Feel free to email us at panehmiang@gmail.com.

Wednesday, November 5, 2008

Baik dan Buruk..

Krisis subprima yang melanda dunia sejak 2007 telah menyebabkan fokus dunia kini bertumpu ke Amerika Syarikat untuk melihat bagaimana mereka menangani krisis kewangan yang dihadapi. Lehman Brothers sebuah syarikat kewangan global yang berusia 158 tahun telah merekodkan sejarah tersendiri dengan nilai hutang tertinggi pernah dicatatkan iaitu sebanyak USD613 billion. Pada 15 September lalu pengurusan syarikat itu telah mengemukakan petisyen kebankrapan di Mahkamah Kebankrapan Amerika Syarikat. Hal ini menyebabkan Nomura Holdings Inc. telah mengambil alih francais Lehman Brothers yang terdapat di Asia Pasifik termasuk di Jepun dan Australia. Antara syarikat besar yang turut bermasalah ialah Goldman Sachs yang telah menerima suntikan dana USD250 billion dari kerajaan Amerika Syarikat serta American International Group (AIG) yang terpaksa membuat pinjaman berjumlah USD37.8 billion daripada Bank Rezab Persekutuan New York.

Kini kerajaan Amerika Syarikat terpaksa membuat pinjaman USD3 billion sehari kerana kadar simpanan penduduk negara itu adalah negatif. Sebenarnya kaedah bailout yang digunakan oleh Amerika Syarikat ini sudahpun diaplikasikan di Malaysia yang masih dilabel oleh barat sebagai negara membangun kelas ketiga. Krisis kewangan 1997 telah membuka mata dunia bagaimana Malaysia menggunakan pendekatan tersendiri berdasarkan ideologi Tun Dr. Mahathir Mohamad yang dahulunya dikritik hebat oleh Amerika Syarikat dan sekutunya. Kini idea Malaysia dicedok sebagai salah satu alternatif penyelamat kepada syarikat-syarikat besar barat yang hampir muflis.

Kegagalan menangani krisis dengan baik oleh Amerika Syarikat dan Eropah telah menampakkan kelemahan dan kekurangan sistem konvensional berbanding sistem kewangan Islam. Krisis ini memperlihatkan sistem kewangan Islam adalah yang terbaik bagi semua negara. Kepercayaan dunia kepada sistem kewangan Islam kini telah menyebabkan aset kewangan Islam global telah mencecah lebih USD1 trillion dan berkembang pada kadar purata sebanyak 15 peratus. Kewangan global mula memberi fokus kepada sistem kewangan Islam berbanding konvensional. Penganalisis ekonomi juga telah menganggarkan bahawa sektor kewangan Islam akan memainkan peranan penting dalam kewangan global pada dekad akan datang.

Sehingga kini setelah 25 tahun Bank Islam Malaysia Berhad ditubuhkan, Malaysia telah menyaksikan kewujudan 11 buah bank yang menjalankan operasi perbankan syariah sepenuhnya termasuk tiga buah bank asing iaitu Al Rajhi Banking & Investment Corporation (M) Berhad yang berpengkalan di Arab Saudi, Asian Finance Bank Berhad di Qatar dan Kuwait Finance House (M) Berhad yang berpengkalan di Kuwait. Antara bank tempatan yang turut mengamalkan sistem kewangan Islam iaitu Affin Islamic Bank Berhad, AmIslamic Bank Berhad, Bank Islam Malaysia Berhad, Bank Muamalat, CIMB Islamic Bank Berhad, Hong Leong Islamic Bank Berhad, EONCAP Islamic Bank Berhad dan RHB Islamic Bank Berhad. Sejak 1997 juga Bank Rakyat telah menjadi Institusi Kewangan Pembangunan yang pertama menjalankan operasi perbankan syariah sepenuhnya. Viva Malaysia.

3 comments:

Blog Archive