Musa bin Nusair adalah wakil Khalifah Walid bin Abdul Malik yang memerintah antara tahun 705M hingga 715M (86 – 96 Hijrah) daripada kerajaan Bani Umaiyah. Musa bin Nusair mempunyai seorang hamba suruhan yang dibelanya sejak kecil yang turut menjadi anak muridnya daripada keturunan Barber Afrika. Keturunan Barber terkenal dengan keberanian dan kegagahan mereka. Hamba suruhan Musa bin Nusair itu ialah Tariq bin Ziyad yang dilahirkan pada 670M (75 Hijrah) dan meninggal dunia pada 720M (125 Hijrah).
Semasa dalam perjalanan ke Andalusia bersama angkatan tenteranya yang dibawa dengan 12 buah kapal perang, Tariq bin Ziyad telah terlena dan bermimpi bertemu dengan Rasulullah S.A.W. Dalam mimpinya beliau melihat Rasulullah S.A.W. bersama angkatan tentera Muhajirin dan Ansar memasuki kota Andalusia. Maka sebaik sahaja terjaga, beliau tersenyum kerana yakin mimpinya menandakan Allah S.W.T. akan berpihak kepada mereka dalam cubaan menakluk Andalusia. Ini menyebabkan beliau dan angkatan tenteranya lebih bersemangat untuk berjuang menegakkan syiar Islam.
Tariq bin Ziyad kemudiannya telah dimerdekakan oleh Musa bin Nusair, seterusnya mengangkat taraf Tariq bin Ziyad sehingga menjadi panglima angkatan tentera kerana kebijaksanaan dan kegagahannya. Pada asalnya Tariq bin Ziyad dilantik untuk mengetuai angkatan tentera peninjau seramai 12 ke 17 ribu orang di Andalusia. Namun akibat serangan bertubi-tubi tentera musuh, maka Tariq bin Ziyad terpaksa mengambil keputusan untuk berperang bagi mempertahankan diri.
Angkatan perang Tariq bin Ziyad kemudian meneruskan perjalanan dan berlabuh di sebuah bukit yang terletak di kawasan selat Andalusia yang kemudiannya digelar Jabal Tariq yang dinamakan bersempena nama beliau. Bukit itu pada hari ini dikenali sebagai Jibraltar dan Selat Jibraltar yang mengelilinginya telah menjadi laluan kapal yang popular di Sepanyol. Di bukit inilah tempat pertama angkatan perang Islam seramai 12-17 ribu orang dari Afrika utara berkumpul dan berperang dengan angkatan tentera musuh.
Andalusia pada masa itu diperintah oleh seorang raja yang beragama Kristian iaitu King Roderick dari keturunan Gotic yang kejam dan sering menindas rakyatnya. Beliau sering menjadikan wanita-wanita cantik sebagai pemuas nafsunya tidak kira anak atau isteri orang. Di suatu ketika, King Roderick pernah menculik dan merogol anak dara salah seorang Gabenornya sendiri. Rakyat juga dipaksa membayar cukai yang tinggi dan akan diseksa serta dibunuh jika engkar akan perintahnya. Atas alasan inilah kerajaan Islam telah menghantar tenteranya demi membenteras kemungkaran dan menegakkan keadilan di bumi Andalusia.
No comments:
Post a Comment