Peristiwa di Mumbai ini berlaku dua bulan selepas peristiwa serangan bom berani mati di Hotel Marriott, Islamabad Pakistan yang turut menyaksikan seramai 40 orang telah terkorban dalam serangan itu. Serangan yang hampir sama juga berlaku awal Januari 2008 di Hotel Serena, Kabul Afghanistan yang turut menyebabkan lapan orang terbunuh. Walaupun ketiga-tiga siri serangan ini dilakukan oleh kumpulan yang berbeza, namun jelas kumpulan-kumpulan ini adalah terlatih dan bertindak atas perancangan yang rapi tanpa berjaya dikesan oleh pihak berkuasa tempatan.
Kumpulan Mujahidin Decca yang menyerang Mumbai dikatakan tiada kaitan dengan rangkaian Al-Qaeda, namun saya berpendapat pada masa hadapan tidak mustahil akan muncul pejuang-pejuang baru yang hampir menyamai serta berinspirasikan Al-Qaeda. Jika diamati serangan yang berlaku di Pakistan, Afghanistan dan India ini melibatkan bangunan milik bangsa Yahudi. Hotel Marriot dan Serena adalah rangkaian hotel milik usahawan Yahudi, manakala Nariman House yang diserang di Mumbai merupakan ibu pejabat rangkaian pelampau ortodoks Yahudi. Kemungkinan siri serangan yang berlaku adalah rentetan daripada perasaan kecewa kumpulan-kumpulan ini terhadap pemimpin dunia yang hanya membiarkan rejim Israel menindas penduduk Islam terutamanya di Palestin yang telah berlarutan semenjak perang dunia ke-2 sehingga kini.
Secara peribadi, saya tidak pasti akan kaitan motif serangan yang berlaku kepada tiga negara terbabit. Namun saya merasakan adalah tidak adil apabila pemimpin dunia mengutuk kumpulan yang melakukan serangan tanpa mengetahui punca sebenar serangan itu dilakukan. Kenyataan salah seorang tebusan yang terlibat dalam krisis di Hotel Taj Mahal Mumbai telah membuktikan bahawa punca serangan yang berlaku perlu diberikan perhatian segera. Sebelum tebusan tersebut dibebaskan, salah seorang ahli kumpulan yang merampas hotel itu telah mengatakan kepadanya bahawa mereka sangat cintakan India tetapi tidak tahan dengan layanan berbeza terhadap orang Islam di India. Penduduk Islam dikatakan merintih disebabkan kekejaman yang digariskan oleh perbezaan agama terutama kepada umat Islam. Tiada siapa yang mahu mendengar atau memberi perhatian terhadap masalah yang menimpa umat Islam di India sejak sekian lama.Walaupun serangan yang berlaku dilihat sebagai kaedah yang bertentangan dengan konsep ketamadunan, namun kebiasaannya golongan minoriti pasti akan tertindas dalam proses untuk mencapai tahap ketamadunan itu sendiri. Sejak dahulu lagi umat Islam India mendakwa mereka telah menjadi mangsa ketidakadilan yang telah berlarutan sekian lama. Mereka menjadi mangsa diskriminasi secara institusi parti berasaskan agama yang telah membangkitkan kemarahan 13.4% umat Islam India daripada keseluruhan populasi negara tersebut.
Bayangkan sekiranya anda sendiri ketinggalan dalam semua aspek kehidupan yang mampu dimiliki oleh orang lain. Umat Islam India sering dikaitkan dengan masalah jangka hayat yang rendah, penjagaan kesihatan yang buruk, kadar celik huruf yang rendah, disekat untuk mendapatkan peluang pelajaran serta hanya mampu bekerja dalam bidang yang menawarkan gaji rendah. Bermula pertengahan abad ke 19, umat Islam India yang pada mulanya celik huruf 100% telah merosot kepada 20% hanya dalam tempoh 50 tahun. Mereka yang berpendidikan tinggi pula disisihkan daripada jawatan kerajaan. Hak umat Islam India untuk mendapat pendidikan di universiti juga sering dinafikan. Semua ini berlarutan sejak 150 tahun lalu berikutan kejatuhan kerajaan Islam Mumbai yang pernah diterajui oleh raja-raja Islam. Penyisihan serta penganiayaan terancang terhadap umat Islam ini dilakukan oleh golongan majoriti Hindu yang bermula sejak zaman penjajahan British.
Kewujudan Pergerakan Pelajar Islam India (SIMI) adalah rentetan daripada kegagalan New Delhi untuk menyelesaikan kes pembunuhan 2 ribu umat Islam di Gujerat yang berlaku pada tahun 2002. SIMI kini dituduh mempunyai kaitan dengan kumpulan Mujahidin Decca. Decca terletak di kawasan tengah negara India yang pernah menjadi pengkalan Islam Hyderabad selama lebih 400 tahun. Serangan di Mumbai ini secara tidak langsung telah menyingkap rahsia keganasan yang hanya untuk dikutuk dan bukannya dicari punca atau motif kejadian kenapa tindakan keganasan itu berlaku.Rakyat Malaysia perlu mengambil ikhtibar daripada peristiwa ini. Umat Islam India adalah sebangsa dengan penganut agama lain di sana, namun mereka tetap ditindas oleh kaum mereka sendiri. Nasib mereka boleh diibaratkan umpama langit dengan bumi antara kaum India di negara ini yang hanya 1.8% daripada keseluruhan populasi Malaysia berbanding nasib golongan minoriti di negara India sendiri. Menurut statistik Kementerian Sumber Manusia, hampir 20% daripada keseluruhan kaum India di Malaysia bekerja sebagai peguam dan hampir 18% lagi telah berjaya menjadi doktor. Jika puak pelampau Hindraf masih merasakan mereka ditindas di negara ini, maka saya menyarankan agar mereka cuba bersaing di negara asal mereka sendiri. Peristiwa yang berlaku ini juga telah membuktikan bahawa parti yang berasaskan agama dilihat gagal untuk menyelesaikan masalah umat Islam di India dan perlu dijadikan pengajaran kepada parti berasaskan agama di Malaysia.















