Feel free to email us at panehmiang@ymail.com.

Wednesday, March 5, 2014

Luka lama berdarah KEMBALI

Inilah bala dan bahana bilamana;

1. Malaysia sudah tiada Akta Keselamatan Dalam Negeri.

2. Pembatalan Proklamasi Darurat merujuk kepada Perkara 150, Perlembagaan Persekutuan.

3. Malaysia sedang mengarah kepada mansuh Akta Hasutan.

4. Akta SOSMA secara berlebihan dirujuk di Sabah dan Sarawak.

5. Liberalisme meresapi Hindu, hingga berjaya memBAHALOLkan seorang pensyarah IPG Kuala Lipis iaitu Kamaluddin yang mana penulisannya boleh mendorong kepada gelincirnya tauhid sendiri.

6. Islam kekal sebagai Agama Langit (awal dan akhir) tiada yang lebih daripada Agama Islam, sesuai dengan kedudukan yang dipandu dalam Al-Quran sejak nabi Adam a.s.

7. Inilah kesan Komunisme dalam kepercayaan Hindu yang sudah mendorong kepada "sengketa sulit" yang amat-amat merbahaya.

8. Ramainya "Salman Rushdie" Melayu di Bumi Melayu kini. Mungkin dah tiba masanya pelaksanaan undang-undang mandatori HUDUD oleh Kerajaan Persekutuan.

*********


"Percayakah saudara, bahawa Brahman, Buddha, Tao dan Ahura Mazda (Armuzd) adalah nama-nama bagi Allah SWT, Tuhan Yang Maha Esa, dan semua ahli falsafah zaman sebelum masihi terutamanya dari tamadun Greek Yunani, China dan India adalah terdiri daripada para Nabi dan Rasul?" – Kamaludin Endol

Sebaik sahaja menyelak dan membaca beberapa halaman buku ini, saya tidak berani menolak kemungkinan akan ada pihak yang meminta buku ini diteliti pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Buku "Hinduisme Agama Tauhid Terawal?" (2014) tulisan Kamaludin Endol mungkin dilihat serta dianggap golongan tertentu sebagai terlalu bersikap terbuka dalam memberikan perakuan terhadap suatu perkara yang cuba dinafikan zaman-berzaman.

Kamaludin yang menggunakan nama pena Pelita di Dalam Kaca sebelum ini menang Hadiah Sastera Perdana Malaysia menerusi novel “Baldatun Thoiyyibatun” (2011) yang melihat Malaysia sebagai sebuah negara Islam menjelang tahun 2020.

Kehebatan Kamaludin ternyata bukan hanya sebagai pengarang kreatif dan buku “Hinduisme Agama Tauhid Terawal?” menjadi bukti pemikiran kritis beliau dalam meneroka pelbagai sisi yang selalunya jarang berani dijelajah penulis tempatan; khususnya penulis Melayu.

Buku setebal 101 halaman ini tetap membawakan kesimpulan atau tujuan seperti yang lazim ditemui dalam kebanyakan buku Bahasa Malaysia tulisan penulis Melayu-Islam dan penulis Bukan Melayu yang memeluk Islam.

Pada pengamatan saya, pengarang mengharapkan buku kajian separa akademik ini “menjadi pemangkin kepada kembalinya semua umat manusia yang pernah menganut agama Tauhid Sanatara-dharma (Hindu) ini, kepada hakikatnya yang asli yang disempurnakan oleh nabi terakhir Nabi Muhammad SAW”.

Saya sedikit pun tidak menyalahkan pandangan, niat dan hajat Kamaludin kerana setiap hujah atau pandangan yang dikemukakannya adalah berdasarkan fakta dan maklumat daripada pelbagai sumber yang sahih.

Bagaimanapun, berbalik kepada kebimbangan yang saya lahirkan pada bahagian awal tadi. Dalam usaha menyajikan hipotesis bahawa Sanatara-dharma (Hindu) merupakan agama Tauhid pertama yang diwahyukan oleh Allah, Kamaludin membuka pintu seluas-luasnya untuk para pembaca/pengkaji meneliti hakikat ajaran yang berusia lebih 5,000 tahun itu secara lebih mendalam.

Tidak setakat itu, sebagai seorang insan yang ternyata mencintai ilmu serta menggalakkan dialog antara agama, pengarang juga meneliti ajaran dalam pelbagai agama lain secara objektif dan dengan minda terbuka yang agak liberal.

“Saya telah mendapat suatu keyakinan yang cukup pasti bahawa semua agama besar di dunia ini kecuali agama yang muncul selepas kewafatan Rasulullah SAW, adalah bersumber dari sumber yang satu iaitu Allah Tuhan Yang Maha Esa,” katanya pada bahagian prakata.

Hanya bahasa membezakan Hindu, Islam

Berdasarkan kajian, pembacaan dan penelitian yang dilakukan, Kamaludin berusaha mengemukakan pelbagai bahan bukti bahawa konsep Ketuhanan Allah iaitu Tuhan Yang Maha Esa sudah sedia terdapat dalam ajaran Hindu yang pada mulanya dikenali sebagai Sanatara-dharma.

“Apabila Konsep Ketuhanan Allah Yang Maha Esa sebagai pokok iman yang paling utama, difahami secara metafizika dan makrifatullah, unsur-unsur Tauhid dalam Hinduisme akan jelas kelihatan.

“Untuk mengesan adanya Tauhid dalam agama Hindu memanglah tersangat sukar kerana semua istilah mengenai Tauhid dalam agama Hindu adalah dalam bahasa Sanskrit; bahasa yang telah hilang khalayak penuturnya, sedangkan umat Rasulullah SAW memahami agama Tauhid melalui bahasa Arab,” katanya.

Dalam makalah bertajuk “Demi Allah!” (The Malaysian Insider, 14 Januari 2013), saya menyatakan bahawa konsep “Eka Aneka” (Sanskrit) digunakan dalam ajaran Hindu untuk mengakui keesaan Pencipta atau disebut “Tauhid” dalam Bahasa Arab.

Malah, seperti saya tekankan dalam makalah berkenaan, usah kita lupa pada hakikat bahawa ajaran Hindu adalah antara agama yang paling awal berbicara tentang “Tauhid” (Tuhan Yang Maha Esa), seperti turut diakui Muhammad Fitri Abdullah dari Persatuan Kebajikan dan Pengubatan Islam dalam suatu seminar di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 30 Mei 2009.

Bagi sesiapa yang masih mempertikaikan keesaan Tuhan dalam ajaran Hindu, dipersilakan melayari www.uthayasb.blogspot.com untuk membaca beberapa siri makalah Bahasa Malaysia yang menjelaskan isu itu dengan mudah dan mendalam.

Dalam buku “Hinduisme Agama Tauhid Terawal?” ini, Kamaludin turut menyentuh sedikit mengenai istilah “Allah”. Pandangan dan hujah yang diberikannya adalah amat rasional dan intelektual. Katanya, tentulah istilah “Allah” tidak ditemui dalam ajaran Hindu dan Buddha kerana ia istilah bahasa Arab.

“Allah adalah Zat Tuhan dalam istilah Arab. Sementara dalam agama Hindu ialah Brahman. Ini dapat dibuktikan apabila sifat-sifat Allah yang infiniti sama dengan Brahman yang juga infiniti. Walaupun Allah mempunyai 99 Nama-Nama Sifat-Nya Yang Maha Agung, akan tetapi berasaskan Tauhid Sifat pada hakikatnya adalah infiniti sebagaimana juga Brahman,” bekas pensyarah itu menjelaskan.

Selain daripada meneliti sifat Tauhid dalam ajaran Hindu, Kamaludin turut meneliti apa yang terkandung dalam ajaran Buddha, Taoisme dan Zoroastrianisme. Pengalamannya mengajar mata pelajaran “Moral Dari Perspektif Agama” di Maktab Perguruan Tengku Ampuan Afzan, Kuala Lipis, Pahang juga banyak membantu.

Agama Hindu diwahyukan kepada Nabi Adam?

Buku yang “berani” ini mungkin tidak menjadi isu sekiranya ditulis menggunakan Bahasa Inggeris, Tamil, Arab atau Mandarin. Akan tetapi, memandangkan ia ditulis menggunakan Bahasa Malaysia, maka boleh sahaja dilihat puak etnosentrik, ultra kiasu, rasis dan fanatik sebagai bertujuan “menyesatkan” atau sekurang-kurangnya “mengelirukan” masyarakat Melayu-Islam.

Tambahan pula dalam keadaan semasa di mana orang Kristian dituduh menguasai Bahasa Malaysia semata-mata untuk mampu menyebarkan ajaran Kristian kepada orang Melayu; seperti dilaporkan di portal berita Malaysiakini baru-baru ini.

Daripada pengalaman sendiri, sejak 2011, saya sering dituduh cuba menyebarkan ajaran Hindu menerusi cerpen; semata-mata kerana karya saya menggunakan Bahasa Malaysia. Tuduhan seperti itu dilemparkan pula oleh seorang penerima anugerah penulisan peringkat Asia Tenggara dan seorang lagi individu yang merupakan calon Anugerah Sastera Negara.

Cerpen “Chitra Paurnami” (Kisah dari Siru Kambam, 2013) pernah cuba dihalang penyiarannya pada 2012 oleh penolong editor sebuah majalah sastera dengan alasan “ada unsur penyebaran agama Hindu” serta “tidak boleh disiarkan kerana salah dari segi akta penerbitan”.

Kamaludin pula seorang pengarang Melayu-Islam yang ternyata berani mengemukakan hujah berdasarkan fakta akan kemungkinan besar Hinduisme (Sanatara-dharma) adalah agama pertama yang diwahyukan oleh Allah kepada Nabi Adam.
Nabi berkenaan diakui diturunkan (disingkirkan, dibuang) ke India dan baginda diriwayatkan hidup di sana selama seratus tahun sebelum pergi mencari Siti Hawa. Mereka bertemu di Jeddah tetapi kembali ke India untuk memulakan hidup berkeluarga.

Dalam meneruskan kajiannya terhadap persamaan antara Hindu-Islam serta membuktikan ajaran Hindu adalah agama Tauhid pertama di dunia, Kamaludin melihat persamaan konsep yang wujud antara kedua-duanya, walaupun bahasa yang digunakan adalah berbeza.

“Sruti bagaikan menyamai tradisi penurunan wahyu sementara smirti menghampiri tradisi Hadis dan Sunnah Rasul. Dengan begitu tidakkah sruti bererti Firman Tuhan (wahyu) sementara smirti adalah Sabda Junjungan (hadis) dari para Nabi dan Rasul-Rasul (rishi dan maha rishi)?” Kamaludin melontarkan pertanyaan untuk renungan pembaca.

Khalayak pembaca Hindu di Malaysia tidak akan menghadapi sebarang masalah membaca, menghayati, memahami dan mencerna segala kandungan buku “Hinduisme Agama Tauhid Terawal?” kerana ajaran Hindu sesungguhnya menggalakkan dialog antara agama.

Walau bagaimanapun, sama-sama kita nantikan apakah pula reaksi “polis agama” dan puak ultra kiasu, serta Perkasa, Ridhuan Tee Abdullah dan gerombolan mereka yang sentiasa menanti peluang mewujudkan persengketaan orang Melayu dengan kaum-kaum lain.

Sementara itu, masyarakat pelbagai kaum dan agama boleh berhubung terus dengan pengarang untuk membeli buku ini; sementara belum “dihentikan edaran sementara menanti hasil siasatan pihak berkuasa jabatan agama”.

4 comments:

  1. Luka ditangan nampak bedarah'
    luka dihati siapa yang tahu,

    kalau kepala negara dah memang haramjadah'
    rakyat jelat hanya mampu memendam pilu.

    ReplyDelete
  2. Amalan orang Hindu, Kristian Yahudi Budha bukanlah yg sebenar. Ramai yg ikut saja. Apa yg ada dalam kitab mereka adalah agama mereka yg sebenar.

    ReplyDelete
  3. Yang ism-ism tu ugama ke?

    ReplyDelete
  4. Saya harap saudara membaca buku saya tersebut.

    ReplyDelete

Surah Al-Baqarah, Ayat 120

"Bukan orang Yahudi, ataupun Nasrani yang akan menerimamu, melainkan jika kamu mengikut agama mereka. Katakan,"Hanya petunjuk Allah sahaja yang benar" Jika kamu menyetujui kehendak mereka, setelah kamu menerima ilmu pengetahuan, kamu akan dapati tidak ada satu perjanjian ataupun penyokong dapat menolongmu dari Allah."

Surah Al-Baqarah, Ayat 216

"Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya."

Surah Al-Imran, Ayat 28

"Janganlah orang-orang yang beriman mengambil orang- orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Dan sesiapa yang melakukan (larangan) yang demikian maka tiadalah ia (mendapat perlindungan) dari Allah dalam sesuatu apapun, kecuali kamu hendak menjaga diri daripada sesuatu bahaya yang ditakuti dari pihak mereka (yang kafir itu). Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan diriNya (menyeksa kamu). Dan kepada Allah jualah tempat kembali."

Surah Al-An'aam, Ayat 67

"Tiap-tiap khabar berita mempunyai masa yang menentukannya (yang membuktikan benarnya atau dustanya); dan kamu akan mengetahuinya."

Surah Ar-Ra'd, Ayat 11

"Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya."
Blog Widget by LinkWithin

Blog Archive