Monday, December 13, 2010

Sejarah Kastam Malaysia 1

Berdasarkan artikel sebelum ni, maka aku merasakan bahawa kita sewajarnya mengenali fungsi Kastam Malaysia dengan lebih dekat. Sejarah penubuhan Kerajaan Beraja membuktikan Raja yang mengetuai kerajaan akan melantik para pegawai Kastam bertugas memungut cukai di jajahan takluk baginda. Sejarah Kerajaan Beraja juga menunjukkan, apabila jatuhnya seorang Raja, maka akan lenyaplah sebuah kerajaan milik Raja tersebut. Andainya seseorang Raja dijatuhkan bertindak melarikan diri dari istana, maka para pengikutnya, termasuk pegawai-pegawai Kastam, akan lari mengikut Raja mereka. Jika Raja yang tidak berkerajaan itu menemui pula sebuah penempatan lain dan berjaya menjadi Raja baru di situ, maka hamba sahayanya, termasuk pegawai-pegawai Kastam akan kembali berkhidmat kepada baginda.

Sesungguhnya, para pegawai Kastam akan berkhidmat kepada kepada seorang Raja atau warisnya sahaja, sehinggakan anggota Kastam ini pernah digelar sebagai budak-budak raja. Atas kesetiaan yang ditunjukkan itu, maka teramat wajarlah pada 29 Oktober 1963, Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah menganugerahkan Jabatan Kastam dan Eksais Malaysia dengan gelaran Diraja. Anugerah itu diterima oleh Encik Abdul Rahman Ariffin, Ketua Kastam (Customs Comptroller) pada masa itu.

Di Malaysia, sejarah Kastam dapat dikesan dengan merujuk kepada aktiviti perdagangan yang pernah berlaku pada masa dahulu. Susur galur percukaian, kaedah kawalan dan bentuk kutipan cukai Kastam telah pun terserlah pada zaman Kerajaan Kedah Tua pada abad kesembilan, sehinggalah zaman Kesultanan Melayu Melaka pada abad ke-15 yang kerap dijadikan titik mula untuk menyelusuri sejarah sesebuah organisasi awam di Malaysia, termasuklah Jabatan Kastam.

Dalam sistem Kesultanan Melayu Melaka, pentadbiran Sultan yang berkuasa mutlak telah dibantu oleh pembesar-pembesar istana yang berasaskan Sistem Pembesar Empat Lipatan, iaitu Bendahara, Penghulu Bendahari, Laksamana dan Temenggung. Peraturan laut, pelabuhan serta hal-hal berhubung cukai terhadap barang dagangan telah dikuatkuasakan terhadap saudagar-saudagar asing dan peniaga tempatan. Pemungutan cukai dikawal oleh Penghulu Bendahari yang tugasnya adalah; "...the chief of Exchequer. (He) controlled all the revenue and Customs Officers and looked after the palace building and equipment." - Wilkinson, R.J.W., "The Melaka Sultanate", JMBRAS (vol.xiii-Pt.2, 1935, hlm.31)

Bersambung........

No comments:

Post a Comment