Feel free to email us at panehmiang@gmail.com.

Friday, May 1, 2009

Masalah Pekerja Malaysia

Artikel ini sudah dikeluarkan tahun lepas di bawah tajuk "Sempena Hari Pekerja Malaysia". Kami ulang siar entry ini dengan sedikit penambahan untuk kita fikirkan bersama.

Tenaga buruh memainkan peranan penting dalam menentukan harga sesuatu produk dan perkhidmatan. Semakin tinggi bayaran buruh, maka semakin tinggilah kos bagi menghasilkan sesuatu produk atau perkhidmatan itu. Ini secara tidak langsung akan membebankan pengeluar kerana terdapat produk dan perkhidmatan yang harganya jauh lebih murah.

Kos menggajikan seorang pekerja di Malaysia menyamai jumlah gaji bagi tiga orang pekerja di China. Jika gaji pokok seorang operator di Malaysia ialah RM600, maka gaji bagi setiap operator di China ialah RM200. Jadi bagaimana pelabur ingin memilih Malaysia jika pelaburan bagi setiap RM600, mereka mampu pula mengupah tiga kali ganda bilangan pekerja di China?

Cuba kita kaji analogi ketika peperangan Yarmuk dimana tentera Islam berjumlah 39,000 orang, manakala tentera Rom berjumlah 240,000 orang. Setiap 1 orang tentera Islam berjaya mengalahkan sekurang-kurangnya 6 orang tentera Rom. Jika dinilai situasi kini, bayangkan jika gaji seorang operator tempatan dapat menggajikan tiga orang pekerja di China, tetapi mampu menghasilkan kualiti dan jumlah produksi yang menyamai dengan kerja yang dibuat oleh enam orang pekerja di China. Ini sudah tentu menjadikan kualiti setiap pekerja di Malaysia mampu menjadi berkali ganda hebatnya berbanding pekerja di China.

Keadaan ini sudah pasti membebankan pelabur di China kerana terpaksa membayar sebanyak RM1,200 (RM200 x 6 pekerja) jika ingin mendapatkan kualiti dan jumlah produksi yang sama untuk hanya seorang pekerja di Malaysia. Sedangkan pelabur hanya perlu membayar RM600 di Malaysia bagi mendapatkan seorang pekerja yang menyamai dengan kerja yang dibuat oleh enam orang di China.

Hal ini tidak mustahil untuk dilakukan. Jika konsep ini dipraktikkan, maka sudah tentu tiada masalah untuk majikan memberikan kenaikan gaji yang lumayan kepada pekerja di Malaysia sama ada di pihak swasta mahupun kerajaan.
Singapura boleh dijadikan contoh terbaik walaupun saiznya lebih kecil berbanding Perlis iaitu negeri terkecil di Malaysia. Walaupun Singapura berkeluasan 0.2 peratus iaitu 475 kali ganda lebih kecil berbanding Malaysia, namun Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Singapura adalah 45% lebih tinggi berbanding Malaysia. Ini disebabkan faktor pekerja di Singapura yang sarat dengan kualiti yang menjadi kekuatan mereka bagi menangkis faktor peningkatan kuantiti tenaga pekerja.

Kajian beberapa tahun lalu menunjukkan gaji seorang pekerja di Singapura menyamai 3 orang pekerja di Malaysia, 5 orang pekerja di Thailand dan 9 orang pekerja di India. Walaupun jumlah gaji yang dibayar agak tinggi, tetapi dengan kualiti kerja dan jumlah produksi seorang pekerja di Singapura menyamai kualiti dan jumlah produksi untuk 3 orang pekerja di Malaysia, 5 orang di Thailand dan 9 orang di India; pelabur tiada masalah untuk terus membuat pelaburan di Singapura.

Bilangan sesuatu kaum di Malaysia juga tidak mencerminkan kualiti serta tahap sebenar sesebuah bangsa itu. Jika dinilai peratusan pencapaian kaum Cina dan India dari sudut ekonomi berbanding bumiputera, ia masih jauh berbeza sedangkan kaum bumiputera berjumlah 64% daripada keseluruhan penduduk Malaysia. Dalam bidang perkhidmatan profesional, hampir 19% daripada 1.8 juta kaum India di Malaysia terdiri daripada peguam dan 18% daripadanya pula bekerja sebagai doktor. Semua sedia maklum bahawa ekonomi Malaysia juga masih didominasikan oleh kaum Cina. Daripada sederet bangunan commercial yang terdapat di sesebuah kawasan, pasti anda akan melihat hanya 1 atau 2 kedai Melayu yang kebanyakannya menjual produk makanan berbanding produk commercial lain.

Rakyat Malaysia terutama golongan bumiputera perlu segera mengubah minda supaya kualiti kerja kita setanding dengan kualiti pekerja di Eropah dan Jepun. Bumiputera WAJIB diasuh dan disemai dengan mentaliti usahawan seawal usia kanak-kanak dengan pendedahan berterusan oleh ibu bapa, golongan pendidik, pemimpin serta masyarakat Melayu keseluruhannya. Kualiti serta kreativiti tiada tarikh tamat serta hadnya dan ini bertepatan dengan maksud hadis, "Jadikan hari ini lebih baik daripada semalam". Hadis ini sudah tentu memberi maksud bahawa kita tidak boleh puas dengan apa yang kita ada hari ini dan pastikan kita sentiasa ada peningkatan dari semasa ke semasa.

Tidak semestinya kita tidak mampu menjadi kuasa ekonomi dunia walau hanya memiliki saiz negara yang kecil. Israel juga merupakan sebuah negara kecil, tetapi bangsanya mampu menguasai ekonomi dunia, bahkan boleh pula menentukan hala tuju negara besar seperti Amerika Syarikat. Ini kerana bangsa Israel sentiasa beranggapan bahawa saiz sesebuah negara tidak memainkan peranan utama dalam era globalisasi, sebaliknya kualiti dan kreativiti itulah ramuan yang paling ideal untuk menguasai ekonomi dunia.

Hanya bangsa yang bijaksana, mampu menguasai dunia.

1 comment:

  1. masalah dengan orang melayu di Malaysia ni suka sangat mengambil kesempatan di atas kenbaikan yang kerajaan sediakan kepada mereka. pemalas tapi nak mintak macam2. bila cina india marah menuntut deb dihapuskan mula la bising. tapi usaha sendiri sangat sedikit untuk maju. semuanya mengharap tongkat kerajaan. dah tu kalau undi kerajaan takpe la pulak. ini tidak, hipokrit.

    mintak duit dengan kerajaan bagai2...tapi undi orang2 yang menipu beselindung disebalik agama dan anak isteri.

    Kalau dato' najib sangat prihatin dengan kemajuan rakyat melayu di Malaysia, beliau mesti review cara pelaksanaan DEB agar Melayu boleh kekal kompetitif sebagaimana zaman dahulu kala.

    ReplyDelete

Blog Archive