Feel free to email us at panehmiang@gmail.com.

Saturday, June 23, 2012

Suku mu...bukan suku ku!

Bulat anak buah menjadikan Buapak
Bulat Buapak menjadikan Lembaga
Bulat Lembaga menjadikan Penghulu
Bulat Penghulu menjadi Raja.

Raja beralam
Penghulu berluak
Lembaga berlingkungan
Buapak beranak buah
Anak buah duduk bersuku-suku
Berapa sukunya?
Dua Belas!

Suku Biduanda (dondo)
Batu Hampar (Tompar)
Paya Kumbuh (Payo Kumboh)
Mungkal
Tiga Nenek
Seri Melenggang (Somolenggang)
Seri Lemak (Solomak)
Batu Belang
Tanah Datar
Anak Acheh
Anak Melaka
Tiga Batu

Biar mati anak jangan mati adat
Tak lekang dek panas
Tak lapok dek hujan
Dianjak layu dicabut mati.

5 prinsip utama Adat Pepatih yang perlu diketahui

1. Keturunan dituruti melalui nasab ibunya. Maka generasi yang lahir akan mengikut suku ibu masing-masing, yakni pembawaan suku ibunya.

2. Kediaman adalah dikawasan ibu isterinya. Apabila seorang lelaki menikahi seorang perempuan, maka ia akan tinggal di kawasan ibu isterinya dan lelaki itu dikenali sebagai 'semenda'. Biasanya, si lelaki ini akan mengusahakan tanah si isteri untuk keperluan hidup keluarganya.

3. Perempuan mewarisi pusaka dan saka disandang lelaki yang membawa maksud, orang perempuan akan mewarisi segala harta pusaka, contohnya tanah adat. Harta pusaka dan beberapa harta yang telah dipersetujui akan diwariskan kepada kaum perempuan, manakala  kaum lelaki akan menyandang saka iaitu menyandang jawatan-jawatan tertentu dalam adat.

4. Sesuatu perkahwinan harus berbeza Perut atau Suku kerana perkahwinan sesama Perut atau Suku adalah dilarang. Jika masih diteruskan perkahwinan sesama Perut atau Suku, maka hak untuk mewarisi pusaka daripada ibu akan hilang bagi perempuan, dan kaum lelaki pula akan hilang hak dalam menyandang jawatan adat.

5. Orang luar daripada Adat Pepatih boleh menjadi ahli dalam sesuatu suku. Kebiasaannya, waris yang mewarisi boleh memberi kebenaran kepada orang luar untuk menjadi ahli sesuatu suku dengan syarat, perlu melalui satu upacara yang dinamakan berkedim. Kaedahnya ialah, seseorang itu perlu bersumpah taat setia dan bersaudara dengan ahli-ahli suku yang akan disertainya.

7 comments:

  1. ADAT YG TAK ISLAMIK...

    ReplyDelete
  2. Tahukah saudara/i, bahawa pembawa Adat Perpatih di tahun 1773 inilah yang membuka dan membina syiar Islam ke alam Melayu di Negeri Sembilan. Tahukah saudara/i, bahawa Adat Perpatih dan Amalan Persukuanlah atau dalam bahasa ilmunya "Assobiyah" menurut Sheikh Mohammad Ar-Rashid berasaskan kajian mendalamnya "Funan Al-Tajmik", yang akhirnya dibahaskan dengan panjang lebar dalam banyak sidang ILMU Islam sejak 1947 hingga 2001. Saudara/i yang dengkel kajian Adat, jangan berhujah secara "BUTA MATA, BUTA HATI, BUTA AKAL, BUTA NAHU, BUTA FALSAFAH TAMADUN, BUTA SEJARAH BANGSA, BUTA AMAL, BUTA ADAB DAN BUTA AKHLAK". Inilah perjalanan Alam Melayu yang kaya Adab, Adat, Akhlak dan Akal. Andai saudara/i bukan seorang Melayu, kita faham. Namun, andai saudara/i seorang Melayu, maka, amat kecewa dan sedihlah pandangan seorang ayah dan ibu yang melahirkan saudara. Fahamilah bahawa Allah telah takdirkan juga insan kekasihnya lahir dari Suku Quraisy keturunan Bani Hashim. Inilah tanda kebenaran pesanan Pendeta Zainal Abidin Ahmad, bahawa Melayu itu Miskin Asuhan, Miskin Perangai, Miskin Hayat dan Roh serta Miskin Wang Ringgit, dirakam daripada penulisanya bertarikh 16 Mac 1927 dalam makalah Al-Ikhwan.

    ReplyDelete
  3. banggo jadi waghih Batu Hampar...

    ReplyDelete
  4. anon mangkuk 3:04 terus kena sedas...tahniah anon mangkuk

    ReplyDelete
  5. Adat basandi syarak...syarak basandi kitabullah...

    ReplyDelete
  6. Adat perpatih itu indah & mampu relevan berterusan kerana ia bersifat fleksibel.

    Adat bersendi hukum, hukum bersendi kitabullah.
    Hidup hidup kerana muafakat, alah adat dek muafakat.

    Jelas, jika ada diantara adat yang bercanggah dengan syariat, harus adat itu ditambahbaik atau disesuaikan ikut keadaan & perubahan zaman.

    Artinya adat itu hakikatnya tidaklah statik sebagaimana difahami sebahgian pengamal adat ini yang mengikutinya secara ikut-ikutan tanpa kajian mendalam.

    ReplyDelete

Blog Archive