai aktiviti akan datang, bolehlah email kami seperti yang tertera di atas. Semoga lebih ramai blogger yang terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan di luar alam maya dan tidak hanya sekadar berbicara di blog. Supaya tidaklah orang mengata yang kita ini hanya pandai bercakap dan menulis saja...

2 comments:

  1. wei bro tak ajak pun.

    -tom tem bak-

    ReplyDelete
  2. Ha'ah kan. Tak tepikir lak nak ajak kau Tem. Sori bro. Selamat hari rayo. Nnt den call.

    ReplyDelete