Feel free to email us at panehmiang@gmail.com.

Wednesday, September 2, 2009

Terkenang semasa dulu...

Almarhum Tuanku Muhammad

Masa zaman budak-budak dulu, aku pernah bertanya pada arwah Uwan tentang susur galur keturunan keluarga kami. Banyak juga yang orang tua tu cerita, dan pada masa tu baru aku tahu yang aku ni adalah dari keturunan suku Tanah Datar. Arwah Uwan memang bangga bila menceritakan kisah suku Tanah Datar ni, lebih-lebih lagi apabila beliau mengaitkan individu daripada suku Tanah Datar yang merupakan salah seorang pahlawan terkenal dalam sejarah Negeri Sembilan. Pada masa tu, aku tidaklah ambil kisah sangat cerita berkaitan pahlawan tersebut kerana aku agak pelik bila mendengar namanya iaitu Datuk Siamang Gagap.

Walaubagaimanapun, di kesempatan ini, aku ingin membawa perhatian semua kepada sebuah kisah mengenai lelaki yang digelar Datuk Siamang Gagap. Sekurang-kurangnya, sebagai anak jati Negeri Sembilan, aku turut berbangga dengan kisah perjuangan seorang pahlawan yang sama hebatnya dengan Dato' Bahaman, Tok Gajah, Mat Kilau, Dol Said, Dato' Maharajalela serta sekalian pahlawan Melayu yang berjuang menentang penjajahan Inggeris di negara ini.

1. Datuk Siamang Gagap atau nama sebenarnya Kahar Mukmin, pada masa kecilnya menghadapi masalah gagap yang berjaya diatasinya setelah dewasa. Dilahirkan dalam suku Tanah Datar di Seri Menanti.

2. Beliau mempunyai badan yang tegap dan sasa selain mempunyai bulu kening yang tebal sehinggakan menutup pelupuk mata yang menjadi 'trademark'nya.

3. Mendapat gelaran Datuk Siamang Gagap daripada Yamtuan Radin selepas beliau menentang orang Rawa secara bersendirian. Dikatakan orang-orang Rawa ini amat cemburu dengan kemakmuran dan kemajuan Seri Menanti.

4. Setelah kemangkatan Yamtuan Radin pada 1861, Datuk Siamang Gagap masih merupakan pembesar istana yang penting di bawah pemerintahan Yamtuan Imam yang menggantikan Almarhum kekandanya itu pada tahun 1861-1869.

5. Merupakan pembesar istana yang terlibat secara langsung semasa berlakunya krisis antara Tengku Laksamana Antah dan Tengku Ahmad Tunggal, berkaitan dengan perebutan takhta kerajaan negeri yang merupakan punca kepada campurtangan Inggeris di Negeri Sembilan pada tahun 1872 iaitu selepas kemangkatan Yamtuan Imam.

6. Kemangkatan Yamtuan Imam telah menyebabkan Tengku Ahmad Tunggal (putera sulung Yamtuan Radin) menuntut haknya menjadi Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan.

7. Atas sebab-sebab tertentu, para pembesar istana dikatakan enggan melantik Tengku Ahmad Tunggal sebagai Yamtuan, sebaliknya Datuk Siamang Gagap secara tegas telah mengangkat Tengku Ampuan Intan yang merupakan isteri kepada Yamtuan Radin sebagai pemangku takhta kerajaan.

8. Walaubagaimanapun, keputusan Datuk Siamang Gagap itu tidak mendapat persetujuan daripada Datuk Penghulu Luak dan Orang Empat Istana yang kemudiannya telah melantik Tengku Laksamana Antah (putera Yamtuan Radin) iaitu anak saudara kepada Almarhum Yamtuan Imam untuk menaiki takhta kerajaan pada 1872.

9. Perlantikan Yamtuan Antah itu mendapat tentangan daripada Tengku Ahmad Tunggal yang akhirnya mencetuskan perang saudara yang dikenali dengan nama Perang Bukit Putus.

10. Tengku Ahmad Tunggal yang merasa kecewa dengan perlantikan Tengku Laksamana Antah sebagai Yamtuan telah menemui Datuk Kelana Putera, Undang Luak Sungai Ujong iaitu Datuk Kelana Putera Syed Abdul Rahman yang bersimpati dengannya.

11. Inggeris yang datang ke Sungai Ujong (dalam daerah Seremban) telah menyatakan sokongan dan berjanji untuk memberikan bantuan kepada Datuk Kelana Putera untuk menyerang Seri Menanti di dalam usaha membantu Tengku Ahmad Tunggal merebut takhta kerajaan. Sebenarnya Inggeris pada masa itu berniat untuk menguasai perdagangan bijih timah di Sungai Ujong.

12. Krisis perebutan takhta kerajaan negeri mencapai kemuncaknya apabila Inggeris membantu Datuk Kelana Putera dan Tengku Ahmad Tunggal untuk menyerang Seri Menanti dalam Perang Bukit Putus.

13. Dalam peperangan tersebut, penduduk Seri Menanti yang diketuai oleh Datuk Siamang Gagap telah berdiri teguh di belakang Yamtuan Antah, sementara pasukan Datuk Kelana Putera dan Tengku Ahmad Tunggal pula di ketuai oleh Kapten Murray, seorang pegawai tentera Inggeris.

14. Pada peringkat awal, Datuk Siamang Gagap dan pasukannya telah berjaya mengundurkan pasukan dari Sungai Ujong ke Paroi, tetapi pihak Inggeris telah menambah kekuatan dengan membawa askar sepoi dari Melaka.

15. Akhirnya, dengan kekuatan senjata yang lengkap, pakatan Inggeris bersama Datuk Kelana Sungai Ujong dan Tengku Ahmad Tunggal telah berjaya memenangi pertempuran tersebut pada tahun 1874 sehingga menyebabkan Yamtuan Antah terpaksa melarikan diri ke Johor bagi mengelak diri ditawan; manakala Datuk Siamang Gagap telah meneruskan perjuangan dan bertahan bagi menghalang kemasukan Inggeris ke Seri Menanti.

16. Ketika Datuk Siamang Gagap merancang untuk bertindak balas, beliau telah mendapat berita bahawa Yamtuan Antah telahpun menerima syarat perdamaian yang dibuat oleh Frederick Aluysweld.

17. Namun perjanjian yang dibuat pada 4 Jun 1887 itu terus mendapat tentangan daripada Datuk Siamang Gagap. Bagi mengendurkan suasana, pihak Inggeris dikatakan telah menawarkan Datuk Siamang Gagap akan peluang menunaikan fardhu haji di Mekah.

18. Dengan ketiadaan Datuk Siamang Gagap, pihak Inggeris telah mengambil kesempatan dengan menawarkan perjanjian damai kepada Yamtuan Antah. Sekembalinya dari Mekah, Datuk Siamang Gagap terpaksa mengalah sebaik mengetahui perjanjian tersebut telahpun ditandatangani.

19. Inggeris mula menguatkan pengaruhnya di Seri Menanti dan keadaan menjadi lebih buruk selepas kemangkatan Yamtuan Antah empat bulan kemudian.

20. Inggeris cuba mengangkat Tengku Muda Chik menjadi Yamtuan tetapi ditentang keras oleh Datuk Siamang Gagap. Akibat penentangan itu, maka Inggeris terpaksa mengangkat Tuanku Muhammad menjadi Yamtuan pada 13 Julai 1889 dan seterusnya Martin Lister dinamakan oleh pihak Inggeris sebagai Residen Pertama di Negeri Sembilan.

21. Datuk Siamang Gagap yang terkenal keras menentang campurtangan Inggeris akhirnya terpaksa mengundurkan diri ke Pahang setelah Inggeris berjaya campur tangan sepenuhnya dalam pentadbiran kerajaan negeri.

22. Dan kini, bagi memperingati jasa serta kepahlawanan Datuk Siamang Gagap, pihak kerajaan Negeri Sembilan telah menukarkan nama sebuah jalan kepada nama Jalan Datuk Siamang Gagap, di bandar Seremban (berhampiran Sekolah Kebangsaan Seri Kelana) yang menggantikan nama asal jalan tersebut iaitu Channer Road.

7 comments:

  1. Assalamualaikum,

    ...syukran. Memang benarlah..

    Pulau Pandan Jauh di tengah,
    Gunung Daik bercabang Tiga,
    Hancur Badan dikandung Tanah,
    Budi yang baik diKenang Juga..

    Al-Fatihah!

    ReplyDelete
  2. baguusss... teruskan dengan fakta sejarah.. bukan sekadar auta yang di buat untuk menghalalkan tindakan...

    http://tomok123.blogspot.com

    ReplyDelete
  3. owh...camtu yo..baru la sey tau.. timo kasihla yo..
    ese ari2 lalu jln Dato' Siamang Gagap dlu g kojo kt Betaria Business Center tu...

    ReplyDelete
  4. yg tak melibatkan pasti memang laa betul...
    kisah tok janggut...
    dato bahaman...
    mat kilau...
    cuba ketiga2 pemilik nama kat atas ni mati masa selepas merdeka, sah2 dituduh pengkhianat dalam buku sejarah...
    sebab?...
    depa ni kuat giler lawan british!!!

    ReplyDelete

Blog Archive