Feel free to email us at panehmiang@gmail.com.

Friday, January 3, 2014

Bebaskan SPRM

Struktur organisasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) seperti yang kita ketahui adalah di bawah naungan Jabatan Perdana Menteri.

Sebenarnya aku bersetuju jugak dengan 11 langkah yang dicadangkan oleh PM bagi mengurangkan perbelanjaan mengurus kerajaan bermula pada tahun 2014. Walaubagaimanapun, yang menjadi persoalan yang sentiasa menganggu-gugat benak aku ialah bagaimana perbelanjaan mengurus kerajaan dapat dikurangkan dengan lebih baik, walhal RM15 billion telah sedia diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus Jabatan Perdana Menteri seperti yang dibentangkan dalam belanjawan 2014.

Mengikut laporan Ketua Audit Negara, sebanyak RM25 billion pembaziran wang rakyat telah dikenalpasti berpunca daripada ketirisan perbelanjaan kerajaan serta fenomena salah guna kuasa. Laporan ini sepatutnya menjadi asas kepada SPRM untuk memulakan siasatan, bukan sekadar menyiasat ketirisan dalam agensi kerajaan semata, tetapi perlu diperluaskan dalam projek-projek mega kerajaan terutama yang melibatkan ahli politik berkepentingan.

Aku berpandangan SPRM perlulah diletakkan di bawah parlimen dan bukannya di bawah JPM demi memastikan kebebasan mutlak SPRM dalam menyiasat sesuatu kes. Ini juga bermakna, dana, imbuhan serta emolumen pegawai-pegawai SPRM perlu ditanggung sepenuhnya oleh parlimen. Bukan sekadar 'branding' sahaja gah, tapi 'physical structure' masih seperti BPR pada zaman 90an dulu.

Pegawai-pegawai SPRM juga perlu dilatih secara profesional, janganlah sampai membelakangkan kuasa mahkamah, bak kata orang putih "People are innocent until proven guilty". "Proven guilty" bermaksud menjadi bidang kuasa mahkamah untuk menentukan seseorang itu bersalah atau tidak; bukan bidang kuasa SPRM untuk tentukan. 

Contohnya pada tahun 2011 dalam OPS 3B, seorang Pengarah Kastam telah dimalukan oleh SPRM di media hingga menjejaskan reputasi beliau dan keluarga di mata masyarakat walaupun belum ada keputusan mahkamah terhadap kes tersebut. Tapi selepas itu pihak mahkamah mendapati Pengarah Kastam ini bersih daripada kesalahan rasuah, namun ironinya pihak SPRM langsung tak ambil apa-apa tindakan bagi memastikan reputasi dan maruah beliau dibersihkan. Profesionalkah SPRM?

Jika sesiapa perasan, sejak BPR dinaik taraf kepada Suruhanjaya hingga sekarang, cuma ada satu saja kes yang melibatkan ahli politik iaitu bekas Menteri Besar Selangor yang boleh dikatakan kes itu dibuat hanya untuk meng'kambinghitam'kan beliau saja; demi menunjukkan kerajaan sangat telus dalam memerangi rasuah tanpa mengira siapa, waima ahli politik yang berpihak kepada kerajaan. 

Yang buat rakyat makin tertanya, apa jadi dengan kes rasuah politik semasa musim pilihanraya terutama kes yang melibatkan ahli politik tanpa perlu aku sebutkan siapa pelakunya. Takkanlah SPRM diwujudkan semata-mata untuk memerangi rasuah dikalangan ikan bilis, yang paling tinggipun setakat dapat RM2,000 ke RM5,000 sebulan? Bagaimana dengan ahli politik yang sampai boleh 'money changer' duit hingga ke luar negara? Apa cer? Takkan nak bagi alasan keterbatasan kuasa kot? Kemonlah, kau dah jadi Suruhanjaya, takkan benda kecik macam tu pun tak boleh nak fikir penyelesaian? Jika had kuasa undang-undang yang menjadi batas, kenapa SPRM tak cadang ke parlimen untuk pinda akta agar tidak ada siapapun yang boleh terlepas daripada tindakan undang-undang?

Kerajaan perlu pertimbangkan skim gaji lebih tinggi kepada pegawai penguatkuasa tidak kira Polis, Imigresen, Kastam mahupun APMM. Singapura menduduki ranking kedua dalam senarai negara bersih rasuah di dunia kerana antara faktornya adalah had gaji minimum bagi pegawai penguatkuasa di Singapura ialah RM5,000 ke RM6,000 sebulan. Bezakanlah dengan gaji minimum anggota penguatkuasa kita di sini. Tak payahlah nak cerita pasal intergriti kalau poket pegawai bawahan kerajaan kurang isi, terutama dalam kemelut kos sara hidup yang tinggi ketika ini.

Sebab tu pada zaman keagungan Islam di bawah Khalifah Umar Ibn Al-Khattab, beliau tidak menjatuhkan hukuman ke atas seorang hamba Allah yang mencuri disebabkan kelaparan. 

Rasuah itu memang salah, tapi bagaimana jika kesempitan hidup dijadikan alasan untuk seseorang itu menerima rasuah? Kadangkala kita sebagai manusia mudah gelap mata bila tengok duit banyak. Hutang kereta, rumah, tanggungan anak isteri, bil yang pelbagai, tol, cukai dan pelbagai lagi keperluan hidup tidak mampu ditanggung dengan gaji penguatkuasa setakat RM1,500 sebulan di bandar-bandar besar. 

Aku bukan nak kata rasuah itu adalah sesuatu yang halal atau boleh diterima; tetapi sebagai manusia, situasi penerima rasuah terutamanya pegawai kerajaan pada ketika itu perlu juga diambil kira - mengapa rasuah terjadi dan faktor pendorongnya.

Lu pikir la sendiri...

Thursday, January 2, 2014

Memula Petronas..sekarang Felda..lepas ni apa?!

Apo ko namo eh Felda Global Venture ni?!

Kumpulan Pengurusan FGV yang baru nampak eh melambangkan Melayu yang bungko bonar dan goblok.

FGV dah buka periuk Melayu kepada Cina, tahniah!!!

Di mana pegangan 153 kepada FGV?!

FGV boleh berjaya sebagai Global Player dengan kekuatan anak Melayu kelas pertama. Kok dah todosak bonar, FGV kono offer kedudukan mereka kepada manusia seperti Dr. Azizan Osman, Pengerusi Richworks International. Berikan dio 'Upah Otak' RM2 juta sebulan untuk dio jadikan FGV RM2 billion sebulan.

Bukan ekau gadaikan kedudukan Melayu dalam FGV kepada Cina dan Cina. Adakah tokey Cina di Malaysia banyak bagi ruang dan peluang kepada Melayu masuk syarikat mereka selama ni?!

Apo makin lamo makin BAHALOL semuo dalam gomen ni???

********* 

FGV Lantik Pengurusan Baharu

KUALA LUMPUR, 31 Dis (Bernama) -- Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) melantik ketua pengurusan yang baharu, berkuat kuasa 1 Jan, 2014, dalam usaha mengukuhkan dan menyepadukan syarikat untuk mengharungi tahun akan datang dan melepasinya.

Dalam satu kenyataan Selasa, FGV berkata antara pelantikan baharu itu ialah Fairuz Ismail, Naib Presiden Eksekutif bagi Pengurusan Transformasi; Abdul Halim Ahmad, Naib Presiden Eksekutif, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Felda Global Ventures Plantation (M) Sdn Bhd (FGVPM) dan Ketua Kelompok Perladangan; dan Farisan Mokhtar, Naib Presiden Kanan Pembangunan Perniagaan bagi Kelompok Hiliran.

Yang lain termasuk Datuk Abd Halim Hamid, Naib Presiden Kanan dan Ketua Meja Asia Tenggara dan & Oceania FGV; Zakaria Arshad, Naib Presiden Kanan dan Pemangku Ketua Kelompok Hiliran; Denys Colin Munang, Naib Presiden dan CEO Kumpulan Pontian United Plantations Bhd; Soh Kim Yaw, Naib Presiden FGVPM; dan Daniel Lee V'nn Ckh'ng, Pemangku Naib Presiden dan Ketua Pegawai Maklumat FGV.

Presiden dan CEO Kumpulan FGV Mohd Emir Mavani Abdullah berkata kumpulan itu melakukan proses pencarian secara serius dengan matlamat meningkatkan kecekapan operasi dan menambah baik petunjuk prestasi utama dalaman.

"Ketika melangkah ke tahun baharu dan melepasinya, kami yakin mencapai matlamat jangka panjang dan untuk itu, kami perlu meningkatkan kumpulan bakat yang ada.

"Oleh itu, menerusi barisan baharu dalam pasukan pengurusan yang dicergaskan ini, kami yakin fokus ke atas peningkatan operasi, memperkukuh prestasi tinggi dan mengoptimumkan portfolio, akan dapat dicapai," katanya.

Wednesday, January 1, 2014

Guling kerajaan tak selesai masalah, TAPI...


1. 'Civil Society' atau dalam bahasa kita - masyarakat sivil adalah istilah yang semakin popular dikalangan masyarakat antarabangsa. Masyarakat sivil boleh juga dikatakan suatu idea yang mampu memberi impak kepada rakyat di sesebuah negara.

2. Masyarakat sivil ialah istilah yang sering diperkatakan di kalangan masyarakat yang sedang menuju era moden. Ramai yang bercakap soal masyarakat sivil di mana kesedaran atau tindakan itu datang sendiri daripada rakyat, tanpa perlu digerakan oleh pemimpin, NGO's, mahupun penguatkuasaan undang-undang.

3. Di Korea, dalam hal menjaga kebersihan di tempat awam, kebiasaannya ia dilakukan sendiri oleh masyarakat, tidak hanya bergantung kepada pekerja majlis etc. Contohnya jika sekumpulan anak muda melihat gula getah melekat di palang besi tempat menunggu bas, mereka sendiri akan kikis dan buang gula getah tersebut. Atau jika anak muda Korea melihat sampah di atas jalan, mereka dengan inisiatif sendiri mengutip dan membuangnya dalam tong yang disediakan, tanpa perlu disuruh sesiapa. Berbeza dengan anak muda kita yang hanya meniru fesyen K-Pop dan berhibur dengan muzik Korea semata, tanpa mahu meniru sikap anak-anak muda Korea.

4. Contoh lain dalam beberapa daerah di Jepun, apabila makan di restoran atau food court, pelanggan akan menyusun pinggan dan cawan yang sudah selesai digunakan di atas meja tanpa membiarkan ianya bersepah. Jika ada cebisan makanan atau air yang tumpah di atas meja, mereka akan bersihkan sendiri menggunakan tisu. Ini secara tak langsung memudahkan pekerja restoran atau food court mengutip pinggan mangkuk yang telah digunakan serta membersihkan meja makan. 

5. Contoh lain yang lebih besar seperti masyarakat antarabangsa dari negara-negara maju yang secara sukarela merentasi dunia dengan wang saku sendiri untuk membantu menyelamatkan mangsa gempa bumi di Gujarat. Kita juga pernah disaksikan bagaimana sekumpulan anak muda menyewa sendiri bot untuk menghalang pemburu dan nelayan yang membunuh serta menangkap ikan paus dan ikan lumba-lumba di Lautan Pasifik.

6. Persamaan peristiwa-peristiwa di atas - mereka ialah contoh masyarakat civil. Paradoks tentang masyarakat sivil ialah ia merangkumi pelbagai aktiviti yang kadangkala sukar ditafsirkan. Namun boleh juga dikatakan masyarakat sivil adalah kegiatan kolektif sukarela di mana masyarakat bergabung untuk mencapai perubahan dalam isu tertentu tanpa melibatkan mana-mana parti politik, walaupun masyarakat sivil hakikatnya mempunyai satu dimensi politik.

7. Satu ciri paling ketara dalam masyarakat sivil ialah kesejagatannya - ia mampu menjejaskan semua orang jika sesebuah negara memiliki rakyat dengan tahap kesedaran yang tinggi. Malah kehebatan masyarakat sivil mampu untuk mengubah landskap masyarakat secara langsung sama ada dalam negara atau kesannya kepada negara sekitar.

8. Mengapa den tetiba mengarut pasal masyarakat sivil ni? Sebab beberapa hari lalu ada kenalan den menghasut supaya bersama turun berhimpun untuk guling kerajaan sempena sambutan tahun baru 2014. Bezanya rakyat Malaysia dengan negara maju lain, kumpulan pendesak atau berhimpun di negara ini digerakkan oleh pemimpin dan NGO's, tak kiralah daripada pihak kerajaan atau pembangkang. Jarang kita nak dengar segala usaha menyampaikan ketidakpuasan hati atau protes itu dilakukan atas kesedaran rakyat sendiri.

9. Berbanding masyarakat sivil negara maju yang tidak menggunakan kekerasan atau vandalisme semasa memperjuangkan sesuatu isu, rakyat Malaysia pula sukakan kekecohan, memusnahkan harta benda awam hingga menimbulkan kecederaan semasa berhimpun sepertimana yang pernah berlaku dalam siri kempen Bersih dulu.

10. Rakyat yang berhimpun untuk protes kenaikan kos sara hidup sempena sambutan tahun baru 2014 hakikatnya tidak digerakkan atas kesedaran sendiri, tetapi telah dicaturkan untuk berhimpun oleh parti politik pembangkang dan NGO's yang menjadi dalang serta mempunyai agenda tertentu.

11. Tak perlu pun berhimpun nak gulingkan kerajaan kerana sebenarnya banyak kaedah dan cara lain yang lebih berkesan. Jika rakyat benar-benar nak sampaikan mesej pada kerajaan sebab marah dengan kenaikan kos sara hidup, boleh saja tepat jam 12 malam, semua rumah padam lampu, biar Malaysia bergelap selama 15 minit misalnya. Itu barulah dinamakan masyarakat sivil yang bertindak atas kesedaran sendiri dan bukan disebabkan hasutan pihak tertentu yang disokong agenda asing.

12. Masyarakat sivil di Malaysia kalaupun ada, ia masih dalam kumpulan kecil yang tidak mampu mencetuskan impak terhadap sebarang perubahan yang diinginkan. Kesedaran masyarakat sivil di Malaysia masih terlalu jauh untuk direalisasikan dan mungkin memakan masa. 

13. Namun gerakan masyarakat sivil di negara ini perlu diperbesarkan peranannya supaya pemimpin politik di Malaysia tidak berbuat sesuka hati mak pak mereka. Guling kerajaan tidak akan menyelesaikan masalah, tapi guling Najib mungkin boleh selesai separuh masalah. Heh!!

Blog Archive