SUATU perkara paling ketara dalam perancangan pembangunan Malaysia ialah ketiadaan perbincangan yang realistik untuk memperbaiki masalah kemiskinan melampau extreme poverty bagi setiap warganegara yang hidup di bawah paras kemiskinan sebagaimana yang digariskan oleh Kerajaan.
Tanpa terjunam di dalam perangkap perbahasan remeh-temeh mengenai paras kemiskinan, adalah jelas bahawa sejak setengah abad lalu ketidakseimbangan dalam pembahagian pendapatan atau kekayaan semakin meluas. Dengan lain perkataan, golongan kaya bertambah kaya manakala yang miskin bertambah miskin. Mengikut bahasa statistik, ketidakseimbangan ini semakin berpintal (skewed).
Majoriti golongan miskin melampau adalah kaum Bumiputera. Mereka termasuk yang tinggal di desa dan di kota dan kini semakin meningkat bilangannya. Mereka yang ditakrif sebagai Orang Asli dan penduduk asal Sarawak dan Sabah (natives) juga tergolong dalam kumpulan ini.
Di samping itu sejumlah besar kaum India, terutamanya mereka yang tersingkir dari kawasan bekas ladang getah juga merupakan golongan miskin melampau.
Bagi kaum Cina pula, terdapat sejumlah warga tua yang tercicir daripada jaringan keselamatan tradisional. Golongan terbiar warga tua ini yang pada kebiasaanya dijaga oleh pertubuhan-pertubuhan kemasyarakatan mengikut dialek masing-masing.
Di sini saya tidak akan menyentuh tentang golongan pengemis dan anak-anak yatim.
Golongan miskin melampau dianggarkan berjumlah lebih daripada satu juta individu atau 300,000 hingga 400,000 keluarga.
Sekiranya keadaan ini terus diabaikan ia akan menjejaskan kestabilan politik, terutamanya dalam rancangan pembangunan. Saya belum nampak sebarang rancangan berkesan atau kenyataan-kenyataan khusus yang dibuat untuk menangani masalah kemiskinan melampau.
Rakyat Malaysia harus sedar bahawa terdapat jurang perbezaan antara niat dan perilaku. Perbezaan ini dipengaruhi oleh sikap kita terhadap peredaran waktu. Menurut pesanan Keynes, in the long run we are all dead! (dalam jangka panjang, kita semua akan menemui ajal!) Justeru, berapa lama lagi kita harus menunggu?
Kononnya ada pelbagai teori berbeza yang direka untuk mengurangkan, membasmi atau menangani apa yang disebut sebagai ‘kemiskinan tegar’ atau hardcore poverty. Usaha yang tidak praktikal ini sebenarnya bermula dengan niat murni, sungguhpun tidak ada satu pun yang meninggalkan hasil berkesan dan berkekalan.
Istilah hardcore membawa maksud kesukaran yang berpunca dari akar umbi. Kata sifat hard bermaksud sukar diatasi. Para perancang putar belit politik Malaysia mahu kita percaya bahawa jika core atau punca akar umbi itu boleh dihapuskan, maka keseluruhan masalah itu akan lenyap dalam sekelip mata.
Sebenarnya ini bukanlah isu semantik. Ia telah mempengaruhi ramai pencipta akronim, kata singkatan dan slogan. Kita perlu ingat kata mutiara Marshall McLuhan: The medium is the message yang bermaksud perantaraan ialah mesejnya.
Kumpulan Miskin Melampau
Saya mencadangkan satu penyelesaian holistik yang berkekalan terhadap masalah yang berbangkit ekoran pengabaian ini. Bagi mengelakkan salah faham, saya akan menggunakan istilah baharu iaitu Kumpulan Miskin Melampau (KMM) atau Extreme Poverty Group.
Di sini, untuk memudahkan perbincangan saya cadangkan satu penyampaian dalam bentuk kewangan supaya ia mudah difaham oleh pembaca biasa.
Dengan mengambil kira semua isi rumah warganegara Malaysia yang tinggal di negara ini pada 1 Januari 2012 saya cadangkan setiap keluarga lima orang ahli (contohnya, suami, isteri dan tiga anak) hidup di bawah paras kemiskinan jika pendapatan kasar mereka kurang daripada RM800 sebulan.
Tanpa mengambil kira tentang perbezaan keperluan keluarga di kota atau desa dan perbandingan jangka hayat kanak-kanak di bawah umur lima tahun, data ini membayangkan bahawa jika anda tergolong dalam kumpulan miskin melampau, anda mungkin lebih pendek umur atau lebih cepat sampai ajal berbanding orang lain.
Aspek paling penting keadaan ini ialah kekurangan pertumbuhan jasad dan otak, atau keadaan “terbantut”, (stunted) mengikut istilah Institut Penyelidikan Perubatan Malaysia. Ini bermakna walaupun keluarga KMM mungkin melahirkan lebih ramai anak, bilangan yang mencapai usia remaja atau pertengahan umur semakin berkurangan sebagaimana yang tercatat pada carta jangka hayat semasa.
Sebenarnya golongan KMM ini perlukan bekalan keperluan asas seperti makanan yang selamat, pakaian dan tempat berteduh.
Mereka tidak perlukan bantuan atau sumbangan bermusim seperti pada waktu pilihan raya, perayaan atau pada bila-bila waktu pemimpin tertentu itu berasa perlukan sokongan besar-besaran penduduk tempatan.
Acara tanggungjawab sosial korporat yang dianjurkan dari masa ke semasa untuk melepaskan batuk di tepi tangga juga tidak memadai untuk membantu mereka.
Cadangan baru demi memperbaiki kumpulan kemiskinan melampau
Usaha memperbaiki kemiskinan bermula hanya apabila warganegara paling miskin mampu memberi makan dan pakaian kepada keluarganya mengikut ukuran penjagaan asas (basic standards of care).
Satu rangka prasarana perkhidmatan diperlukan. Cadangan saya mengandungi empat bahagian: sebuah Agensi Kerajaan untuk Menangani Kemiskinan Melampau (AMKM) atau Agency for the Mitigation of Extreme Poverty, Ketua keluarga (Kk), Mentor dan Peruncit berdaftar (Pb).
Pada peringkat awal di bawah rancangan ini kerajaan akan menubuhkan sebuah agensi - AMKM - yang ditugaskan secara khusus untuk menangani kemiskinan melampau di Malaysia. Peranan utamanya adalah untuk menetapkan dan mengurus ganjaran bulanan (stipend) yang layak diterima oleh Kk dan memastikan ganjaran ini digunakan dengan betul.
Jumlah ganjaran adalah sama bagi semua keluarga, tanpa mengira bilangan ahli keluarga atau kedudukan mereka. Ia akan disalurkan melalui MyKad yang diperbaharui dalam bentuk debit pratambah nilai yang hanya boleh digunakan di kedai Pb.
Ganjaran ini bertujuan membantu KMM mendapatkan keperluan asas mereka untuk setiap bulan. Jumlahnya perlu dibincangkan lebih lanjut.
Saya amat menitikberatkan penubuhan satu sistem yang telus, bertanggungjawab dan berkesan bagi menyalurkan ganjaran secara langsung kepada mereka yang paling memerlukannya. Adalah penting cadangan ini mampu mendidik KMM secara holistik.
AMKM diketuai oleh seorang Ketua Pengarah yang akan menyusun dasar dan peraturan supaya Agensi ini dapat melaksanakan tugas dengan cekap. Ketua Pengarah akan dibantu oleh barisan Mentor dan Penyelia Mentor Kanan yang tugasnya akan saya huraikan seterusnya.
AMKM tertakluk di bawah peraturan dan amalan perkhidmatan awam akan mengenalpasti kelompok isi rumah KMM yang akan diselia oleh seorang Mentor di bawah Kawasan Perkhidmatan Ditetapkan (Designated Service Area).
Pada peringkat awal, seorang Mentor ditugaskan menyelia lima orang Kk sehari. Sekali gus ia berkhidmat untuk 80 orang Kk dalam tempoh sebulan bekerja. Setelah mendapat pengalaman, Mentor itu mampu menyelia bilangan Kk yang lebih besar lagi.
Ciri-ciri Mykad hendaklah dipertingkatkan bagi meliputi kad debit khas untuk KMM. Mykad berciri baru ini akan hanya dikeluarkan kepada mereka yang layak ditakrif sebagai KMM sahaja.
Keseluruhan operasi ini perlu kerap diperiksa oleh Jabatan Audit Negara. Pihak media serta Ahli Parlimen juga perlu terlibat sama dalam pengawasan ini.
Sebagai bahagian kedua cadangan ini, KK akan diberikan MyKad berciri baru dan telefon bimbit terhad bagi membolehkan mereka berhubung dengan Mentor. Dengan alat ini Kk boleh pergi ke mana-mana kedai Pb di Kawasan Perkhidmatan Ditetapkan dan mendapatkan bekalan barangan pengguna mengikut jumlah ganjaran bulanan yang dibenarkan.
Pb tidak dibenar menukarkan baki ganjaran dalam bentuk tunai dengan Kk. Jika ada baki yang tidak dibelanjakan, ia akan dipulangkan kembali kepada Agensi pada akhir bulan.
MyKad berciri baru dan telefon bimbit terhad itu hendaklah disimpan dalam sarung plastik yang boleh digantung pada leher Kk.
Mentor memainkan peranan penting dalam bahagian ketiga cadangan ini. Dia adalah pembimbing, guru dan penasihat kepada setiap Kk dan keluarga KMM. Mentor boleh bertindak sebagai penghubung di antara Kk dan semua pihak lain termasuk agensi, Pb dan lain-lain Kk di Kawasan Perkhidmatan Ditetapkan.
Tugas utama Mentor adalah mendidik KMM supaya mereka lebih proaktif dalam menggalakkan ketelusan sebagai sebahagian daripada tanggungjawab mereka selaku penerima bantuan kebajikan. Mentor juga akan mendidik keluarga itu semasa berkunjung ke rumah tersebut dan mengajar mereka tentang kecekapan membeli, cara untuk membuat pembelian yang tepat dan bagaimana untuk memaksimumkan penggunaan ganjaran.
Setiap Mentor hendaklah tinggal di Kawasan Perkhidmatan Ditetapkan yang mereka selia dan kegiatan serta kuasa mereka adalah terbatas pada kawasan itu. Adalah lebih baik jika mereka mempunyai latar belakang kebudayaan yang sama dengan keluarga di bawah seliaan mereka. Mereka juga hendaklah mempunyai kenderaan sendiri seperti motosikal atau basikal.
Di satu sudut lain pula, Mentor juga dikehendaki menyiasat jika wujud amalan monopoli oleh pembekal atau penipuan oleh Pb. Semua aktiviti dan pemerhatian mereka dicatatkan dalam laporan bulanan kepada AMKM.
Mentor juga hendaklah melaporkan kepada AMKM jika terdapat perubahan dalam profil kewangan KMM. Contohnya, jika pendapatan kasar keluarga KMM itu melebihi garis kemiskinan ini bermakna mereka tidak layak mendapat ganjaran bulanan itu.
Sebaliknya jika keluarga Kk itu menghadapi sesuatu masalah seperti ditimpa penyakit teruk yang memerlukan rawatan perubatan yang mahal, Mentor hendaklah menghubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk mendapat bantuan.
Mentor hendaklah berumur sekurang-kurangnya 25 tahun dan memiliki kelayakan minimum SPM, mempunyai pengetahuan dalam bidang teknologi maklumat dan cekap mengurus wang, mengira dan mempunyai kemahiran berkomunikasi yang baik.
Mereka hendaklah memiliki sikap positif, jujur, prihatin dan berdaya usaha.
Pada umumnya, pesara-pesara perkhidmatan awam merupakan calon yang sesuai memandangkan mereka mempunyai pengalaman berurusan dengan orang awam. Peluang juga hendaklah dibuka kepada siswazah menganggur yang ada pengalaman. Mereka hendaklah peka terhadap perbezaan gender, etnik dan bahasa.
Jelas sekali Mentor merupakan penghubung paling penting dalam rangkaian sistem ini. Justeru pengambilan dan latihan mereka hendaklah dirancang dan diurus dengan teliti. Latihan yang diberi hendaklah sentiasa berkesinambungan. Mentor hendaklah memahami sepenuhnya tanggungjawab mereka sebelum bersedia mendidik KMM.
Tugas Mentor boleh diperkukuh jika mereka dibekalkan dengan komputer riba yang lengkap dengan broadband supaya mereka boleh memperoleh maklumat semasa melalui Internet. Ini sangat penting bagi kawasan desa. Untuk mengetahui perkembangan semasa, Mentor hendaklah kerap mengadakan rundingan yang diketuai oleh Penyelia Mentor Kanan di Kawasan Perkhidmatan Ditetapkan.
Untuk pelantikan perkhidmatan awam, tempoh perkhidmatan Mentor hendaklah digariskan dengan jelas. Gaji pokok mereka mungkin bermula daripada RM1,500 sebulan dengan elaun sara hidup dan lain-lain faedah biasa untuk kakitangan.
Mentor yang didapati melakukan penipuan boleh didakwa atas kesalahan jenayah dan salahguna kuasa boleh menyebabkan dibuang kerja.
Peranan Peruncit Berdaftar
Dalam bahagian keempat cadangan ini, Pb dilantik oleh AMKM daripada kalangan peruncit sedia ada. Mereka dibekalkan dengan alat pengimbas kad pintar untuk mengimbas ibu jari dan MyKad Kk.
Jumlah pembelian yang dibuat oleh Kk dalam setiap urusniaga akan dicatat pada resit seperti amalan biasa. Salinan resit akan diberikan kepada Kk. Semua urusniaga disalurkan secara elektronik kepada AMKM untuk pembayaran balik kepada Pb.
Pb dikehendaki menyimpan stok barangan yang biasa dibeli oleh Kk di Kawasan Perkhidmatan Ditetapkan. Beberapa barangan keperluan asas sememangnya termasuk dalam senarai barang kawalan harga. Mentor juga perlu berwaspada memastikan tiada sebarang kegiatan monopsoni dan penipuan atau penganiayaan oleh Pb.
Di kawasan pedalaman yang terpencil, AMKM boleh melantik Peruncit Bergerak yang berniaga dengan menaiki van atau bot. Secara tidak langsung ganjaran KMM itu akan mewujudkan satu pasaran yang belum pernah wujud sebelumnya. Bila pasaran baru muncul, para usahawan akan mengekori seterusnya tidak kira sejauh mana terpencilnya kawasan itu.
Pb tidak dibenar mengeluarkan wang tunai kepada Kk sebagai pertukaran debit pada MyKad. Semua urusniaga akan dicatatkan oleh Agensi untuk penilaian, ketelusan dan perancangan masa depan.
Memodenkan KMM
Sungguhpun tujuan utama cadangan ini adalah untuk mengatasi kesan kemiskinan melampau, matlamat jangka panjang sebenarnya ialah untuk memodenkan KMM dengan membantu golongan itu melompat keluar dari belenggu buta huruf dan menjadi pengguna bijak. Bila kerap berurusan dengan Mentor dan Pb, KMM mula belajar berfikir dengan lebih berkesan untuk mendapatkan maklumat yang mereka perlukan. KMM juga akan lebih peka terhadap kepentingan menyimpan rekod. Sifat bertanggungjawab ialah manfaat sebenar cadangan ini.
Anggaran kos cadangan
Anggaran untuk kos melaksanakan cadangan ini memerlukan kajian teliti terhadap data yang tersimpan dalam beberapa bank data tetapi mungkin tidak pernah dikaji.
Masalah ini menjadi lebih rumit memandangkan paras pendapatan yang menentukan seseorang warganegara Malaysia hidup di bawah paras kemiskinan masih belum ditetapkan secara rasmi.
Kos sampingan untuk melaksanakan seluruh cadangan ini memerlukan peruntukan tahunan dan jumlah kakitangan AMKM yang ditetapkan mengikut sempadan Kawasan Perkhidmatan ditetapkan.
Pada peringkat permulaan kita hendaklah mempunyai anggaran kos yang berkesan untuk melaksanakan cadangan ini secara berperingkat dengan memberi keutamaan kepada kumpulan masyarakat yang paling miskin.
Cadangan ini hendaklah didahului dengan kajian perintis (pilot surveys) di beberapa kawasan perwakilan. Nisbah bilangan Kk yang diselia oleh setiap Mentor merupakan penentu penting untuk memastikan keberkesanan seluruh cadangan.
Secara keseluruhan, cadangan ini mengandungi empat unsur: pertama, kita perlu memastikan kefahaman dan penerimaan konsep asasi ini. Seterusnya kita hendaklah memastikan ia mencakupi semua KMM. Ketiga, cadangan ini hendaklah dilaksanakan dengan berkekalan. Akhir sekali, kita perlu menerima hakikat bahawa kejayaan sepenuhnya akan hanya boleh dicapai dengan berkesan, secara berperingkat-peringkat dalam tempoh beberapa tahun.
Pembaca perlu terima kenyataan bahawa penyampaian rangka cadangan ini berlakarkan suasana yang benar, tidak berat sebelah dan berasaskan uji kaji atau timbangan empirisis. Penyampaian itu harus tertumpu atau terfokus kepada matlamat asasinya.
Hasil kajiannya hendaklah dilapor kepada satu pasukan khusus yang berkekalan. Yang demikian, cadangan ini wajib dibaca sebagai satu saranan yang berdiri di atas empat pangsi.
Saya perlu tekankan bahawa cadangan ini bukan satu muslihat untuk memperkenalkan negara kebajikan (welfare state) atau seumpamanya. Ia semata-mata untuk memperbaiki masalah kemiskinan dalam satu sektor penting di negara Malaysia.
Akhir sekali, pihak di peringkat tertinggi kerajaan hendaklah mencari keseimbangan berperikemanusiaan di antara jumlah kos pelaksanaan cadangan ini dan kos sebahagian daripada projek prasarana atau alat bekalan tertentu yang mungkin boleh dianggap keutamaannya tidak begitu mustahak.
Secara ringkasnya, cadangan memperbaiki taraf KMM mempunyai tujuh manfaat:
1. Ia mencakupi semua warganegara yang mempunyai MyKad-KMM khusus.
2. Faedah kewangan dan lain-lain kemudahan akan dibahagikan sama rata dan secara langsung.
3. Cadangan ini akan mengubah tanggapan seluruh keluarga, mengurangkan sikap tidak ambil peduli atau apathy dan mencetuskan minda positif, proaktif di antara KMM.
4. Ia memberi fokus terhadap manfaat pemakanan dan kesihatan di kalangan kanak-kanak KMM yang sangat memerlukannya.
5. Tidak ada percanggahan di antara penyebab bantuan bukan kewangan dengan amalan perniagaan di Malaysia.
6. Ia membuka jalan bagi pembangunan ekonomi dan masyarakat yang tidak bergantung sangat kepada pihak lain.
7. Ia mampu memenuhi matlamat yang terabai sekian lama, iaitu membantu Bumiputera khususnya dan KMM secara amnya, supaya mereka boleh hidup berdikari.
Usaha merungkai masalah yang paling rumit boleh mencetuskan sinar baru terhadap penyebab kemiskinan yang wujud di negara kita.
Ada pula beberapa saranan yang kurang kukuh yang sukar diterima oleh pembaca umum seperti: kemiskinan itu harus wujud disebabkan suratan takdir, atau cadangan niat baik yang tinggal khayalan harapan kosong sahaja. Atau ajuan politik depostisme di mana segala kuasa pemerintah tertumpu kepada seorang pemimpin yang ganas. Atau rancangan berdikit-dikit demi pencapaian reformasi yang lengkap.
Setakat ini, belum pernah ada cadangan seperti ini dihasilkan di Malaysia. Ia merupakan cadangan yang julung kali serba lengkap dan selari dengan satu model inovatif yang telah dicadangkan oleh penulis dengan berskala agak kecil sedikit, iaitu Agensi Tabung Haji yang ditubuhkan pada 1960.
Maka cadangan saya di bahagian permulaan adalah rumusan penulis veteran pada usia 90 tahun.
~ Penulis ialah Prof. Diraja Ungku A. Aziz ~