Feel free to email us at panehmiang@gmail.com.

Tuesday, December 3, 2013

Ilmu Pengurusan Ketua Penyamun

SEANDAINYA P Ramlee masih hidup, saya yakin kita boleh nobatkan beliau sebagai “management guru” Tanah Melayu.

Beliau sangat peka mengenai P & L (akaun untung rugi) dan konsep "reward & punishment" (anugerah dan hukuman). Malah beliau adalah seorang pemikir dan pengkritik masyarakat yang sangat tajam.

Dalam filem "Ali Baba Bujang Lapok" (1960), penyamun yang membawa balik banyak rampasan diberi bonus. Yang membawa balik sedikit rampasan atas alasan cuti umum dikenakan potongan gaji. Setiap barang yang disamun disimpan di dalam gua dan dihitung.


Kalau ditakdirkan P Ramlee menjadi Perdana Menteri atau Menteri Kewangan atau kedua-duanya sekali, rasa-rasanya belanjawan negara lebih mantap, seimbang (balanced) dan kakitangan awam diberikan ganjaran mengikut produktiviti bukan mengikut musim pilihan raya.

Bertitik-tolak daripada logik P Ramlee itu maka ahli Dewan Undangan Selangor, termasuklah dari pembangkang Barisan Nasional berhak menerima "bonus" dalam bentuk kenaikan gaji, elaun dan kemudahan. Cuma yang menjadi pertikaian adalah nisbah kenaikan.

Hatta Anwar Ibrahim, boss Abdul Khalid Ibrahim pun berasa kuantum yang Abdul Khalid cadangkan itu terlalu tinggi.

Sejak menjadi Menteri Besar Selangor pada tahun 2008, Abdul Khalid telah membina dan menambah rizab kewangan kerajaan Selangor.

Baru-baru ini, Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor meluluskan kenaikan gaji bagi semua 56 ADUN bermula tahun depan, dengan Timbalan Speaker mendapat kuantum kenaikan tertinggi, iaitu 373.3 peratus.

Gaji MB naik daripada RM14,175.15 sebulan kepada RM29,250, Exco daripada RM6,109.29 kepada RM20,250, Speaker daripada RM6,109.29 kepada RM22,500, Timbalan Speaker daripada RM3,327.50 kepada RM15,750 dan ADUN biasa daripada RM6,000 kepada RM11,250. Ada 44 ADUN PR dan 12 BN dalam DUN Selangor.

Berpandukan kepada kebijaksanaan yang sama oleh P Ramlee maka Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Mohd Najib Abdul Razak wajib dikenakan potongan gaji kerana sejak beliau mengambil alih pemerintahan negara pada 2009, kewangan kerajaan pusat semakin buruk.

Walaupun gaji beliau nampak kecil tetapi beliau menikmati pelbagai elaun, kemudahan dan keistimewaan.

Kita boleh memahami mengapa ahli Exco dan ADUN Selangor boleh diberikan kenaikan gaji, elaun dan kemudahan yang besar.

Pertama, Selangor sebagai sebuah negeri kaya dan kukuh kedudukan kewangan mampu berbuat demikian.
  
Kedua, kalau dua negeri BN yang miskin (Sarawak dan Kedah) boleh buat, mengapa tidak negeri PR yang kaya.

Tetapi alasan ketiga ini rasanya lebih tepat. Abdul Khalid sebagai "lulusan" sekolah politik dan pentadbiran Umno/BN, tahu punca kelemahan pengurusan kewangan Kerajaan Umno/BN. Beliau belajar daripada pengalaman itu dan melakukan sebaliknya bagi memperbaiki kedudukan kewangan Selangor.

Bagaimanapun, Abdul Khalid nampaknya masih terbawa-bawa dengan kemewahan yang dinikmatinya ketika dalam Umno dengan memberikan kenaikan gaji yang dianggap melampau oleh banyak pihak.

Dalam banyak hal, Abdul Khalid masih Umno. Cuma dalam Umno, beliau tidak begitu berjaya di arena politik. Beliau lebih berjaya sebagai ahli perniagaan kerana keakraban luar biasanya dengan Pengerusi PNB ketika itu, Allahyarham (Tun) Ismail Mohd Ali sehingga "diserahkan" Kumpulan Guthrie dalam nyiru perak (on a silver platter).

Selangor Berhak, Pusat Tidak

Walaupun media arus perdana dan blogger pro-pemerintah serta beberapa kerat pembesar BN mengkritik tindakan kerajaan Selangor itu, saya rasa dalam hati berlainan.

Kalau boleh, negeri-negeri BN dan kerajaan pusat pun hendak melaksanakan kenaikan gaji, elaun dan kemudahan.

Cuma kerajaan pusat tidak mempunyai kemampuan kewangan dan banyak negeri BN mengalami defisit belanjawan yang kronik.

Itu pun belum tahu. Mereka boleh mencipta pelbagai alasan untuk menaikkan gaji. Wakil rakyat pembangkang yang dapat tumpang sekaki pun tentu tidak memprotes.

Cuma yang mereka mungkin tidak berani sebut sebagai alasan adalah inflasi dan kenaikan harga sebab selama ini mereka menafikan bahawa kadar inflasi dan kenaikan harga barang dan perkhidmatan sangat membebankan rakyat jelata.

Cadangan saya kepada Perdana Menteri dan para politikus yang sentiasa melaungkan slogan rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan supaya “walk the talk”. Kotakan kata-kata anda.

Caranya mudah saja. Dahulukan rakyat dalam perbelanjaan negara. Jangan suruh rakyat jimat duit sendiri tetapi mereka boros duit negara. Utamakan pencapaian dengan mengurangkan pemborosan, pembaziran dan bermewah-mewah. Kukuhkan kewangan kerajaan dan tambah rizab negara.

Lakukan semua itu dahulu sebelum rakyat jelata dan pembayar cukai dituduh tidak patriotik dan sebelum mereka dipujuk dan dirayu agar menerima GST sebagai "penawar" kewangan negara.

Lakukan Transformasi atau Berhenti

Seperti P Ramlee (selaku ketua penyamun dalam filem Ali Baba Bujang Lapok) memotong gaji penyamun yang tidak "perform" maka saya cadangkan supaya gaji anggota Kabinet dipotong.

Ketika negara dilanda krisis ekonomi pertama pada pertengahan tahun 1980-an, gaji ahli Kabinet, pegawai kanan pentadbiran awam dan pengurusan atasan GLC dipotong.

Hatta sektor swasta pun turut mengurangkan gaji pengurusan kanan mereka dan membantu mengurangkan beban negara dengan mewujudkan skim graduan menganggur.

Bezanya pada waktu itu yang jadi Menteri Kewangan adalah (Tun) Daim Zainuddin yang dituduh kedekut oleh banyak pihak. Dia kedekut sebab itu bukan duit dia. Tapi selepas itu, buruk atau baik prestasi kewangan dan ekonomi negara, gaji tidak dipotong malah terus naik.

Kesimpulannya, gaji, elaun dan kemudahan anggota Kabinet dan Exco negeri, ahli Parlimen dan DUN boleh dinaikkan jikalau ada kenaikan produktiviti serta kemampuan kewangan. Cuma kuantumnya hendaklah berpatutan.

Mana-mana menteri dan ahli Exco yang tidak perform, malas, tidak boleh bangun pagi atau asyik hendak berkepit dengan bini, silalah lakukan transformasi atau berhenti!

Sumber: A Kadir Jasin.

2 comments:

  1. Ini hal tarif elektrik..

    Setiap solat jumaat kita doakan selamatkan kami dari kefakiran dan kekufukuran. Sah le fakir boleh membawa kepada kufur.

    Tapi ketidak prihatinan kerajaan macam nak biarkan ramai rakyat jadi fakir je.

    ReplyDelete
  2. Jom naikkan harga minyak....
    Jom naikkan harga gula....
    Jom naikkan bil elektrik....
    Lepas ni semuanya akan naik termasuk darah aku pun naik sekali....
    Ni punahsihat mana yg nasihat suruh kurangkan subsidi semata2 nak naikkan brim....

    ReplyDelete

Blog Archive