Feel free to email us at panehmiang@gmail.com.

Thursday, June 24, 2010

Akta 668

Melihat kepada kebejatan pimpinan belia yang kebanyakan kelabu asap tentang Akta 668, Pak Sedaro ambil bahagian ini untuk bantu mengupas perkara-perkara yang dierti sebagai WAJIB TAHU dalam Akta 668 oleh barisan pemimpin pertubuhan belia di peringkat Kebangsaan, Negeri, Kawasan@Daerah mahu pun Cawangan.

Jika dilonggok 100 orang yang diberi taraf pemimpin persatuan belia, maka, 90% merupakan pemimpin buta Akta dan pekak Akta. Ada dalam kalangan mereka tidak langsung kenal Perlembagaan pertubuhan belia atau persatuan belia masing-masing, apalagi kenal apa itu Akta 668 atau Akta 335 atau Perlembagaan Persekutuan 1957.

Sama ada mereka tidak ambil peduli atau terlebih tahu, sehingga apabila perwakilan dan ahli belia biasa, mula mempertikai kedudukan mereka dan hak-hak keahlian, maka, lintang-pukang membaca dan analisa perlembagaan.

Akta 668 mula dibahas di Parlimen pada Jun 2006, kemudian dibentang kali kedua pada Mei 2007. Akta ini telah menerima persetujuan Di Raja pada 18 Julai 2007 dan diwarta pada 26 Julai 2007. Seksyen 1 memberi tafsiran Akta 668 ialah Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007. Akta ini mula dibayangkan pengwujudannya pada tahun 1996 lagi, sebab itulah pada tahun 1997, Gerakan Belia 4B Malaysia telah meminda Perlembagaan 4B dengan memasuk klausa@fasal Naib Pengerusi Remaja di peringkat Kebangsaan, Negeri, Kawasan dan Cawangan. Gerakan Belia 4B Malaysia ialah pertubuhan belia pertama yang kordinasi bayangan tersebut.

Akta 668 di dalam Seksyen 2 memberi tafsiran penuh tentang aktiviti belia. Antara lain membina peribadi belia; meningkat kesetianegaraan di kalangan belia; menyebar prinsip-prinsip Rukunegara hingga (h). Belia dierti sebagai seseorang yang berumur tidak kurang daripada 15 tahun dan tidak lebih daripada 40 tahun. Pertubuhan belia dierti (a) mempunyai nama yang mengandungi perkataan "belia", (b) keanggotaannya memenuhi piawai tafsiran definisi belia dan (c) menjalan objektif aktiviti belia.

Kewujudan Akta 668 bukan sahaja dimula sejak 10 tahun lalu, malah sejak Presiden MBM Saifudin Abdullah beberapa gerakan telah dimulakan. Berbekal mandat dan semangat Perkara 10 (1) (a), (b) dan (c) dalam Perlembagaan Persekutuan iaitulah Hak Berhimpun, Hak Mengeluar Pendapat dan Hak Menubuh Persatuan, maka, terzahirlah Akta 668. Di tambah dengan keperluan bahawa Akta 335 iaitu Akta Pertubuhan 1966 begitu longgar sifatnya. Semua jenis NGO baik parti siasah, Alumni Sekolah, Kebajikan, Pertubuhan Sukarela, Interest Group sebagainya didaftar dengan peruntukan Akta 335. Ini tidak memberi hak eksklusiviti kepada pergerakan belia Malaysia.

Kewujudan Akta 668 secara langsung memberi petanda bahawa pergerakan belia merupakan elemen terpenting kepada kemodenan dan pertumbuhan sosial dan ekonomi Negara. Akta 668 mencerminkan bahawa belia mempunyai kelas tertentu dalam masyarakat. Akta 668 secara langsung menafikan pandangan meleset masyarakat yang menghukum belia sebagai warga kelas KETIGA.

Akta 668 mempunyai resepi yang diangkat khas oleh Kerajaan Malaysia. Oleh yang demikian, Subseksyen 7 (1), (2) a. b., (3) dan (4) amat terkesan kepada sistem pendaftarannya. Persekutuan Pengakap Malaysia, Pandu Puteri, St. John Ambulance, Bulan Sabit Merah Malaysia, terkeluar daripada Akta 668, kerana mereka tertubuh berasas Akta Parlimen dan mempunyai Badan Peringkat Antarabangsa.

Seksyen 12 secara jelas memberi ingatan kepada pemimpin belia yang tamak dan gila kuasa. Seorang ketua pertubuhan belia hanya boleh memegang jawatan tidak melebihi 6 tahun berterusan. Seksyen 18 melarang tindakan sesuka hati pemimpin belia mewujudkan cawangan. Tidak seperti dulu, ramai pemimpin belia "ikut suka aku" buat persatuan, ibarat cendawan tumbuh, apalagi bila musim pemilihan tahun tersebut. Sanggup pemimpin dulu, melacur soal integriti dan perjuangan mulia belia, hanya untuk memastikan dia masih berkuasa dan mampu meratah segala kekayaan daripada persatuan belia.

Seksyen 31 merupakan perkara paling penting dalam semua rangkaian WAJIB TAHU. Inilah subjek yang diangkat daripada Subseksyen 2a dalam Akta 335. Subsekyen 31 (a) hingga (e) merupakan implikasi langsung kepada Perlembagaan Persekutuan. Kiranya disumbang seleweng oleh pimpinan belia, maka mereka telah mencabar Perlembagaan Persekutuan, mengikut Perkara 32, Perkara 38, Perkara 3, Perkara 152, Perkara 153, Perkara 160 (2). Pemimpin belia WAJIB TAHU nilai dan erti Perkara 14 dan Perkara 15 kiranya, masih wujud sikap bobrok kaum-kaum lain. Implikasi menafikan Seksyen 31 ini amat pedih dan dalam. Sehingga Perkara 4, 5 hingga 13 turut terlacur dek kekufuran pemimpin BELIA yang leka, leweh, lalai dan lengai.

Sedarlah bahawa Akta 668 ialah penebat terbaik kepada perundangan pergerakan belia Malaysia. Akta 668 memberi justifikasi dan petunjuk yang cukup JELAS tentang haluan dan survival belia. Akta 668 harus boleh dijadikan ASET kepada pemimpin belia yang fikir tentang perjuangan dan perjalanan belia moden serta sofistikated.

Kerangka Akta 668 memberi jawapan kepada kemelut dan polemik kepemimpinan. Namun kiranya Akta 668 hanya terdampar sepi tanpa kupasan ilmu kepemimpinan belia yang betul dan tepat, ia hanya sebuah novel perundangan di kamar Undang-undang sahaja. Hanya laku di meja Mesyuarat Agung Tahunan dan bilik-bilik peguam tertentu.

Akta 668 mesti dikupas secara bersama dengan Perlembagaan Persekutuan, sejarah kepimpinan belia dan semangat yang ada dalam Akta ini. 668 ialah angka yang boleh dimungkiri oleh pemimpin belia bersikap komunis. 668 juga ialah angka yang boleh menjanji kepesatan dan kemakmuran oleh pemimpin belia bersikap nasionalis, patriotik dan reformis dalam DEMOKRASI BELIA MALAYSIA.

Kepada pemimpin belia yang masih BEBAL, BINGAI, BEGA DAN DUNGU, carilah guru mengaji Akta 668, Akta 335, Perlembagaan Persekutuan 1957 dan perlembagaan persatuan sendiri.

2 comments:

  1. salam saudara..
    macam tu kisahnya
    akta 668..saya sibuk
    berkisah akta 663
    tentang JMB pun menyusahkan
    penduduk rumah bertingkat
    nak urus sendiri kebajikan
    mereka ..kerajaan lepas tangan
    langsung..yang untung developer

    ReplyDelete
  2. salam beb,
    ini cerita belia, aku tak cakap apa2.. aku ni veteran kalau cita veteran boleh la.. aku baca.. bye

    ReplyDelete

Blog Archive