Saturday, September 22, 2012

KHALIFAH GANTI SUPERMAN

MATLAMAT PERJUANGAN DPIM: 60 PERATUS, BUKAN 30 PERATUS

Baru-baru ini Perdana Menteri Dato' Seri Najib Tun Razak menyatakan ekuiti Melayu serta Bumiputera dalam ekonomi telah mencapai 23 peratus daripada 30 peratus yang dijadikan sasaran di bawah Dasar Ekonomi Baru atau DEB. Perdana Menteri turut menyatakan keyakinan beliau bahawa matlamat 30 peratus akan dapat dicapai menjelang 2020.

Syukur Alhamdulillah! Kita semua di DPIM menyambut baik kenyataan Perdana Menteri, kerana satu ketika kebelakangan ini, kita dapati peratusan ekuiti milik Melayu dan Bumiputera telah merosot kepada 22 peratus, kemudian menurun lebih rendah lagi, iaitu 19.8 peratus. Justeru, DPIM mengalu-alukan kenyataan pencapaian sasaran lebih baik, 23 peratus ini.

Namun, dalam kita mengalu-alukan pencapaian 23 peratus, kita masih belum berpuas hati. Paling penting, DPIM berpendirian kita tidak harus lagi terima sasaran 30 peratus yang dilaung-laungkan selama ini, iaitu sejak DEB dilancarkan, sebagai sasaran muktamad untuk Melayu. Justeru, DPIM menyarankan bangsa Melayu dan umat Islam Malaysia segera mengenepikan sasaran 30 peratus dan menjadikan 60 peratus sebagai sasaran ekuiti milik mereka menjelang 2050.

Sekali lagi, saya ulangkan, pendirian DPIM ialah 60 peratus sebagai angka sasaran keramat, dan bukan lagi 30 peratus seperti yang dilaungkan selama ini! Untuk mencapai matlamat 60 peratus, peranan utama wajib diterajui oleh pimpinan bisnes dan entrepreneur swasta Melayu dan umat Islam sendiri, berserta organisasi bisnes dan korporat Melayu-Muslim, termasuk badan-badan GLC serta koperasi menjayakannya.

Kenapa dan dari mana datang angka 60 peratus?

Ia datang daripada prinsip menegakkan keadilan yang diwajibkan ke atas semua umat Islam. Kewajipan utama DPIM ialah memperjuangkan keadilan ekonomi dan sosial sebagai hak asasi selari dengan nilai kemanusiaan sejagat tidak kira kaum, bangsa atau agama. Sesungguhnya tidak adil, dan tidak sempurna martabat dan maruah, jika golongan yang merupakan 60 peratus penduduk, cuma dapat 30 peratus nilai harta kekayaan negara.

BUKAN ANGAN-ANGAN MAT JENIN: JIHAD BISNES!

Saya pasti ada yang akan bertanya: kenapa sasaran tinggi 60 peratus, sedangkan angka 30 peratus sasaran sebelum ini pun tidak tercapai? Pasti akan ada Melayu yang menyatakan ini sebagai satu "angan-angan Mat Jenin" anjuran DPIM yang hanya akan berakhir dengan kita semua hampa dan kecewa berpanjangan.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan rakan seperjuangan DPIM yang saya hormati sekalian,

DPIM bukan seperti Mat Jenin, watak Melayu lama yang terlalu berangan-angan menghimpun harta menjadi kaya, hingga terjatuh daripada pokok kelapa yang sedang dipanjat tanpa mendapat hasil buahnya. Kita di DPIM hari ini adalah barisan pejuang bangsa dan agama yang telah pun bertekad menjadikan usaha bisnes sebagai satu jihad, iaitu "JIHAD BISNES"! Dan bagi kita di DPIM, JIHAD BISNES bukan satu slogan kosong. Semangat Jihad Bisnes telah kita jadikan landasan perjuangan dan insya Allah, akan kita pegang erat sehingga sasaran dan matlamat 60 peratus dijayakan sepenuhnya.

Lagi pun, aspirasi Jihad Bisnes ini telah kita lengkapkan dengan susunan strategi mantap, iaitu menerusi peranan aktif usahawan entrepreneur Melayu di barisan depan, di samping GLC serta penubuhan institusi Waqaf Korporat.  Pada malam tadi kita telah menyaksikan pemeteraian MOU antara DPIM dengn UniKL. MOU ini merupakan langkah DPIM bersama institusi pengajian tinggi menterjemah konsep dan amalan Jihad Binses, institusi Waqaf Korporat serta pembangunan usahawan entrepreneur mengikut kaedah islamik, untuk dijadikan disiplin keilmuan, pengajaran dan pembelajaran. Semua ini adalah bagi manfaat pelajar bisnes di universiti-universiti yang akan menjadi ahli bisnes, eksekutif korporat dan CEO serta usahawan entrepreneur masa depan.

Beberapa bulan sebelum ini pun, DPIM telah melancarkan Program Rakan Jihad  Bisnes yang telah bertapak dengan teguh dan cemerlang sejak beberapa tahun atas inisiatif DPIM Negeri Johor. Program Rakan Jihad Bisnes ini akan kita perluaskan, insya Allah ke semua cawangan DPIM di seluruh negara untuk manfaat ahli-ahli.

PENGERTIAN JIHAD BISNES

Tuan-Tuan dan Puan-Puan rakan seperjuangan sekalian,

Menerusi Jihad Bisnes, kita berjuang atas landasan menyedarkan Melayu dan umat Islam bahawa hakikatnya mereka bukan lagi satu bangsa dan umat yang  kerdil, miskin, lemah, ketinggalan dalam ekonomi dan dengan demikian harus bergantung hidup kepada orang lain. Bagi kita di DPIM, menjadikan bisnes sebagai satu jihad, antara lain, bermaksud:-

Pertama, berkerja keras dan bersungguh-sungguh "menggenggam bara api sampai jadi arang". Dengan semangat Jihad Bisnes, usahawan dan ahli bisnes tidak akan segan atau ragu-ragu mengejar keuntungan, memburu kekayaan dan menghimpun harta. Berjihad menerusi bisnes bermakna menjadikan bisnes sembilan per sepuluh sumber kehidupan dan rezeki.

Menerusi Jihad Bisnes kita mahukan lebih ramai ahli DPIM, dan lebih ramai Melayu dan umat Islam menjadi jutawan dan bilionair. Jihad Bisnes menuntut kita semua gagah dan gigih berusaha sehingga berjaya memperkaya dan memperkasa umat Islam, sekali gus memakmurkan negara menjadi negara maju dengan melipatgandakan pendapatan rakyat semua kaum dan keturunan.

Kedua, memperjuangkan bisnes di jalan Allah untuk membawa sebanyak manfaat, bukan sahaja buat umat Islam, malahan kepada seluruh manusia dan alam semesta. Matlamat Jihad Bisnes ialah menjadikan bisnes satu perjuangan besar bangsa, sehingga akhirnya kita berjaya menegakkan keadilan ekonomi dan kelestarian hidup yang telah banyak dirosakkan oleh sistem kapitalis rakus yang dibawa dan dianjur oleh Barat.

Ketiga, membela nasib golongan miskin dan berpendapatan paling rendah semua kaum dan keturunan supaya dapat berdikari dan bersama mendapat peluang ekonomi seluas-luasnya sehingga berjaya dalam kehidupan. Justeru, Jihad Bisnes bercita-cita menjadikan umat Islam khasnya sebagai umat "al yadul uliya" yang tangannya berada di atas dan tidak terus-menerus dependent dan meminta-minta.

Keempat, menjadikan kemakmuran ekonomi, kesejahteraan sosial dan kestabilan politik hasil usaha bisnes dan korporat sebagai landasan perjuangan jihad dengan cara aman. DPIM menganjurkan Jihad Bisnes sebagai jihad alternatif menggantikan kaedah jihad agresif, berdarah dan ganas.

Disamping itu, tujuannya ialah menyusun semula dan mereformasikan sistem ekonomi ciplakan kapitalis Barat yang mengakibatkan cuma segolongan kecil yang kaya raya membolot harta kekayaan. Jihad Bisnes adalah perjuangan yang suci-mulia untuk menentukan supaya harta kekayaan negara tidak berputar cuma di kalangan golongan kecil yang kaya ini. Matlamat akhirnya ialah memperjuangkan supaya pembahagian harta negara menjadi lebih adil dan saksama.

Dan kelima, Jihad Bisnes juga berlandaskan Waqaf Korporat sebagai satu pembaharuan institusi bertujuan mengatasi kebocoran ekuiti yang banyak berlaku kepada hak milik Melayu-Muslim sejauh ini. Tujuan Waqaf Korporat ialah supaya harta kekayaan milik umat Islam kekal berpanjangan, turun-temurun untuk dinikmati dan dikembangkan oleh generasi masa depan.

Dalam kata lain, kita di DPIM berjuang memastikan Dasar Liberalisasi dan Penswastaan ciplakan Barat diubah-suai dengan memperkenalkan kaedah penswastaan mengikut cara Islam, iaitu bukan sahaja ekuiti korporat milik kerajaan dan GLC diswastakan kepada individu seperti sebelum ini.

Kaedah individualistik mengakibatkan kerosakan dan ketidakadilan berlaku dalam sistem ekonomi. Ia melebarkan jurang kaya-miskin selain menyebabkan ramai rakyat Malaysia menjadi rakus, tamak dan nafsu-nafsi. Di samping itu, golongan masyarakat majoriti kelihatan cuma menjadi mangsa kerakusan, ketamakan dan sifat nafsu-nafsi golongan kecil istimewa ini. Justeru, DPIM menganjurkan penswastaan alternatif, iaitu kepada GLC, GLIC serta barisan organisasi Waqaf Korporat yang perlu dibangunkan, selaras dengan Resolusi Kongres Ekonomi Islam Ketiga, 2009, dan Kongres Majlis Agama Islam Negeri-Negeri pada 2011.

Bagi orang Melayu dan umat Islam, ideologi Jihad Bisnes jelas berupaya memperbaharui sikap dan pandangan terhadap bisnes yang tidak bercampur-baur dengan was-was, misalnya tentang halal-haram atau bisnes yang melampau duniawi. Jihad Bisnes bererti cara berbisnes yang tidak bersubahat atau bergelumang dengan kaedah penipuan, pembohongan, rasuah, korupsi, kerakusan, monopoli, tamak-haloba, materialistik dan seumpamanya.

Dengan pendekatan baru ini, kita di DPIM yakin bahawa Jihad Bisnes adalah satu-satunya ideologi yang dapat memberi tenaga spiritual hebat dan motivasi tinggi kepada usahawan entrepreneur Muslim untuk berusaha bersungguh-sungguh sehingga tercapai juga cita-cita dan matlamat. Setelah berjaya berjihad menerusi bisnes dan mengendalikan bisnes dengan jujur dan amanah, dengan berpadu tenga di dalam semangat ukhuwah umat ijtimaii, kita dijanjikan oleh Islam dua ganjaran besar. Pertama, berharta dan kaya di dunia, dan kedua, tempat istimewa di akhirat, insya Allah.

(Sebahagian ehsan Ucapan Penggulungan TS Ali Hashim).

3 comments:

  1. Kena jadi ahli UMNO, MCA, MIC, Gerakan atau mana-mana parti BN dahulu tak?


    ReplyDelete
  2. Macam nasib mat sabun manjang kono kelentong. Dapek 50 Juta dari DSNTAR masih bungko tak roti nak buek apo bayar yo kepado skot orang kampung yang tak berpencen tu yang dah naik lonjan mempertahankan tanah air cumo dapek air niro yo....jaso mu totap dikonang dan tak boleh dinilai dengan wang ringgit poie jahanam dengan sologan ni PERHEBAT dah ado peruntukan untuk melatih bakal pesara tentera. Kono statement montori den dongar laie gilo babi baru nak bincang dengan LTAT

    ReplyDelete
  3. Macam nasib mat sabun manjang kono kelentong. Dapek 50 Juta dari DSNTAR masih bungko tak roti nak buek apo bayar yo kepado skot orang kampung yang tak berpencen tu yang dah naik lonjan mempertahankan tanah air cumo dapek air niro yo....jaso mu totap dikonang dan tak boleh dinilai dengan wang ringgit poie jahanam dengan sologan ni PERHEBAT dah ado peruntukan untuk melatih bakal pesara tentera. Kono statement montori den dongar laie gilo babi baru nak bincang dengan LTAT

    ReplyDelete