Feel free to email us at panehmiang@gmail.com.

Thursday, October 16, 2014

Najib KAYAkan Pemaju

1. Bajet 2015..bajet 'pro rakyat' kononnya. Rakyat pun tak pasti sama ada nak gelak atau menangis bila gaji Ahli Parlimen dinaikkan dengan alasan gaji sikit sampai terpaksa ikat perut. Rasanya bajet akan datang elok diperuntukkan juga BR1M untuk wakil rakyat yang 'lebih miskin' daripada rakyat marhaen.

2. Bajet 2015 takde beza pun dengan bajet Najib sebelum ni. Perbelanjaan pembangunan masih kurang berbanding perbelanjaan mengurus, malah bajet Najib semakin meningkat setiap tahun!! Apekehey bajet JPM sampai RM19 bilion? PERMATA pun dapat bajet tambahan RM30 juta? Sewajarnya perbelanjaan pembangunan lebih besar daripada perbelanjaan mengurus untuk menggalakkan ekonomi mikro..ini dah terbalik!!

3. Wang negara sepatutnya dibelanjakan ikut keperluan semasa rakyat, tapi Najib gunakan bajet untuk kukuhkan kedudukan politik melalui BR1M yang kononnya sebagai bantuan terus kepada kumpulan sasar. Adakah BR1M benar-benar sampai kepada kumpulan sasar? Sebab kami pernah nampak yang datang amik BR1M memandu Alphard, Wish, Civic etc. Sebab tu TDM tak berapa berkenan dengan BR1M ni. Banyak hanky panky..sumbat ikan dalam perut berbanding bagi pancing. Bagi BR1M pun, natijahnya undi popular BN tetap merosot PRU-13. Masih lagi Najib tak nak belajar..

4. Kerajaan menggalakkan sikap meminta-minta rakyat melalui BR1M yang secara tak langsung telah mengikis perasaan malu dan kehormatan diri individu tersebut. Bagi manusia, kehormatan diri adalah salah satu keutamaan kerana ia membezakan kita sebagai makhluk yang bertamadun dan berakal berbanding makhluk ciptaan Allah yang lain. Ada hadis riwayat Al-Bukhari, Nabi SAW bersabda yang bermaksud, "Salah seorang daripada kalian yang mengambil tali lalu tali itu digunakan untuk mengikat kayu bakar di atas punggungnya lalu dia menjualnya, maka dia menutup wajahnya (menjaga kehormatannya dengan bekerja) lebih baik daripada dia meminta daripada manusia, yang ada kalanya memberi atau tidak memberi".

5. Kehidupan rakyat makin parah. Bajet 2015 tak dapat mengurangkan kenaikan kos sara hidup rakyat. Walaupun RON95 dan Diesel tak dikenakan GST, tapi subsidi minyak dijangka akan dikurangkan beransur-ansur dan ini dah tentunya akan wujud kesan domino kepada kenaikan harga barang dan perkhidmatan. Ditambah pulak dengan GST yang akan mula pada bulan April 2015, rata-rata golongan pertengahan dan bawahan akan rasa impak yang sangat besar. BR1M takkan dapat tampung kenaikan kos sara hidup. Bertambah tenat apabila rakyat telahpun memiliki pinjaman tinggi yang perlu dilangsaikan setiap bulan.

6. Setiap tahun dalam bajet Najib akan diumumkan tambahan peruntukan untuk rumah PR1MA, tapi umum tahu, sebuah rumah PR1MA pun masih belum siap dibina sejak diumumkan 2011. Peruntukan ditambah setiap tahun..siapnya belum tau bila. Macam-macam rumah diumum akan dibina..bawah PPR la..bawah RMR la..Rumah Aspirasi Rakyat la..Skim Rumah Pertamaku la..Skim Perumahan Belia la..TAPI kaedah Najib mengatasi masalah kesukaran rakyat membeli rumah kerana harga yang mahal adalah dengan cara menambah unit rumah dan jumlah pinjaman perumahan kepada bakal pembeli?!

7. Andai kelayakan minimum untuk pinjaman perumahan dinaikkan hingga RM600 ribu sekalipun, rakyat biasa ni mampu ke beli rumah harga sebegitu? Ini bukan caranya kerajaan nak menggalakkan rakyat beli rumah, TAPI nak menggalakkan rakyat menambah hutang. Malah kerajaan bagi lesen besar pulak untuk pemaju perumahan kaut untung berganda melalui harga syiling rumah apabila kadar pinjaman perumahan dinaikkan TAPI pada masa sama merendahkan pulak kelayakan pinjaman. Pemaju dikayakan lagi dengan bantuan kerajaan..dan agaknya kebanyakan pemaju perumahan ni kaum mana?!

8. Rakyat kebanyakannya hanya mampu beli rumah sekitar RM150-RM300 ribu. Harga rumah teres saja sekarang ni dah melebihi RM200 ribu di kawasan bandar. Untuk beli rumah berharga RM200 ribu dengan pinjaman kerajaan, jumlah bayaran balik selama 25-30 tahun adalah hampir RM400 ribu dengan bayaran bulanan lebih kurang seribu lebih sebulan. Kalau gaji individu bawah RM3 ribu dengan isteri tidak bekerja, jangan mimpi la dapat miliki rumah sendiri tanpa ikat perut macam Ahli Parlimen. 

9. Apa yang dibisingkan rakyat ialah pendapatan kecil tetapi harga rumah terlalu tinggi. Cara Najib memudahkan pinjaman tidak menyelesaikan masalah rakyat yang tidak mampu menanggung kos sara hidup dan pada masa sama terpaksa bayar pinjaman perumahan yang tinggi. Paling bungko apabila Najib menaikkan pinjaman perumahan dari RM500 ribu ke RM600 ribu. Rakyat marhaen ni jarang nak beli rumah harga RM300 ribu ke atas kecuali dia memang berduit atau bingai tak ukur baju badan sendiri. Jika rumah berharga RM500 ribu, bermaksud bayaran balik pinjaman hampir RM700 ribu. Itu kalau pinjaman kerajaan..kalau pinjaman bank mesti akan lebih lagi. Persoalannya, mampu ke rakyat bawahan yang berpendapatan di bawah RM3,000 nak membayar pinjaman perumahan berharga lebih RM200 ribu, tidak termasuk tanggungan kos kehidupan lainnya? 

10. Memang kerajaan sesebuah negeri ada meletakkan syarat kepada pemaju swasta untuk mendirikan rumah kos rendah bagi rakyat sesebuah negeri. Rumah kos rendah ini ditetapkan harga antara RM35 ke RM45 ribu. Tapi tengoklah bagaimana keadaan rumah kos rendah tu? Sesuai ke dengan sebuah keluarga - suami isteri dengan anak seramai 4-5 orang? Sebab tu gejala sosial semakin sukar dibendung sebab anak-anak lebih senang berpeleseran di luar berbanding duduk di rumah yang tak selesa. 

11. Di Negeri Sembilan, Mohamad Hasan pulak kempen "Duduk di Negeri Sembilan, kerja di KL" yang menyebabkan harga rumah di negeri ni pun jadi tak masuk akal. Bagi orang KL, harga rumah teres RM200 ribu di anggap murah, tapi TIDAK bagi orang Negeri Sembilan yang berpendapatan rendah. Orang KL ramai datang beli rumah di Negeri Sembilan memang la bagus, tapi mereka secara tak langsung telah menyebabkan harga rumah di negeri ini naik mendadak hingga tak mampu nak digapai oleh orang Negeri Sembilan sendiri. Harga rumah tak setara pendapatan rakyat Negeri Sembilan - pendapatan rakyat tak setara kemajuan. Malah harga rumah di kawasan Mohamad Hasan dan KJ di Rembau pun dah cecah RM350 ribu ke atas. Agak eh ramai ko orang kampong kek Rembau tu yang mampu boli?

12. Masalah di Malaysia ni, kawal selia industri perumahan sangat longgar. Pemaju kebiasaannya akan tawar rumah pada staf sendiri, bankers, peguam etc. dengan harga kompetitif, dan kemudian jual di pasaran terbuka. Kat situ dah wujud manipulasi harga. Belum termasuk harga tanah, hubungan kerajaan negeri/persekutuan dengan pemaju (lobbyist) yang menyebabkan harga rumah jadi semakin tak terkawal. Sebab tu rumah PPR yang sepatutnya cuma berharga sekitar RM50 ribu boleh meningkat kepada RM120 ribu di kawasan bandar. 

13. Ketidaksamaan pendapatan (income inequality) semakin melebar. Rakyat terutama Bangsa Melayu semakin sengsara dengan kos kehidupan yang semakin meningkat tetapi pada masa sama pendapatan boleh guna mereka menyusut. Sebab tu rakyat marah bila Ahli Parlimen yang kebanyakannya hidup mewah, dimewahkan lagi dengan kenaikan gaji.

14. Adakah ini strategi kerajaan dan pemaju untuk menghalau  Bangsa Melayu dari kawasan bandar dengan cara menaikkan harga rumah disebabkan ketidakmampuan Melayu itu sendiri?

15. Sebab itulah walau setiap tahun pun Najib bentang bajet, kehidupan rakyat tetap di takuk sama. Rakyat tak minta banyak pun, cuma cukuplah untuk mereka hidup selesa, dapat bergembira sekali sekala tanpa serangan kerajaan pada poket mereka. 

16. Hakikatnya Najib muflis idea..dan kalau macam ni la pe'el Najib mengurus tadbir negara hingga PRU-14, tak mustahil BN akan jadi pembangkang buat kali pertamanya di Persekutuan Malaysia.

Friday, October 10, 2014

Apa pun kita tunggu bajet..

Latiff Ahmad, Timbalan Menteri Pertahanan dan juga MT UMNO kata 40% rakyat Malaysia berpendapatan RM3,000 sebulan yang dikategorikannya sebagai golongan berpendapatan rendah. 

Wahid Omar, Menteri di JPM pulak cakap 71.3 peratus di negara ini berpendapatan atas paras RM3,000 sebulan. Maknanya kalau ikut statistik Wahid, sepatutnya hanya 28.7% saja rakyat Malaysia yang berpendapatan rendah, bukannya 40% macam yang Latiff cakap.

Entah mana satu yang betul pun tak tau. Zaman Najib ni memang ramai menteri yang suka bagi kenyataan bercanggah. Tu belum KJ atau Nazri atau Ahmad Maslan atau Hasan Malek yang bercakap..kalau tak lagi haru..

Apa-apa pun kita tunggu Bajet 2015 petang ni. Ramai pemuja Najib bagi alasan tunggu Bajet 2015 untuk berhujah mempertahankan tindakan kerajaan naikkan harga minyak 20sen minggu lepas yang menyebabkan harga barang turut sama naik. The damage has been done, baru nak fikir alasan bersandarkan Bajet 2015..adakah sudah terlambat? 

Monday, October 6, 2014

Percayalah cakap saya..

Datuk Seri Najib Razak hari ini berkata langkah kerajaan mengurangkan subsidi minyak adalah untuk menjaga kepentingan rakyat dan negara bagi tempoh jangka masa panjang. Cuma beliau terlupa sebut selain menjaga kepentingan rakyat dan negara, kepentingan para menteri, staf di PEMANDU dan para konsultan juga perlu diberi keutamaan sebab belanja nak bayar gaji dan elaun mereka itu mencecah jutaan ringgit sebulan.

Perdana Menteri berkata walaupun tindakan itu tidak popular, ia harus dilakukan memandangkan subsidi bahan api yang ditanggung kerajaan setiap tahun sangat tinggi. Lagipun tindakan tidak popular hanya sesuai jika ia melibatkan wang saku rakyat, tetapi tidak mengapa jika Perdana Menteri sendiri menghabiskan berbilion ringgit untuk mempopularkan diri seperti menjalankan siri kempen 1 Malaysia, merasuah melalui BR1M, membanyakkan sepanduk "I Love PM" serta membayar pelobi Amerika dan media barat untuk memuji dirinya sebagai Perdana Menteri.

Malah, katanya, jika langkah itu tidak diambil, ia bakal meninggalkan kesan kepada ekonomi negara berikutan kekurangan hasil untuk perbelanjaan negara; walaupun hakikatnya kekurangan hasil itu disebabkan kerajaan tidak pandai mencari wang melalui pelaburan serta boros berbilion ringgit setiap tahun, maka kepada rakyatlah perlu dibebankan.

"Tahun lepas subsidi bahan api petrol, LPG dan diesel berjumlah RM24 bilion dan ia bukan jumlah yang kecil. Itu belum lagi dikira gaji, elaun, belanja travelling para menteri, penasihat saya dan PTD yang perlu ditanggung setiap bulan," tambah beliau.

"Jika jumlah itu kita tidak kurangkan boleh menyebabkan kita tak cukup hasil untuk menampung perbelanjaan kerajaan. Jadi lebih mudah untuk saya tarik subsidi rakyat berbanding saya potong perbelanjaan Rosmah..eh..tersasul plak..daripada saya potong perbelanjaan kerajaan yang boros setiap tahun," katanya ketika berucap pada majlis penyampaian watikah dan wakalah lembu korban untuk kawasan Parlimen Pekan sempena Hari Raya Aidiladha, Ahad ini.

Pada majlis itu yang turut dihadiri Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob, Najib yang juga anggota Parlimen Pekan menyampaikan 505 ekor lembu untuk seluruh kawasan parlimen itu. Sungguhpun begitu, 505 ekor lembu itu tidak dapat dipastikan sama ada ianya dibeli menggunakan wang kerajaan atau wang persendirian untuk 'memancing' hati penduduk Pekan.

Dalam masa sama, katanya, kerajaan akan mengumumkan pelbagai langkah membantu rakyat menghadapi masalah pengurangan subsidi minyak dalam pembentangan Belanjawan 10 Oktober ini. Cuma mungkin pengumuman langkah-langkah itu akan tenggelam dek kemarahan rakyat yang belum reda disebabkan kenaikan harga minyak 20sen.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata langkah itu termasuk pemberian subsidi bersasar terus kepada rakyat seperti bantuan persekolahan, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan bantuan lain yang akan diumum kelak. Cuma langkah yang tidak akan diumumkan kerajaan ialah bagaimana nak kurangkan perbelanjaan mewah kerajaan berbilion ringgit seperti yang dilaporkan Ketua Audit Negara setiap tahun.

"Dalam bajet akan datang sudah tentu kita akan fikir bagaimana nak bantu rakyat supaya bantuan terus sampai kepada mereka dan kurangkan ketirisan supaya ekonomi lebih kukuh, pertumbuhan ekonomi meningkat dan lebih banyak (hasil) yang boleh kita bagi kepada rakyat. Tapi saya rasa rakyat tahu bila saya sebut 'kita fikir' tu bermakna penasihat dan konsultan saya yang fikir..bukannya saya..sebab saya memang tak mampu nak fikir..saya tau bercuti keluar negara je bila ada masalah," katanya.

Najib berkata kerajaan juga akan mengkaji semula pemberian subsidi pukal bahan api berikutan berlaku kes ketirisan terhadap pengagihan bahan api berkenaan kepada rakyat di negara ini. "Ini kerana subsidi bahan api ketika ini turut dinikmati oleh orang yang lebih kaya, pelancong, pekerja asing dan pekerja asing tanpa izin. Walaupun jumlah mereka tak seramai rakyat majoriti yang susah, tapi kena sekat juga mereka daripada menikmati subsidi. Bagi kerajaan lebih baik korbankan kepentingan majoriti daripada kita bagi peluang yang minoriti tu dapat subsidi."

"Malah baru-baru ini ketika Pilihan Raya Kecil Pengkalan Kubor, saya dapati minyak diesel kita banyak diseludup keluar dari Rantau Panjang untuk dijual di seberang sana (Thailand), walaupun sepanjang PRK tu saya ada di Amerika dan melancong ke luar negara, tapi saya boleh nampak orang seludup tawww," katanya.

Najib dalam pada itu turut mengingatkan rakyat, agar menjadikan elemen pengorbanan, asas dalam mencapai kejayaan. "Kalau kita sanggup berkorban dengan ikhlas hati tanpa mengharapkan apa-apa ganjaran, Insya-Allah kita akan mendapat ganjaran yang setimpal. Tapi hanya rakyat saja yang perlu berkorban, kami para menteri, konsultan, penasihat, PEMANDU dan PTD susah sikit nak berkorban sebab kami tak berapa nak ikhlas, maklumlah tuan-tuan, bila lagi masanya kami nak bermewah macam ni," katanya. – Agensi Paneh Miang.

Blog Archive