Feel free to email us at panehmiang@gmail.com.

Sunday, November 6, 2011

MENGERAT PERPADUAN UMMAH

Sidang Jemaah Muslimin dan Muslimat Yang Dirahmati Allah Sekalian,

Sempena Iduladha yang penuh keberkatan lagi mulia ini, marilah sama-sama kita perbanyakkan rasa syukur dan meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa. Ketakwaan yang benar-benar bertanggungjawab membawa kita mentaati perintah Allah SWT dan meninggalkan segala larangan-Nya, mudah-mudahan kita dikasihi Allah, mendapat perlindungan-Nya di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan menyampaikan khutbah yang bertajuk “IDULADHA: MENGERAT PERPADUAN UMMAH”

Sidang Jemaah muslimin dan muslimat yang di Rahmati Allah,

Pada setiap tahun jutaan umat Islam dari pelbagai negara di dunia berhimpun dalam satu perhimpunan terbesar umat Islam iaitu ibadah haji sebagai melaksanakan perintah agama. Di samping memuji dan mengagungkan kebesaran dan keagungan Allah SWT mereka ini dapat berkenal-kenalan, mewujudkan perpaduan dan menyatukan ummah serta dapat mengeratkan hubungan persaudaraan sesama umat Islam. Apa yang mengkagumkan dan mengembirakan, pada musim haji di tanah suci ini ialah mereka bersepakat dan bersatu melafazkan kalimah talbiah mentauhidkan Allah SWT:

Maksudnya: "Wahai Tuhan kami, kami datang semata-mata dengan ikrar setia dan taat kepada perintahMu. Wahai Tuhan kami yang tiada sekutu bagiMu, kami sahut seruanMu. Seungguhnya segala puji nikmat dan kekuasaan, kesemuanya adalah bagiMu, wahai Tuhan kami yang tiada sekutu bagiMu."

Seruan ini memberi makna yang besar kepada seluruh jemaah haji kerana ianya merupakan ikrar yang dilafazkan semata-mata untuk bertakwa kepada Allah SWT dengan tujuan untuk merasakan kehambaan kepada tuhan-Nya, menghindari dari segala dosa dan bersiap sedia untuk berkorban sebagai memenuhi kehendak Allah SWT. Bagi umat Islam yang belum berpeluang menunaikan ibadat haji mereka menyambut kedatangan Iduladha dengan berhimpun di masjid-masjid dan surau-surau untuk menunaikan solat Iduladha di samping berpeluang mengeratkan hubungan silaturrahim di antara kaum keluarga, masyarakat setempat serta sesama kita umumnya. Pada hari ini juga umat Islam yang berkemampuan amatlah dituntut agar menunaikan amalan korban sebagai mengingati peristiwa yang berlaku di zaman Nabi Ibrahin AS. Islam mensyariatkan menyembelih binatang korban bemula pada hari ini dan tiga hari tasrik iaitu pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah. Sabda Rasulullah SAW:

Mafhumnya: "Sesungguhnya pertama-tama amalan yang kita lakukan pada hari ini (Iduladha) ialah supaya kita solat kemudian kembali ke rumah lalu kita menyembelih korban, maka barangsiapa yang mengerjakan sedemikian ia telah mengikut sunnahku. Adapun orang yang menyembelih sebelum melakukan solat, maka itu hanyalah merupakan daging yang hendak dipergunakan untuk keluarganya sahaja, tidak termasuk amalan ibadah penyembelihan korban." (Riwayat al-Bukhari)

Sidang Jemaah muslimin dan muslimat yang di Rahmati Allah,

Iduladha yang kita rayakan ini melambangkan kesatuan umat Islam yang menerima keesaan Allah SWT sebagai tuhan, Rasulullah SAW sebagai pemimpin dan ikutan, al-Quran sebagai pedoman dan pengorbanan sebagai dorongan untuk kita berjihad di jalan Allah. Kekuatan utama sambutan Iduladha ialah sifat ketaatan yang telah ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim AS serta anaknya Nabi Ismail AS. Keagungan peribadinya yang ditunjukkan merupakan sebagai contoh kehidupan, sebagai seorang hamba yang sanggup melakukan apa saja yang di perintahkan oleh Allah SWT. Firman Allah SWT dalam surah al-Mutahanah ayat 4:

Maksudnya: "Sesungguhnya adalah bagi kamu pada Nabi Ibrahim dan pengikut-pengikutnya contoh ikutan yang baik."

Sidang Jemaah muslimin dan muslimat yang di Rahmati Allah,

Ibadah haji yang sedang dilaksanakan pada saat ini, perlulah dihayati dengan sedalam-dalamnya, supaya kita dapat menjiwai roh atau semangat Iduladha yang kita sambut ini. Umat Islam hari ini dengan laungan kalimah yang sama, pakaian ihram yang sama serba putih, dengan niat yang satu, tidak mengira bangsa dan keturunan patuh dan tunduk kepada peraturan yang satu iaitu hukum Allah SWT. Mereka ini memupuk semangat setiakawan sesama umat Islam, menjaga hubungan persaudaraan, sanggup berkorban, bersatu hati, menghindari sikap mementingkan diri sendiri dan sebagainya. Prinsip-prinsip inilah yang membentuk kesatuan yang perlu difahami dan dijunjung oleh setiap individu muslim pada ketika ini. Umat Islam yang longgar atau mengenepikan prinsip-prinsip yang membentuk kesatuan ini membuka ruang kepada musuh-musuh Islam menceroboh untuk menghancurkan Islam dan umatnya. Oleh itu kesatuan dan perpaduan adalah agenda umat yang penting yang mesti diperjuangkan.

Mimbar ingin mengingatkan bahawa hari ini kita menyaksikan bagaimana umat Islam ditindas dan dianiaya di semua tempat seperti pembunuhan rakyat Palestin yang berulang-ulang kali merobek jiwa umat Islam, pencerobohan kedaulatan negara Iraq, huru-hara di Afganistan, Somalia dan Pakistan serta banyak lagi tragedi yang menimpa umat Islam diseluruh dunia. Semua ini adalah kerana kelemahan umat Islam yang tiada kesatuan dan sering berlaku perpecahan di kalangan umat Islam itu sendiri. Kesempatan inilah yang telah digunakan oleh musuh-musuh Islam untuk menyerang, sekaligus menghancurkan Islam dan umatnya.

Cuba kita renungkan, ketika peperangan salib yang berlangsung selama dua abad telah merakamkan lebih sepuluh siri peperangan yang mana musuh-musuh Islam ditewaskan. Selepas itu, tentera kafir serta sekutu-sekutu mereka mencapai kata sepakat bahawa umat Islam tidak dapat ditewaskan dengan jalan peperangan menggunakan senjata, sebaliknya mereka mula merancang dan melancarkan perang saraf keatas umat Islam. Kesemuanya ini dirancang oleh mereka dengan teliti, dan mereka berani melancarkan serangan besar-besaran setelah mereka dapati kekuatan dan kesatuan umat Islam sudah tidak ada lagi.

Hari ini, kemusnahan umat Islam tidak lagi perlu menghadapi pencerobohan dari Alfonso de Alburque atau Rafles atau Francis Light atau Yamashita. Kemusnahan umat Islam berlaku dalam bentuk baru melalui pelanggaran hak-hak eksklusif umat Islam. Hari ini isu murtad menjadi ancaman kepada umat Islam, nama suci Allah dipelekehkan, dilaporkan telah diguna pakai tanpa menghiraukan sensitiviti umat Islam, tanpa mengira potensi yang boleh mengelirukan akidah anak-anak Islam dan tanpa mengira tergurisnya perasaan ummah.Toleransi umat Islam semakin dicabar, keangkuhan semakin berlaku, umat Islam semakin dilemahkan, ia mungkin berpunca dari satu kekaburan dasar atau satu tafsiran yang salah. Walau apa puncanya, ia laksana anai-anai yang semakin membesarkan busut, yang semakin mereputkan umat Islam. Justeru, Mimbar menyeru umat Islam wajib menghayati semangat perpaduan. Umat Islam ibarat sebatang tubuh, di cubit paha kanan, paha kiri terasa. Justeru. marilah sama-sama kita mengeratkan barisan ummah bagi mengatur langkah memperkukuhkan dan memperkasakan ukhwah sebagai agenda utama dalam menentukan masa depan umat Islam itu sendiri.

Sidang Jemaah muslimin dan muslimat yang di Rahmati Allah,

Marilah kita gunakan kesempatan hari yang mulia ini, untuk membina keutuhan tali persaudaraan diantara kita dengan amalan ziarah-menziarahi dan bermaaf- maafan sesama kita. Buang yang keruh, ambillah yang jernih. lebih-lebih lagi dalam menangani isu yang membabitkan agama dan masa depan umat Islam, maka sewajarnya kita sama-sama bangkit bersatu hati tanpa mempedulikan perbezaan latar belakang, ekonomi, miskin atau kaya, berbeza latar belakang fahaman atau politik. Kita ketepikan segala perbezaan-perbezaan tersebut.

Ingatlah bahawa pengorbanan yang sebenarnya adalah pengorbanan yang berasaskan kesatuan dan perpaduan. Inilah pengorbanan yang mesti dilakukan oleh setiap kita, demi membela dan menyelamatkan Islam dan umatnya. Kesemua ini menuntut pengorbanan jiwa raga dan harta benda serta menuntut elemen penting iaitu ketakwaan dan keikhlasan. Tanpa dua elemen ini, maka tidak tercapai matlamat pengorbanan seperti mana yang dituntut oleh Allah SWT. Firman Allah SWT dalam surah al-Hajj ayat 37:

Maksudnya: "Daging dan darah binatang korban itu tidak akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah ketaqwaan kamu. Demikianlah Ia memudahkan binatang itu bagimu supaya kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya kepadamu. Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang yang berusaha supaya baik amalnya."

Mengakhiri khutbah, mimbar menyeru, marilah kita menghayati tuntutan-tuntutan syarak yang terkandung dalam amalan ibadah haji dan ibadah korban yang berpaksikan hubungan kita yang erat dengan Allah SWT dan hubungan kita sesama kita, demi kecemerlangan di dunia dan kesejahteraan di akhirat. Mimbar berpesan bahawa hari raya korban yang dirayakan tanpa pengorbanan, tidak mampu memberi apa-apa makna dan kesan kepada kita. Marilah sama-sama kita menghayati firman Allah SWT dalam surah al-Kauthar ayat 1-3:

Maksudnya: "Sesungguhnya kami telah mengurniakan kepadamu(wahai Muhammad) kebaikan-kebaikan yang banyak(di dunia dan akhirat). Oleh itu kerjakanlah sembahyang kerana tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur). Sesungguhnya orang yang bencikan engkau, dialah yang terputus (dari mendapat sebarang perkara yang diinginnya)."

KHUTBAH KEDUA IDULADHA

Sidang Jemaah yang dikasihi sekalian,

Marilah kita memperbanyakkan syukur kepada Allah SWT yang mengurniakan kita nikmat keamanan dan keharmonian dalam negara ini. Dengan nikmat tersebut kita dapat berhimpun di masjid-masjid dan surau seluruh negara, sama-sama melaungkan takbir Iduladha. Marilah juga kita suburkan perpaduan antara kita kerana akhir-akhir ini bibit perpecahan di kalangan masyarakat mencetuskan reaksi yang kurang menyenangkan. Renungkan sejenak tentang nasib saudara seagama kita yang kini hidup diburu ketakutan, kelaparan, sengsara di negara masing-masing. Saban hari ada sahaja nyawa yang hilang tanpa mengenal kanak-kanak atau orang tua. Hari ini kita menangis kerana kematian orang tersayang samada sakit atau kemalangan, tetapi di negara-negara lain mereka menangis disebabkan kematian yang berpunca daripada persengketaan dan kekacauan. Sesungguhnya keamanan adalah nikmat yang sangat berharga dan wajib dipertahankan.

Selepas ini umat Islam akan melakukan ibadat korban bagi meninggikan syiar Islam. Binatang yang hendak di korbankan mestilah mematuhi syarat-syarat tertentu yang telah ditetapkan oleh agama Islam.Ini menunjukkan bahawa Allah SWT tidak menerima ibadat yang dilakukan sambil lewa, tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan serta mengabaikan soal kesempurnaan ibadat yang hendak dilaksanakan, oleh itu ketelitian dan kesungguhan dalam melakukan apa jua kerja mestilah di beri perhatian oleh semua umat Islam.

Ingatlah bahawa setiap pengorbanan yang kita lakukan hendaklah disertakan dengan niat dan amalan yang ikhlas. Seandainya ibadat korban yang kita lakukan dicemari dengan sifat riak, takabbur dan menunjuk-nunjuk akan kemampuan, maka akan tertutuplah rahmat Allah SWT dan sia-sialah amalan yang kita lakukan. Pengagihan daging korban dapat membantu meringankan beban, mempertingkatkan kualiti hidup dan mengeratkan perpaduan di antara umat Islam itu sendiri. Selain daging korban, umat Islam juga boleh menghantar sumbangan dalam pelbagai bentuk tanda kasih sayang sesama kita, walaupun harga sebahagian binatang korban semakin meningkat, namun ianya tidak menjadi penghalang bagi yang mampu kerana ganjaran pahalanya yang besar.

Mimbar menyambut baik usaha yang telah dijalankan oleh pihak-pihak yang tertentu seperti masjid-masjid, surau-surau, NGO dan pertubuhan Islam lain yang menjalankan ibadat korban di negara-negara minoriti Islam seperti Kemboja, Vietnam, Filipina bagi menyahut seruan suci ini. Paling penting adalah mereka yang mengorbankan harta dan binatang ternakan bagi tujuan suci ini dengan penuh ketakwaan dan hati yang ikhlas kepada Allah SWT. Mimbar amat menghargai sumbangan jemaah dan umat Islam sekalian yang menghidupkan ibadat korban samada di peringkat kampung, taman perumahan mahupun di luar negara.

Sidang Jemaah muslimin dan muslimat yang di Rahmati Allah,

Pada hari ini marilah kita memperbanyakkan ucapan salawat dan salam ke atas baginda Nabi Muhammad SAW kerana telah menyampaikan Islam kepada kita melalui berbagai bentuk pengorbanan dan jihad. Tanda kasih kita kepada baginda hendaklah dirakamkan dalam bentuk ucapan salawat dan salam sebagaimana Firman Allah SWT di dalam Surah al-Ahzab ayat 56:

Maksudnya: "Sesungguhnya Allah SWT dan malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW); Wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya."

SUMBER: JAKIM.GOV.MY, 10 ZULHIJJAH 1432H, 6 NOVEMBER 2011M

No comments:

Post a Comment

Blog Archive