Feel free to email us at panehmiang@gmail.com.

Thursday, December 26, 2013

MAHATHIR sekolahkan Najib

Sey cubo terjemah artikel terbaru TDM. Posting asal boleh klik sini.

KOS KERAJAAN

1. Kerajaan memerlukan wang. Kerajaan tidak boleh berfungsi tanpa wang. Kerajaan perlu bayar ramai orang yang bekerja untuk kerajaan. Kerajaan juga membekalkan perkhidmatan dan kemudahan infrastruktur. Dan sekarang kerajaan turut bertanggungjawab menyediakan kemudahan sosial seperti pendidikan, perubatan penjagaan dan lain-lain. Dan sudah tentu kerajaan berperanan mempertahankan negara dan mengekalkan undang-undang serta pentadbiran.

2. Dana kebanyakannya diperoleh melalui cukai daripada aktiviti rakyat yang punya pendapatan atau keuntungan, termasuk perkhidmatan yang disediakan oleh kerajaan seperti pengangkutan, pembetungan, air dan tenaga, pelabuhan dan lapangan terbang, proses-proses kelulusan dan lain-lain

3. Walaupun banyak negara di mana rakyatnya mengelak dari membayar cukai, rakyat Malaysia secara amnya membayar cukai mereka serta lain-lain perkhidmatan yang disediakan kerajaan. Tetapi disebabkan kos kerajaan meningkat dari masa ke semasa, maka cukai dan tarif jug perlu dinaikkan. Dan kebiasaannya rakyat enggan membayar lebih banyak cukai atau caj-caj lain. Perlu diakui bahawa kadar cukai yang tinggi pasti akan menyebabkan kenaikan kos sara hidup dan pada masa sama, upah dan gaji kakitangan kerajaan juga perlu dinaikkan, dan akhirnya akan berlaku kenaikan kos yang tinggi daripada perolehan kerajaan.

4. Tetapi pembayar cukai tidak akan tiba-tiba ada wang yang banyak untuk membayar cukai atau caj baru. Akhir-akhir ini, individu serta ahli perniagaan di Malaysia perlukan lebih banyak wang disebabkan berlakunya peningkatan kos secara mendadak akibat daripada dasar yang diperkenal kerajaan. Pertama sekali mengenai kenaikan gaji minimum hingga RM900. Peningkatan ini tidak boleh dihadkan kepada orang-orang yang berpendapatan kurang daripada RM900 semata. Individu yang sudah berpendapatan RM900 ke atas juga perlu dibayar gaji lebih tinggi. Secara tak langsung kos operasi  pengeluaran barangan dan perkhidmatan juga pasti akan meningkat; sekaligus memberi impak besar kepada kos sara hidup rakyat keseluruhannya.

5. Terbaru kerajaan telah memutuskan untuk mengurangkan subsidi produk petroleum dan caj elektrik juga akan dinaikkan. Bagi penduduk Kuala Lumpur, beberapa kadar baru yang diperkenalkan akan menyebabkan berlaku kenaikan mendadak kos sara hidup sebanyak 2000%.

6. Pada tahun 2015 GST (barangan dan cukai perkhidmatan) akan menggantikan cukai jualan. Amat jelas kerajaan ingin mendapat untung berlebihan daripada cukai jualan, namun ia juga akan menyebabkan berlakunya penambahan kos barangan dan perkhidmatan.

7. Kita faham bahawa kerajaan memerlukan wang yang banyak untuk disesuaikan dengan keadaan semasa ekonomi. Tetapi perlukah kerajaan membuat kenaikan terlalu besar pada cukai serta tarif; dan kesemuanya pula dinaikkan pada masa serentak? 

8. Dalam perniagaan terdapat satu perkara yang dikenali sebagai "pengurangan kos". Apabila sesuatu perniagaan berhadapan persaingan atau peningkatan kos yang mengurangkan keuntungan, ia mempunyai pilihan antara menaikkan harga atau mengurangkan kos. Ada masanya harga boleh dinaikkan. Ini mungkin mengakibatkan kemerosotan jualan dan keuntungan. Lebih baik mengurangkan kos atau sama ada mengekalkan atau meminimakan kenaikan harga.

9. Apabila berlakunya penurunan kos dalam sesebuah perniagaan, apa yang perlu dilakukan adalah meneliti segala-galanya agar ia tidak memberi kesan kepada kos keseluruhan operasi perniagaan. Perlu dikaji kecekapan proses, kos bahan, pengurangan pembaziran dan kecekapan jumlah pengeluaran. Kebiasaannya beberapa kos akan dapat dikurangkan.

10. Sepertimana perniagaan, perkara sama juga boleh dilakukan kerajaan. Semua kos boleh diteliti untuk menentukan mana yang benar-benar penting, kos mana yang boleh dikurangkan, atau perkhidmatan mana yang boleh diolah.

11. Kerajaan biasanya melakukan pembaziran kerana tidak memikirkan pulangan dalam apa juga bentuk perbelanjaan. Sebagai contoh kontrak yang telah diberikan kepada syarikat yang menawarkan harga terbaik – walaupun tidak semestinya yang terendah. Setiap tahun Ketua Audit Negara akan melapor mengenai pembaziran disebabkan prosedur-prosedur yang tidak wajar serta kecuaian. Biasanya setiap tahun juga, kerajaan tidak banyak berubah atau mengambil apa-apa tindakan daripada kritikan Ketua Audit Negara. Walhal kerajaan boleh menjimatkan banyak wang jika kritikan Ketua Audit Negara diambil secara serius. Perubahan prosedur juga boleh mengurangkan kos.

12. Jika kerajaan berminat dalam mengurangkan kos tadbir urus, ia boleh berbuat demikian dan mungkin impaknya akan lebih ketara. Sebagai contoh, kerajaan boleh mengurangkan kos elektrik dengan menukar lampu jalan ke LED yang akan menyebabkan penjimatan lebih 50%. Pengurangan penjanaan elektrik juga mampu mengurangkan subsidi bahan bakar untuk tenaga. Tetapi ini tidak dilakukan oleh kerajaan. Kos permulaan mungkin tinggi, tetapi dengan adanya simpanan pasti kos boleh dikurangkan.

13. Kesan daripada kenaikan cukai juga perlu dikaji dengan teliti. Adakah benar bahawa peratusan cukai yang ditetapkan tidak boleh dipinda? Harus diingat bahawa kenaikan cukai pasti akan menyumbang kepada peningkatan kos sara hidup, kos menjalankan perniagaan, pengurangan dalam keuntungan dan pengurangan cukai korporat serta keuntungan kerajaan. Sedikit masa dulu kerajaan telah kehilangan cukai ke atas barang-barang yang dibawa masuk oleh pelancong ke Singapura semata-mata kerana sukar untuk ditentukan sama ada jam tangan yang mahal, pen dan barangan kemas yang itu dibeli di Singapura atau ia memang milik peribadi pelancong apabila dia pergi ke negara tersebut. Justeru kerajaan ketika itu memutuskan untuk menghapuskan cukai pada barangan mewah. Rentetan itu kedai-kedai bebas cukai bercambah di Malaysia dan kerajaan mengumpul lebihan melalui cukai korporat daripada kedai-kedai tersebut berbanding yang pernah kerajaan kumpulkan melalui duti import.

14. Dalam contoh lain, kerajaan telah mengurangkan cukai korporat secara beransur-ansur daripada 45% dari keuntungan kepada hanya 26%. Dengan itu lebih banyak aktiviti perniagaan dapat dilakukan dan kutipan hasil cukai korporat juga telah meningkat dengan banyaknya. Kes lain adalah bebas cukai sebagai insentif untuk pelaburan yang menyebabkan pelaburan meningkat. Secara tidak langsung kerajaan boleh mengutip cukai pendapatan daripada eksekutif. Nasi lemak yang dimakan oleh pekerja juga akan meningkatkan perniagaan pemborong beras dan kerajaan juga boleh mengutip cukai korporat daripada pemborong ini.

15. Rakyat perlu mencari wang untuk membayar cukai yang semakin meningkat. Sudah tentu ia akan menjadi lebih mudah jika peratusan cukai yang dikenakan adalah rendah, atau rakyat diberi masa membayar cukai pada tempoh yang lebih lama.

16. Jika kerajaan benar-benar perlu menaikkan peratusan sesuatu cukai, ia sepatutnya diperkenalkan secara berperingkat. Sebagai contoh kenaikan caj elektrik ditetapkan pada 15%. Itu adalah satu lonjakan besar. Ia sudah tentu akan menjejaskan kos pengeluaran barangan yang menggunakan elektrik, apatah lagi pengeluaran yang menggunakan elektrik pada peratusan yang tinggi. Kontrak yang telah sedia dimeterai lebih awal oleh peniaga akan menyebabkan mereka terpaksa menanggung kerugian dan sekaligus akan mengurangkan cukai keuntungan korporat.

17. Kenaikan tarif boleh dilakukan secara berperingkat seperti 6% setahun untuk tempoh tiga tahun atau lebih lama. Maka kerugian semasa kontrak akan dikurangkan. Kontrak-kontrak pada masa depan pula akan mengambil kira kenaikan. Akan ada masa untuk "kos turun" dan kenaikan harga kontrak.

18. Jika ditetapkan 6% setahun untuk 3 tahun, peningkatan sebenarnya boleh meningkat kepada 18% berbanding 15% yang diperkenalkan kerajaan sekarang. Tetapi kenaikan 6% di tahun kedua adalah 106% daripada harga asal, dan untuk tahun ketiga akan naik kira-kira 113% daripada harga asal, oleh itu lebih daripada 18%. Jika ini terlalu tinggi, maka kadar peningkatan tahunan boleh juga dikurangkan kepada 5%.

19. Jelas bahawa kerajaan akan mendapat lebih daripada 15% daripada harga semasa. Kerajaan tidak akan rugi apa pun walau terdapat kelewatan dalam kenaikan kadar cukai yang telah sedia ditetapkan sebelumnya.

20. Kita faham kerajaan memerlukan lebih wang tetapi itu tidak bermakna peningkatan seperti yang diumumkan hingga membebankan kos sara hidup rakyat dan peniaga. Kerajaan perlu menyemak semula kadar cukai yang diperkenalkan. Tindakan ini tidak akan terlalu menjejaskan kerajaan, dan pada masa sama kerajaan dapat memberi keyakinan kepada rakyat. Rakyat mungkin akan hargai jasa kerajaan itu di pilihan raya akan datang.

21. Baru-baru ini Francois Hollande, Presiden Perancis telah memutuskan untuk menaikkan cukai ke atas keuntungan sebanyak 50%. Ramai yang telah meninggalkan Perancis untuk menjalankan perniagaan di tempat lain. Mungkin kerajaan berharap dapat lebih banyak cukai, tetapi kerajaan juga boleh rugi lebih banyak jika ramai kumpulan peniaga lari berhijrah ke tempat lain.

11 comments:

  1. Kenapalah Mahathir bersara secara mengejut dulu?

    Mahathir la yang patut jadi PM. Berkaliber dan tahu mengetuai dan mengendali negara.
    Bukan mcm Najib.

    ReplyDelete
  2. najib mana tahu berfikir...semua nak kena ikut consetan dia..

    ReplyDelete
  3. Tun adalah diibarat sebagai bapa segalanya untuk rakyat Malaysia yang tidak kurang hebat segala bentuk pemikiran tajam walaupun tidak sehebat Allah mencipta langit dan bumi. Satu perkara yang perlu dijadikan panduan oleh pemerintah sekarang ialah berani menerima pandangan rakyat walaupun agak pahit untuk diterima keran kekadang manusia terlupa diri sekejap bahawa beliau adalah hamba Allah sepertimana juga Dato Seri Najib yang kini memegang tampok pemerintahan negara.

    Tidak kah ada walau sekelumit dan sebesar zaraj sekali pun untuk menyatakan bahawa pandangan rakyat boleh diterima oleh akal sekiranya ingin menjadi pemimpin yang baik walaupun tidak sehebat sahabat-sahabat Rasullullah SAW yang memerintah kerajaan Islam suatu masa dulu.

    Untk PM DS Najib, jangan lah menidakkan pandangan orang dan hanya menerima pakai pandangan penasihat-penasihat yang dikatakan hebat. Sebenar-benar, kehebatan seseorang pemimpin Islam dalam membuat sesuatu keputusan dan mengambil sebarang keputusan setelah bermuzakarah dan bermunajat dengan Allah kerana memohon petunjuk dari Allah lebih baik dan menyakinkan daripada buah fikiran otak manusia . Ingatlah seperkara wahai DS Najib, langit tidak selalu cerah dan akan mengundang kemarahan rakyat yang terlampau jika suara hati mereka hanya didengar tetapi tidka digunapakai.

    Terima kasih untuk Tun Mahathir yang masih berani membuat teguran kerana jika teguran datang dari rakyat biasa maka pandangan mereka hanya akan dibakul sampah kan sahaja oleh penapis-penapis yang sedang bermaharajalela walaupun hanya bertaraf Pemandu

    ReplyDelete
  4. Tun M ibarat Tun Perak di zaman dahulu..500tahun baru muncul seorang..

    ReplyDelete
  5. nasihat Tun pun dibakulsampahkan Najib...

    ReplyDelete
  6. Najib tak perlu buat lab seperti yang dicadang oleh Idris Jala. Kalau tak mahu dengar suara rakyat dengarlah nasihat dari Tun M.

    Lab bukan penyelesaian semua masaalah. Kalau betul methodology lab ni berkesan MAS taklah memanjang rugi. Keuntungan MAS seketika dulu pun kerana penjualan aset MAS dan creative accounting selepas significant 'loss provision' bagi tahun yg Idris Jala ambil alih. Pelajar2 accounting pun tahu buat ini.

    PMO kena revampt. Terlampau banyak kos disitu. Ada 2 orang Menteri di EPU. Perlukah ini. Juga banyak Kementerian ada lebih dari satu Timbalan Menteri. Bila banyak menteri maka banyaklah pula staf2 sokongan.

    ReplyDelete
  7. Kita belum terasa kesan domino atas kenaikan harga barang dari keputusan mengurangkan subsidi petrol,gula,tarif elektrik dan tol.Bila kesan itu dah sampai merata.Kajian dari lab kos sara hidupun dah ada keputusannya, pada masa itu,maka akan di bentangkan utk mengurangkan kos sara hidup rakyat.Bila persatuan perkilang tempatan dan luar negara membuat laporan berkaitan kenaikan kos operasi dan keuntungan yang semakin mengecil akibat dari kelembapan permintaan di pasaran tempatan dan luar negara sehingga tidak releven utk berniaga dan boleh menjejaskan menjejaskan pendapatan pekerja mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana rendah,maka keputusan tersebut akan di bawa masuk ke dalam lab.Selepas tu lab akan cari jalan penyelesaian.Kalau tak nak pakai lab sebab melibatkan kos yang tinggi,Kita undi ler idris jala jadi PM PRU 14 nanti.kan dah setel masaalah.

    ReplyDelete
  8. Orang kita malas membaca dan berfikir.Semua bagi pada consultant shj.Kalau kertas undi,mereka hendak.Kesian pada MT dan naib presiden serta kakitangan kerajaan yang di bayar gaji berbillion ringgit setiap tahun.Tidak secerdik consultant.

    ReplyDelete
  9. Najib mesti meletakkan jawatan supaya Malaysia dapat diselamatkan

    ReplyDelete

Blog Archive