Feel free to email us at panehmiang@gmail.com.

Wednesday, November 17, 2010

عيد الأضحى

"PENGORBANAN KEMBALI KEPADA ISLAM"
10 ZULHIJJAH 1431H
17 NOVEMBER 2010M


Sidang Jemaah Muslimin dan Muslimat Yang di Rahmati Allah Sekalian,

Pada pagi Hari Raya Iduladha yang penuh keberkatan lagi mulia ini, marilah sama-sama kita perbanyakkan rasa syukur dan meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa. Ketakwaan penuh keinsafan, penuh pengorbanan yang bertanggungjawab membawa kita mentaati perintah Allah SWT dan meninggalkan segala larangan-Nya, mudah-mudahan kita dikasihi Allah, mendapat perlindungan-Nya di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan menyampaikan khutbah yang bertajuk "PENGORBANAN KEMBALI KEPADA ISLAM".

Sidang Jemaah Muslimin dan Muslimat yang di Rahmati Allah,

Ibadah haji mengembalikan kenangan agong yang berlaku kira-kira 5,000 tahun yang lampau melibatkan pengorbanan nabi Ibrahim AS dan keluarganya dalam mentaati perintah Allah. Dalam mencapai pengorbanan yang agong ini nabi Ibrahim telah menghabiskan segenap usianya untuk berbakti kepada tuhan, meletakkan batu asas supaya manusia kembali kepada agama Allah. Selain menjadikan kota Mekkah sebagai pusat gerakannya, baginda kemudian berpindah dari satu daerah ke satu daerah, dari wilayah Iraq sampai ke Palestin, terus ke Mesir. Ditinggalkan isterinya Hajar bersama putranya Ismail di tanah tandus yang tidak berair itu sehingga terpancarlah air zamzam untuk memberi minum kepada mereka. Apabila baginda kembali ke Makkah, diperintahkan tuhan menyembelih puteranya Ismail, dan dilakukannya dengan penuh keikhlasan. Maka diganti oleh Allah SWT dengan haiwan iaitu kibas yang dijadikan korban sembelihan. Kemudian bersama putranya membina semula Baitullah yang menjadi kiblat kaum muslimin hingga sekarang. Pengorbanan besar nabi Ibrahim dan keluarganya kepada Allah SWT dapat dilihat dalam kalimah talbiah yang berbunyi,

Maksudnya: "Wahai Tuhan kami, kami datang semata-mata dengan ikrar setia dan taat kepada perintahMu. Wahai Tuhan kami yang tiada sekutu bagiMu, kami sahut seruanMu. Sesungguhnya segala puji nikmat dan kekuasaan, kesemuanya adalah bagiMu, wahai Tuhan kami yang tiada sekutu bagiMu."

Lafaz talbiah yang diucapkan oleh nabi Ibrahim AS dan keluarganya memberi pengertian yang besar dalam kehidupan umat Islam. Apa yang nyata talbiah ini adalah ikrar yang dilafazkan jemaah haji di seluruh tanah haram Mekkah semata-mata untuk bertakwa kepada Allah SWT, tanda kerinduan kepada Allah yang Maha Esa dan bersiap sedia untuk berkorban kembali kepada Islam dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.

Kekuatan ibadah haji terletak kepada penghayatan lafaz talbiah ini yang dizahirkan melalui amalan tawaf, Sai’, wuquf, bermalam di Muzdalifah, melontar di Jamrah, bercukur dan ibadah yang lain. Imam al-Ghazali dalam kitab Ihya Ulumuddin menerangkan bahawa dengan mengerjakan ibadah haji seseorang muslim menunjukkan kerinduannya yang mendalam kepada tuhan. Ditinggalkan kampung halaman, anak isteri, keluarga serta sahabat dan berangkat mengharungi lautan yang luas, meredah angkasa, mengharungi daratan yang terbentang menuju ke tanah suci dan Baitullah semata-mata untuk mengabdikan dan kembali kepada ajaran Islam seperti mana ikrar yang dilakukan oleh nabi Ibrahim, nabi Ismail dan nabi Muhammad SAW ketika berada di tanah suci Mekkah. Firman Allah SWT dalam surah al-Mumtahanah ayat 4:

Maksudnya: "Sesungguhnya adalah bagi kamu pada Nabi Ibrahim dan pengikut-pengikutnya contoh ikutan yang baik."

Sidang Jemaah Muslimin dan Muslimat yang di Rahmati Allah,

Ibadah haji adalah rukun Islam yang kelima selepas mengucap kalimah syahadah, solat, berpuasa, dan menunaikan zakat. Mereka yang melaksanakan ibadah haji ini hakikatnya menjadi simbul telah sempurna keimanan dan penghayatan melaksanakan perintah Allah. Mereka melafazkan lafaz talbiah sebagai mengistiharkan dan berikrar untuk kembali dan berkorban mempertahankan ajaran Islam sepenuhnya. Sebab itulah mereka yang menunaikan ibadah haji dan mempertahankan sifat-sifat mahmudah atau sifat yang terpuji yang membawa kebaikan kepada keluarga, jiran, masyarakat dan negara dianggap sebagaimendapat haji mabrur.

Sambutan Hari Raya Korban atau Iduladha adalah merujuk kepada pengorbanan kembali kepada Islam kerana Islam adalah agama Allah. Menerima Islam untuk diamalkan dan diperjuangkan samalah seperti menjemput kedatangan rahmatan, keamanan dan keindahan. Menerima Islam sepenuhnya tidak akan merugikan, menyusahkan dan tidak menjatuhkan maruah seseorang.

Berdasarkan pemerhatian mimbar, terdapat umat Islam mengalami perasaan ragu-ragu untuk menghayati ajaran Islam sepenuhnya. Keadaan ini menyebabkan mereka mengamalkan Islam secara terpisah-pisah atau secara serpihan. Ada yang mengamalkan solat, puasa, haji tetapi pada masa yang sama pula bergelomang dengan maksiat. Lantaran kealpaan inilah kita lalai dalam melaksanakan tangungjawab sebagai seorang hamba Allah SWT. Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan seseorang itu lalai dari tangungjawab yang sebenarnya antaranya ialah kerana mereka ini sukakan kehidupan dunia dan benci kepada kematian, sedangkan perlu diingat suatu hari nanti kita akan berhadapan dengan Allah dalam keadaan bersendirian. Cinta kepada dunia datang dengan pelbagai bentuk seperti cintakan kemewahan, kesenangan, keamanan, kesihatan, kedudukan dan pangkat. Lantas dengan perkara ini kita menjadi lalai dan tidak mampu mengorbankan apa jua yang ada pada kita di jalan Allah SWT. Kita beranggapan segala yang kita perolehi adalah hasil dari usaha kita sendiri tanpa menghubung kait dengan pemberian dari Allah SWT. Kita lebih mengutamakan kerja daripada melaksanakan perintah Allah, lalai untuk mengorbankan sedikit waktu untuk sujud dan patuh kepada perintah-Nya dan ada juga yang belum mampu untuk mengorbankan sedikit hasil pendapatan dan harta kerana dikhuatiri kekayaan dan harta itu akan berkurangan, justeru kita lebih suka memikirkan kepentingan diri daripada kepentingan umum. Ibadah haji yang sedang dilaksanakan pada saat ini sebenarnya memupuk semangat berkorban sesama umat Islam, menjaga hubungan persaudaraan, bersatu hati, menghindari sikap mementingkan diri sendiri.

Prinsip-prinsip inilah yang akan membentuk kekuatan yang perlu difahami dan dijunjung oleh setiap individu muslim pada ketika ini. Umat Islam yang longgar atau mengenepikan prinsip-prinsip pengorbanan ini membuka ruang kepada musuh-musuh Islam untuk menghancurkan Islam dan umatnya. Oleh itu pengorbanan antara satu sama lain adalah agenda umat yang paling dituntut. Mimbar menyeru marilah sama-sama kita mengorbankan sedikit kepentingan diri demi mengatur langkah bagi memperkukuhkan dan memperkasakan ukhwah sebagai agenda utama dalam menentukan masa depan umat Islam itu sendiri. Pengorbanan yang sebenarnya adalah pengorbanan yang berasaskan kepentingan Islam. Inilah pengorbanan yang mesti dilakukan oleh setiap kita, demi membela dan menyelamatkan Islam dan umatnya. Kesemua ini menuntut pengorbanan jiwa raga dan harta benda dengan bertunjangkan kepada niat yang ikhlas dan ketakwaan kepada Allah SWT. Ingatlah wahai umat Islam sekalian setiap pengorbanan tanpa keiklasan dan ketakwaan kepada Allah SWT adalah sia-sia belaka. Firman Allah SWT dalam surah al-Hajj ayat 37:

Maksudnya: "Daging dan darah binatang korban itu tidak akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah ketaqwaan kamu. Demikianlah Ia memudahkan binatang itu bagimu supaya kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya kepadamu. Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang yang berusaha supaya baik amalnya."

Sidang Jemaah muslimin dan muslimat yang di Rahmati Allah,

Lafaz talbiah yang menyeru kita kembali dan berkorban untuk Islam telah menyedarkan kita, menginsafkan kita bahawa agama Islam menjadi asas kekuatan umat Islam di negara ini. Kelemahan kita mempertahankan Islam akan menjerat bangsa kita menjadi bangsa yang tiada identiti dan jati diri. Mimbar menyeru marilah kita mengambil kesempatan pada hari yang mulia ini, untuk membina keutuhan tali persaudaraan diantara kita dengan ziarah-menziarahi dan bermaaf- maafan sesama kita. Buang yang keruh, ambillah yang jernih. lebih-lebih lagi dalam menangani isu yang membabitkan agama dan masa depan umat Islam, maka sewajarnya kita sama-sama bangkit bersatu hati tanpa mempedulikan perbezaan latar belakang ekonomi, miskin atau kaya, berbeza latar belakang fahaman atau politik. Kita ketepikan segala perbezaan-perbezaan tersebut.

Mengakhiri khutbah pada hari ini, beberapa perkara yang perlu diambil perhatian sebagai renungan kita bersama:

Pertama: Iduladha yang kita rayakan ini mengajar kita erti pengorbanan dan sesungguhnya pengorbanan itu adalah sesuatu yang sangat tinggi nilainya bagi seluruh umat Islam.

Kedua: Ibadat haji secara tidak langsung mendidik kita supaya bersikap dengan nilai-nilai yang positif serta dituntut di dalam Islam seperti sabar, tolong- menolong, bertolak ansur, merendah diri, bersyukur, redha, istiqamah, tawakkal dan sebagainya. Disamping itu juga, ia mendidik kita menjauhi nilai-nilai negatif seperti mementingkan diri sendiri, tidak sabar, tamak, bangga diri, hasad dengki dan seumpamanya.

Ketiga: Pengorbanan kembali kepada Islam adalah yang berasaskan kepada keikhlasan dan ketakwaan kepada Allah SWT. Marilah sama-sama kita menghayati firman Allah SWT dalam surah al-Kauthar ayat 1-3:

Maksudnya: "Sesungguhnya kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan-kebaikan yang banyak(di dunia dan akhirat). Oleh itu kerjakanlah sembahyang kerana tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur). Sesungguhnya orang yang bencikan engkau, dialah yang terputus (dari mendapat sebarang perkara yang diinginnya)."

Sidang Jemaah yang dikasihi sekalian,

Marilah pada hari yang penuh bahagia ini kita melafazkan rasa kesyukuran di atas nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT. Sesungguhnya disekeliling kita masih terdapat golongan yang kurang bernasib baik dan memerlukan bantuan daripada kita. Selepas ini umat Islam akan melakukan ibadat korban bagi meninggikan syiar Islam. Binatang yang hendak dikorbankan mestilah mematuhi syarat-syarat tertentu yang telah ditetapkan oleh agama Islam. Dengan ini menunjukkan bahawa Allah SWT tidak menerima ibadat yang dilakukan sambil lewa, tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan serta mengabaikan soal kesempurnaan ibadat yang hendak dilaksanakan. Oleh itu ketelitian dan kesungguhan dalam melakukan apa jua kerja mestilah di beri perhatian oleh semua umat Islam. Ingatlah bahawa setiap pengorbanan yang kita lakukan hendaklah disertakan dengan niat dan amalan yang ikhlas. Seandainya ibadat korban yang kita lakukan dicemari dengan sifat riak, takabbur dan menunjuk-nunjuk akan kemampuan, maka akan tertutuplah rahmat Allah SWT dan sia-sialah amalan yang kita lakukan.

Pengagihan daging korban dapat membantu meringankan beban, mempertingkatkan kualiti hidup dan mengeratkan silaturrahim di antara umat Islam itu sendiri. Selain daging korban, umat Islam juga boleh menghantar sumbangan dalam pelbagai bentuk tanda kasih sayang sesama kita, walaupun harga sebahagian binatang korban semakin meningkat, namun ianya tidak menjadi penghalang bagi yang mampu kerana ganjaran pahalanya yang besar. Mimbar menyambut baik usaha yang telah dijalankan oleh pihak-pihak yang tertentu seperti masjid-masjid, surau-surau, NGO dan pertubuhan Islam lain yang menjalankan ibadat korban di negara-negara minoriti Islam seperti Kemboja, Vietnam, Filipina bagi menyahut seruan suci ini. Paling penting adalah mereka yang mengorbankan harta dan binatang ternakan bagi tujuan suci ini dengan penuh
ketakwaan dan hati yang ikhlas kepada Allah SWT. Mimbar amat menghargai sumbangan jemaah dan umat Islam sekalian yang menghidupkan ibadat korban samada di peringkat kampung, taman perumahan mahupun di luar negara.

Sidang Jemaah muslimin dan muslimat yang di Rahmati Allah,

Pada hari ini marilah kita memperbanyakkan ucapan salawat dan salam ke atas baginda nabi Muhammad SAW kerana telah menyampaikan Islam kepada kita melalui berbagai bentuk pengorbanan dan jihad. Tanda kasih kita kepada baginda hendaklah dirakamkan dalam bentuk ucapan salawat dan salam sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah al-Ahzab ayat 56:

Maksudnya: "Sesungguhnya Allah SWT dan malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW); Wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya."

Sumber: Khutbah ON-LINE JAKIM

2 comments:

  1. Mari kembali kepada Islam syumul. Jangan kita ikut Barat dgn bersumberkan ajaran Lord Reid. Kembalilah kepada AlQuran Dan Sunnah Rasullah. Ingatlah pesanan Rasullah, Umat Islam akan meniru perbuatan puak kuffar sehingga ikut kelubang biawak sekalipun umat islam akan tiru ikutannya. Jauhhilah program2 yg nyata2 bertentangan dgn adab susila Muslim spt program "Dance with Artist" Kalau artis barat memakai undeware saja, penari melayu muslim memakai seluar sendat "Skin Thight". Adakan program Dance with Husband and Wife hanya dirumah, kita ada alternatif lain atau dendang nashid Robbani atau Maher Zain. Insaflah kita menuju kealam kekal. Jangan ikut syaitan2 bisu kata Rasullah. Den dakwah ajo. Slmt Hari Raya Berkorban!

    ReplyDelete
  2. erk hompuk. ko buto sejarah ka? ko igt lord reid sorg je ka gubal itu perlembagaan? bolo punya olang. ko tau tak ramai ulama' yg terlibat dlm penggubalan 2. sekian ramai org melayu terlibat dlm draf perlembagaan sehingga di finalised lagi 2bln sblm merdeka. mereka 5 yg asal trmasuk si reid tu hanya buat draf saja. perlembagaan siap diazankan dgn disaksikan segala sultan, ulama' dan pembesar negara. kang cakap ekau tak sekolah kang ko marah. knapa ko tak persoal mengapa british sahkan daftar pas dlm tempoh sehari saja borang diisi oleh ahmad puad lepas kalah tanding presiden umno dgn tunku? pas punca pecah belah melayu. british dah lama nampak peluang. hanya kau aka hompuk saja yg bodoh. slamat hari raya pas berkorban perjuang islam utk menyokong komunis.

    ReplyDelete

Blog Archive