Wednesday, May 23, 2012

HBN 2012 PENGIKTIFARAN KERAJAAN BUAT BELIA

Kira-kira 4,000 orang hadir memenuhi ruang Concourse, Sunway Pyramid di sini bagi meraikan Sambutan Hari Belia Negara yang disambut setiap 15 Mei sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan kerajaan kepada belia.

Majlis disempurnakan oleh Tan Sri Muhiyiddin bin Haji Mohd.Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Turut mengiringi pada majlis tersebut, Menteri Belia dan Sukan, Dato' Sri Ahmad Shabery Cheek serta Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Senator Tuan Gan Ping Sieu.

Hadir sama, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato' Sri Mustapa Mohamed dan Menteri Sains dan Inovasi, Datuk Dr. Maximus Johnity Ongkili dan Presiden Majlis Belia Malaysia, Mohamed Maliki Mohamed Rapiee sebagai tanda sokongan.

Justeru itu, sebagai menghargai golongan belia ini, Himpunan Hari Belia Negara (HBN) 2012 yang bertemakan “Jadikan Hari Esok Lebih Baik Dari Hari Ini ” berlangsung selama lima hari bermula 23 hingga 27 Mei di Putrajaya. Sambutan tahun ini bakal menyaksikan 500 acara dalam 38 segmen, 1,000 persembahan, 24 pentas di sepanjang enam kilometer dengan sasaran untuk menghimpunkan seramai dua juta belia.

Dalam Perutusan yang disampaikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Mohd Najib Bin Tun Abdul Razak, menyatakan bahawa "Himpunan HBN 2012 adalah manifestasi pengiktirafan kerajaan bagi menjadikan Putrajaya sebagai medan besar untuk para belia mempamer tenaga dan kreativiti mereka. Pemimpin terdahulu, telah mendirikan Putrajaya sebagai kota kemegahan kita. Mari kita beri pengisian kepada kota ini dengan semangat dan tenaga para belia untuk masa depan kita bersama."

Timbalan Perdana Menteri dalam ucapan pelancaran beliau berkata, "Jumlah golongan belia yang melebihi sepertiga penduduk negara iaitu seramai 12.5 juta adalah sumber kekuatan negara paling utama. Sama ada negara kita akan menjadi maju menjelang tahun 2020 dan kekal maju selepas itu bergantung kepada sejauhmana generasi belia yang ada pada hari ini dapat menggarap segala bakat, potensi dan kebolehan diri dengan sebaik mungkin,"..

Tambah beliau , "Kerajaan melihat organisasi belia memainkan peranan penting dalam usaha mengasah bakat kepimpinan dan pembangunan kendiri belia seperti Parlimen Belia yang bakal diwujudkan tidak lama lagi sabagai platform kepada belia untuk menyuarakan pendapat, pandangan, idea dengan cara yang berhemah iaitu melalui perbincangan dan sepakatan."

"Apa jua perancangan yang dibuat oleh kerajaan hari ini mengambil kira keperluan masa hadapan. Dalam merangka pelbagai dasar negara, termasuk dasar transformasi yang sedang dilaksanakan pada masa ini, kerajaan mendengar suara belia, menghargai hasrat belia dan cuba sedaya upaya untuk memenuhi jangkaan belia dengan hanya satu matlamat iaitu apa jua dasar yang dilaksanakan mestilah menjamin masa depan yang lebih baik buat golongan belia," ujarnya lagi.

Beliau juga menyeru kepada semua belia seluruh negara untuk menjadikan Sambutan HBN pada tahun ini sebagai simbol kebersamaan belia dan kerajaan dan bersama-sama memenuhi Putrajaya dengan lautan belia dengan memaparkan semangat cintakan negara, kedamaian, keharmonian dengan berhimpun secara aman dalam suasan penuh keriangan. 

Sempena Pelancaran HBN 2012 hari ini juga, pelbagai aktiviti telah dijalan dan dijayakan oleh belia yang sentiasa menyokong penuh usaha kerajaan terhadap pembangunan belia di Malaysia. Antara aktiviti yang berlangsung adalah Persembahan Kebudayaan 1Malaysia, persembahan Flashmob, essemble aksi remaja kreatif dan diserikan dengan kehadiran selebriti tanah air seperti Fizo Omar, Lisa Surihani, Mia Sara dan pemain Skuash Kebangsaan, Azlan Iskandar turut hadir sebagai tanda sokongan HBN 2012.

WR SyndicateHari Belia Negara 2012 - Dapatkan peta lokasi di sini. Jika perlu, print dan bawa semasa HBN di Putrajaya dari 23 Mei – 27 Mei 2012.

No comments:

Post a Comment