Feel free to email us at panehmiang@gmail.com.

Monday, February 14, 2011

Abang sanggup ke jahit baju sendiri?

Akhlak serta cara pergaulan Rasulullah SAW bersama ahli keluarganya perlu kita contohi kerana sebuah masyarakat Islam cemerlang yang bercirikan moral dan sifat kerohanian yang utuh tidak akan berlaku jika sistem kekeluargaan tidak kukuh. Rasulullah telah menunjukkan sendiri bagaimana untuk mengukuhkan sistem kekeluargaan. Semoga dengan demikian, kita akan dapat mencontohi baginda, dan berjaya membina keluarga bahagia.

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari yang berbunyi: Yang maksudnya: Aisyah r.a. pernah ditanya seorang lelaki yang bernama Aswad tentang apa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW ketika dalam rumahnya? Maka Aisyah menjawab: "Rasulullah SAW sentiasa membantu ahli keluarganya dalam kerja rumah. Dan apabila sudah tiba masuk waktu solat, baginda keluar untuk solat."

Dalam sebuah hadith yang lain, yang diriwayatkan oleh Imam Tirmizi dalam kitabnya Asy-Syamail, Aisyah r.a. berkata: Yang maksudnya: "Rasulullah SAW itu adalah seorang manusia, baginda menjahit sendiri bajunya, memerah sendiri susu dari kambingnya, dan melakukan sendiri perkara yang diingininya."

Imam Ahmad pula meriwayatkan dari Aisyah r.a, Yang maksudnya : "Rasulullah SAW menjahit sendiri bajunya, memperbaiki sendiri sepatunya, dan buat seperti apa yang dibuat oleh lelaki lain di rumah mereka.

Hadith-hadith ini cukup jelas menggambarkan keperibadian Rasulullah SAW ketika bersama dengan ahli keluarganya.

Pertama sekali, baginda tidak memerintahkan isteri atau khadamnya melakukan sesuatu yang boleh dilakukan dengan sendiri. Malah, baginda membantu isterinya dalam menguruskan rumahtangganya. Baginda faham akan maksud ketua rumatangga yang sebenar. Baginda menunjukkan contoh. Baginda membantu dalam urusan rumahtangga. Baginda mendidik anak dan isteri dengan penuh kemesraan dan kebijaksanaan..

Lihatlah bagaimana Rasulullah s.a.w menunjukkan akhlak yang sangat mulia. Kewujudan Rasulullah SAW bukan setakat untuk beristirehat dan bermesra dengan ahli keluarganya sahaja. Bahkan, kewujudan baginda di rumahnya adalah juga untuk membantu isterinya menguruskan rumah tersebut. Ini baginda lakukan walaupun baginda mempunyai banyak tugas di luar rumah. Baginda adalah seorang pendakwah, guru, imam solat, ketua negara, kaunselor, panglima perang dan berbagai lagi tugas. Tetapi kesibukan di luar tidak menghalang baginda dari membantu isterinya dalam menguruskan rumahtangganya. Begitu juga, pangkat dan keududukan baginda sebagai ketua umat Islam, ketua negara dan penghulu segala nabi dan rasul, tidak menyebabkan baginda rasa malu untuk membuat kerja-kerja rumah. Kepenatan akibat urusan yang banyak di luar rumah tidak juga menghalang baginda dari membantu tugas-tugas di rumah.

Inilah dia sikap seorang ketua. Ketua di luar rumah, dan ketua di dalam rumah. Baginda Rasulullah s.a.w menunjukkan bahawa bukanlah seorang ketua rumahtangga atau ketua sebuah kaum, yang tugasnya hanya memerintah sahaja. Tetapi seorang ketua adalah orang yang berkhidmat untuk orang lain. Dan ini telah dinyatakan oleh Rasulullah SAW dalam hadith baginda yang diriwayatkan oleh Ad-Dailami, yang bermaksud: “Ketua sebuah kaum adalah yang sentiasa berkhidmat untuk mereka.”

Sebahagian dari umat Islam mempunyai salah tanggap bahawa adalah tugas isteri untuk menguruskan rumahtangga. Dan tugas suami adalah mencari nafkah sahaja, tanpa perlu menghiraukan urusan rumahtangga. Tanggapan sedemikian tidak bertepatan dengan apa yang diajar oleh Rasulullah s.a.w. Memanglah tugas utama isteri adalah menguruskan rumahnya, suaminya dan anaknya. Tetapi ini tidak bermakna si suami tidak perlu membantunya.

Rasulullah SAW telah menunjukkan kepada kita, bahawa walaupun baginda begitu sibuk dengan urusan di luar rumah, walaupun baginda mempunyai kedudukan yang sangat mulia dan paling tinggi di kalangan manusia, baginda tetap meringankan tangan membantu isterinya. Kita perlu mencontohi akhlak dan keperibadian baginda tersebut. Sesibuk-sibuk kita, tidaklah seperti sibuknya Rasulullah SAW. Setinggi-tinggi pangkat kita di tempat kerja, tidaklah setinggi pangkat dan darjat Rasulullah SAW. Maka apakah yang menghalang kita dari membantu meringankan tugas dan urusan isteri kita di rumah?

Sebenarnya, Rasulullah SAW dalam membantu isterinya di rumah, menunjukkan kepada kita salah satu cara membina keluarga bahagia. Dengan membantu isteri di rumah, perasaan cinta dan sayang isteri tersebut kepada suaminya semakin bertambah. Begitu juga perasaan hormat kepada suami akan meningkat. Suami boleh membantu isteri dalam urusan-urusan ringan seperti membersihkan rumah, mengemas katil, menjemur kain, mencuci lantai, membeli barang dapur dan sebagainya.

Tugas-tugas seperti itu tidak mengurangkan sedikitpun kelakiannya atau martabatnya sebagai ketua rumahtangga. Bahkan, ia menunjukkan bahawa dia faham tentang konsep ketua rumahtangga. Hanya orang-orang yang tidak tahu mengenai cara Rasulullah SAW melayani keluarganya sahaja yang menganggap perbuatan seperti itu tidak tepat dengan Islam. Tetapi dalam masa yang sama, setiap pasangan suami dan isteri perlu tahu tugas utama masing-masing. Tugas utama isteri adalah menguruskan rumahtangga, dan tugas utama suami adalah mencari nafkah bagi keluarga.

Marilah kita mencontohi Rasulullah SAW. Baginda diutuskan oleh Allah SWT bukan sahaja untuk membawa risalah Islam, tetapi baginda juga berperanan menjadi contoh bagi umat Islam dan manusia secara umum. Semgoa dengan mencontohi baginda, kita akan menjadi masyarakat yang cemerlang, yang sentiasa mengharapkan rahmat Allah s.w.t, dan banyak mengingatinya. Allah s.w.t berfirman dalam surah Al-Ahzab, ayat 21:

Maksudnya: “Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.”

~dipetik dari tulisan saudari Rosniza Ismail~

5 comments:

  1. Sapa nak jawab ni, sanggup ke?

    ReplyDelete
  2. Sanggup ke Najib melakukannya? Tetapi kerja dia banyak diberikannya kepada isterinya.

    ReplyDelete
  3. Sanggup ke Najib melakukannya? Tetapi kerja dia banyak diberikannya kepada isterinya.

    ReplyDelete
  4. Sanggup ke Najib melakukannya? Tetapi kerja dia banyak diberikannya kepada isterinya.

    ReplyDelete
  5. Sanggup ke Najib melakukannya? Tetapi kerja dia banyak diberikannya kepada isterinya.

    ReplyDelete

Blog Archive