Wednesday, November 9, 2011

Antara harapan masyarakat, 'kecerdikan' mahasiswa dan manipulasi politik

1. Pada 31 Oktober lalu, Mahkamah Rayuan telah memutus serta mengisytiharkan bahawa Seksyen 15 Akta Universti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 sebagai tidak sah dan melanggarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan. Mahkamah Rayuan memutuskan sedemikian setelah mendengar rayuan 4 orang pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang mencabar keputusan Lembaga Disiplin Pelajar yang mengenakan hukuman disiplin ke atas mereka. Hukuman disiplin ini dikenakan kerana pelajar-pelajar ini ditahan pihak polis kerana disyaki terlibat dalam kempen Pilihanraya Kecil Hulu Selangor lalu.

2. Mahkamah Rayuan yang bersidang dengan 3 orang Hakim Mahkamah Rayuan telah membuat keputusan majoriti 2-1 di mana Yang Amat Arif Hakim (YAA) Datuk Wira Low Hop Bing tidak bersetuju dengan keputusan dengan YAA Hakim yang lain. Rayuan tersebut turut didengar oleh YAA Mohd Hishamudin dan YAA Datuk Linton Albert.

3. YAA Mohd Hishamudin dalam keputusannya mengatakan bahawa Seksyen 15 AUKU tidak munasabah kerana ia menyekat kebebasan bersuara mahasiswa. YAA Datuk Linton bersetuju dan menambah bahawa Seksyen tersebut melarang pembabitan mahasiswa dalam politik sedangkan ia adalah aspek yang penting dalam demokrasi. Justeru, Seksyen tersebut tidak wajar dikategorikan sebagai munasabah. Walau bagaimanapun, YAA Datuk Wira Low Hop Bing pula mengatakan sekatan melalui Seksyen tersebut adalah sah kerana ia termasuk di bawah skop Perkara 10 (1) (a) dan Perkara 10(2) (a) Perlembagaan Persekutuan. Tambahnya lagi, sekatan sedemikian adalah penting bagi menyekat penerapan idelogi politik termasuk yang bersifat melampau di kalangan mahasiswa yang mudah terpengaruh.

4. Bagi kelompok pengamal undang-undang, ini adalah suatu kes tumpuan (landmark case) kerana ia melibatkan persoalan tentang hak kebebasan bersuara yang dijamin oleh Perlembagaan. Sejak AUKU diluluskan pada tahun 1971, hanya pada tahun 2011 suatu bahagian darinya (iaitu Seksyen 15) diisytiharkan tidak sah kerana melanggar peruntukan hak kebebasan bersuara yang dijamin oleh Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan. Walaubagaimanapun pihak UKM dan Kerajaan masih boleh merayu kes ini ke Mahkamah Persekutuan.

5. Apakah kandungan Seksyen yang di anggap menyekat kebebasan bersuara mahasiswa ini? Seksyen 15 antara lain menyatakan bahawa mahasiswa dilarang untuk menjadi mana-mana ahli persatuan, parti politik, kesatuan sekerja, pertubuhan atau badan berkecuali seperti yang dibenarkan oleh Perlembagaan Universiti atau kecuali seperti yang diluluskan oleh Naib Canselor (klik). Menurut undang-undang, Perlembagaan mengiktiraf hak individu untuk bersuara melalui platform persatuan/parti politik dan sebagainya. Kesan daripada keputusan Mahkamah Rayuan tersebut, (jika tidak diketepikan oleh keputusan rayuan di Mahkamah Persekutuan) mahasiswa kini boleh menganggotai mana-mana parti politik/persatuan/kesatuan sekerja/pertubuhan atau mana-mana badan tanpa sekatan. Ini termasuk menjawat apa-apa jawatan dalam persatuan/parti/badan tersebut dan juga boleh menjalankan aktiviti persatuan/parti/badan tersebut seperti berkempen untuk mempromosikan atau melebarkan pengaruh, samada di dalam dan di luar universiti.

6. Jika keputusan Mahkamah Rayuan ini kekal, tidak hairan jika kita semua dapat melihat semula perhimpunan dan demonstrasi pelajar seperti tahun 60’an dahulu yang melaungkan tentang kemiskinan di Baling, Kedah walhal perkara tersebut langsung tidak benar. Kemungkinan bahawa pelajar/mahasiswa dipergunakan oleh golongan tertentu untuk sesuatu kepentingan akan berlaku semula. Kerajaan memperkenalkan AUKU pada 1971 antara lain adalah untuk membendung perkara sebegini berlaku kerana kepentingan pelajar yang utama (khususnya pelajar Melayu) adalah untuk mendapat pendidikan dan bukannya untuk terjebak ke kancah politik atau permainan politik pihak tertentu.

7. Mahasiswa adalah "stakeholder" di mana ramai pihak yang meletakkan harapan ke atas mereka. Pertama, ibu dan bapa mereka yang mengharapkan anak mereka mendapat pendidikan dan kejayaan dan akan berupaya untuk membantu dan menaikkan taraf kesejahteraan diri mereka sendiri dan keluarga. Kedua, Pihak Penaja seperti MARA, JPA dan sebagainya yang berharap mereka ini mendapat pendidikan yang baik dan apabila keluar dari Universiti kelak akan memberi tenaga dan khidmat serta kemahiran kepada egensi tersebut, bahkan kepada Negara. Ketiga, masyarakat juga berharap agar mahasiswa hari ini kelak dapat memberi sumbangan intelek dan kemahiran dalam meningkatkan kesejahteraan semua. Begitu juga pihak Kerajaan yang mahukan golongan generasi berilmu yang mempunyai modal insan terbaik yang boleh dan berupaya memimpin Negara di masa akan datang. Aku yakin dan percaya tidak ada sama sekali gambaran dalam harapan pihak–pihak ini, agar golongan mahasiswa ini menjadi ahli politik atau aktivis politik, semasa mereka masih menuntut di Universiti!

8. Sesiapa yang terlibat dalam politik sentiasa sedar bahawa kerja-kerja politik ini bukan mengikut masa pejabat atau mengikut had waktu tertentu. Kadangkala lewat sehingga dinihari barulah balik ke rumah. Kalau mahasiswa kita jadi begini, bila agaknya masa untuk mereka ke kuliah? Bila masanya nak siapkan tugasan atau kerja kursus? Bila pula nak ke perpustakaan dan bila pula mahu menelaah nota kuliah? (Atau yang lebih advance lagi mengkaji secara mendalam kursus yang mereka ambil di Universiti). Walaupun kita boleh kata kita mampu mengurus masa tapi hakikatnya akan berlaku perkara-perkara seperti ponteng (tuang) kuliah, tugasan atau kerja kursus yang dibuat sambil lewa serta lambat di hantar, mengundang tabiat meniru tugasan pelajar lain, tidak membuat persiapan untuk ujian atau peperiksaan dan terpaksa mengulangi kertas yang sama (punca disekat untuk menghadiri peperiksaan kertas tersebut kerana tidak hadir kuliah atau gagal kertas tersebut); serta mendapat CGPA (Cumulative Grade Point Average) yang rendah. Adakah ini yang kita mahukan terjadi kepada mahasiswa kita? Untuk rekod, antara pemimpin Pembangkang kini yang dahulunya merupakan pemimpin pelajar yang aktif tahun 60'an dahulu hanya menamatkan pengajiannya dengan Ijazah Am (General Degree) Pengajian Melayu di Universiti Malaya. Adakah contoh sebegini yang kita mahu (berlaku) kepada mahasiswa kita?

9. Apa yang lebih menakutkan jika ada golongan tertentu akan memanipulasi golongan mahasiswa, (terutamanya) mahasiswa Melayu. Pernah beberapa kali berlaku dalam pilihanraya kecil, dapat dilihat ada pihak yang menggunakan mahasiswa sebagai perayu undi. Hairannya, (yang buat kerja ni) semuanya mahasiswa Melayu. Terbaru, demonstrasi pelajar di UIA kerana penggantungan kerja Professor Aziz Bari, majoritinya pelajar Melayu. Amat jarang dapat dilihat mahasiswa Cina atau India (sibuk) menyertai kempen mahupun demonstrasi. Dalam kes Mahkamah Rayuan baru-baru ini pun pelajar yang terbabit adalah Melayu. Persoalannya kenapa? Adakah persoalan ini akan terjawab apabila kita melihat statistik pencapaian akademik mengikut kaum dengan pencapaian tinggi mahasiswa Cina dan India berbanding pencapaian rendah mahasiswa Melayu di Universiti?

Selanjutnya baca...

Baca juga di sini, sana, sinun dan sinua.

2 comments:

  1. Cuba kita perhatikan pelajar sekolah Tingkatan 4,5 dan 6. Bayangkan 2 tahun lagi apabila berada di universiti tiba-tiba mereka ini boleh menjadi begitu matang hingga mampu mencaturkan politik negara. Wow.....
    AUKU sangat relevan untuk mengekang pelajar baru 2 tahun keluar sekolah ini untuk menjadi perasan jadi hebat dan dah pandai nak mengajar Pak Menteri yang sama umur dengan datuk mereka, bagaimana nak mentadbir negara dengan betul.
    Cukuplah tu, orang Melayu semua peringkat berpolitik 24 jam di sepanjang masa bersambung-sambung dari satu pilihanraya ke pilihanraya. Janganlah sampai anak-anak Melayu di universiti pun sama ragamnya akibat halangan sudah tiada lagi.
    Percayalah,akibat ragam budak Melayu 4 orang yang tak puas hati ditangkap,abis budaya ke universiti untuk belajar jadi masuk universiti untuk jadi budak suruhan orang politik.

    ReplyDelete
  2. Kerajaan Jangan Tak Buat Rayuan. Tunggu dulu, apa pula kata Mahkamah Persekutuan bukan apa kata pelajar-pelajar tersebut seolahnya telah diguna pakai oleh golongan tertentu. Kenapa desak kerajaan tidak merayu kepada Mahkamah Persekutuan???

    Apakah berpuak-puak dan berpecah belah dalam kampus kerana fahaman politik suatu yang dikehendaki dan baik di IPTA sebagai tempat pengajian? Apa relevannya parti politik dikampus dan apa hak mereka untuk mencampuri urusan dan dasar IPTA? Maka Mahkamah Rayuan perlu nampak dan jangan pura-pura tidak nampak bahawa kekangan pada auku adalah untuk menghilangkan benih yang akan menjejaskan kententeraman awam (pubic order) di sesebuah IPTA agar falsafahnya sebagai tempat pengajian dihormati. Pun begitu, politik (seperti sukan etc)sebagai sebuah kurikulum (matapelajaran) dengan buku dan artikel rujukan digalakkan.

    Pendidikan haruslah bedasarkan pemikiran secara disiplin (seperti thesis) bukannya pemikiran yang tanpa disiplin dan haru biru. Mungkin pemikiran "haru biru dan kurang disiplin" adalah lumrah bagi orang politikus namun pendidikan dan dasar pengajian, pemikiran itu hendaklah berstruktur dan berdisiplin.

    Kalau jaguh berfikiran, buatlah artikel dan thesis dengan metolodoginya dan sebagainya.

    Tanggapan bahawa berpolitik boleh merangsangkan pemikiran berdisiplin itu suatu tanggapan yang terpesong. Pendidikan itu pemikiran berdisiplin harus difahami bukan pemikiran beremosi dan popular.

    AUKU tidak sedikitpun menghalang sesiapa yang berkelayakan mengundi. Siapa yang tidak mahu kebebasan. Tetapi kebebasan tanpa peraturan akhirnya!!! perhimpunan seperti seksualiti Merdeka apakah itu kebebasan??
    --------------
    http://www.agendadaily.com/Muka-Hadapan/sendiri-mau-ingat-bila-sultan-selangor-tak-berkenan-orang-politik-masuk-unisel.html

    SELASA, 09 OGOS 2011 00:12
    ... Sultan Selangor bertitah lagi, kali ini mengingatkan pihak-pihak berkenaan supaya politik kepartian tidak dicampuradukkan dalam pengajaran di Universiti Selangor (UNISEL) demi masa depan pelajar institusi itu.

    Para profesor dan pensyarah perlu menumpukan perhatian sepenuhnya kepada tugas-tugas mereka untuk mengajar dan berhenti daripada berpolitik di kampus kerana ia boleh menjejaskan masa depan pelajar, titah baginda ketika merasmikan Masjid UNISEL Kampus Bestari Jaya Kuala Selangor.

    Menurut Baginda amat merugikan sekiranya seseorang pelajar itu membuang masa untuk berpolitik dan tidak menumpukan sepenuh perhatian terhadap akademik.

    "Beta tidak berkenan orang-orang politik atau orang luar yang tidak ada kena mengena dengan universiti ini dijemput memberi ceramah politik atau syarahan politik di dalam kawasan Universiti Selangor.

    "Universiti ini adalah tempat untuk belajar, berbincang, dan mengembangkan idea mengenai ilmu serta membuat penyelidikan dan eksperimen tentang sesuatu projek atau penemuan yang boleh menaikkan lagi taraf industri di negeri ini, titah Baginda.

    Sultan Sharafuddin juga bertitah baginda telah menerima pengaduan daripada ibu bapa yang prihatin mengenai isu berpolitik di UNISEL dan jika ini berterusan, kemungkinan besar ada ibu bapa yang tidak akan menghantar anak-anak mereka untuk melanjutkan pelajaran mereka di universiti ini.

    ReplyDelete