Feel free to email us at panehmiang@gmail.com.

Tuesday, November 11, 2008

Kenapa Cina?

1. Bila sebut Cina maka komuniti lain di Malaysia akan menggambarkan sekumpulan peniaga dan usahawan yang turut diperkukuhkan oleh interpretasi media, pendidikan dan politik.

2. Pembinaan identiti sedemikian didorong oleh beberapa faktor dan antaranya ialah sejarah berdasarkan kejayaan mereka membina empayar perniagaan disebalik status orang Cina sebagai imigran di Tanah Melayu.

3. Selain faktor sejarah, ekonomi orang Cina tidak dapat dipisahkan daripada pelbagai aktiviti perniagaan yang bermula dengan industri perlombongan, getah dan seterusnya kewangan melalui penubuhan Kwong Yik Banking Company Corporation Limited of Selangor pada 1913 iaitu antara bank terawal di Tanah Melayu yang diusahakan oleh bangsa bukan Eropah.

4. Penglibatan usahawan Cina tidak terhad kepada perniagaan berskala besar tetapi turut merangkumi industri kecil dan sederhana (IKS). Buktinya pada 1990, sebanyak 60% organisasi IKS dimiliki oleh orang Cina dan Laporan Pemilikan Ekuiti pada 2004 menunjukkan bahawa komuniti Cina memiliki 39% modal saham pada nilai par Malaysia.

5. Sifat usahawan dalam sistem sosiobudaya orang Cina harus dikaji kerana ia merupakan faktor yang menyebabkan keseluruhan komuniti Cina di Malaysia dilihat sebagai usahawan.

6. B.W. Andaya dan L.Y. Andaya dalam buku mereka A History of Malaya mengatakan sifat utama yang dimiliki oleh orang Cina ialah rajin dan sanggup berusaha untuk mencapai matlamat.

7. Budaya Cina juga dipengaruhi ajaran Kung Fu-Tze yang menjadikan kerajinan dan pembelajaran sebagai satu pegangan. Ajaran Kung Fu-Tze menyatakan semua orang dilahirkan sama dan yang membezakan mereka ialah pengalaman yang diperolehi melalui kerajinan untuk mempelajari sesuatu.

8. Kerajinan orang Cina dalam mempelajari sesuatu telah diterapkan sejak di bangku sekolah lagi dan disebabkan itu mereka begitu bersungguh mempertahankan SJKC yang telah menyemai budaya persaingan bermula di alam persekolahan berbanding sekolah aliran lain.

9. Orang Cina sangat percaya bahawa kejayaan pasti ditempa melalui kerajinan sehingga ada pepatah Cina menyebut ”tiang besi boleh diasah menjadi jarum selagi pengasahnya mempunyai keazaman dan kerajinan untuk berbuat demikian”.

10. Pengkaji budaya iaitu G. Hofstede menyatakan bahawa budaya Cina boleh diklasifikasikan kepada ciri budaya yang menggalakkan pengambilan risiko. Penghijrahan orang Cina ke Asia Tenggara didorong oleh desakan hidup hingga memaksa mereka untuk memilih cara hidup berisiko sebagai imigran dengan harapan dapat membina kehidupan yang lebih baik berbanding di tanah asal mereka.

11. Namun budaya orang Cina tidak pula bersifat membuta tuli kerana mereka lebih dikenali sebagai kaum yang pragmatik iaitu mengambil risiko setelah dibuat pertimbangan dan perkiraan yang sewajarnya.

12. Yen Ching-Hwang dalam bukunya The Ethnic Chinese in East and Southeast Asia telah mengambil contoh kejayaan keluarga Robert Kuok dalam perniagaan kerana sifat pragmatik mereka yang dilebur bersama ciri budaya usahawan Cina.

13. Pengetahuan dianggap sebagai satu aspek penting dalam menyemai budaya keusahawanan dalam komuniti Cina. Sama ada mereka berasal daripada keluarga peniaga atau tidak, mereka secara umumnya pernah bekerja sebagai XueTu (murid) dengan menempuh seberapa banyak latihan dan pengetahuan sebelum menguruskan perniagaan sedia ada atau menubuhkan perniagaan sendiri dengan jayanya.

14. Dua orang sarjana dalam bidang keusahawanan Cina iaitu Heng Pek Koon dan Yen Ching-Hwang berpendapat bahawa sistem sosial dan budaya orang Cina telah menyumbang kepada kejayaan komuniti Cina di Malaysia. Nilai budaya Cina seperti Zhong (taat) dan mengutamakan He (harmoni) telah membentuk asas jaringan perniagaan Cina kerana mereka lebih suka untuk saling membantu demi kebaikan bersama.

15. Jaringan perniagaan ini wujud sebagai persatuan yang asalnya berfungsi untuk menjaga kebajikan ahli, namun telah dipelbagaikan untuk menjadi sebuah jaringan perniagaan berdasarkan beberapa ciri persamaan yang dimiliki ahlinya.

16. Melalui aktiviti persatuan, GuanXi (hubungan) dijalin dan diperkukuhkan pula dengan XinYong (kepercayaan) memandangkan mereka adalah daripada kumpulan yang sama. Kekerapan perjumpaan sesama ahli dapat membesarkan jaringan sosial dan perniagaan serta mampu menjadi batu loncatan untuk mereka menembusi perniagaan antarabangsa.

17. Antara persatuan komuniti Cina yang wujud di Malaysia ialah Dewan Perniagaan dan Industri Cina Malaysia (ACCCIM), Xuelane Huaqiao Yaoye Gonghui (Kesatuan Perubatan Cina Selangor) dan Hujing Goldsmith Guild yang ditubuhkan sejak 1832 di Pulau Pinang. Semangat kolektif untuk mengatasi masalah secara bersama dijunjung oleh kesatuan sedemikian.

18. Berbeza dengan budaya usahawan Amerika Syarikat yang lebih bersikap individualistik, budaya usahawan Cina mempunyai kelebihan dari segi ketahanan kerana jaringan yang terbentuk pasti memberikan sokongan dan bantuan apabila keadaan memerlukan terutama dalam krisis ekonomi yang melanda dunia hari ini.

19. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda agar umatnya menuntut ilmu hingga ke China. Kini orang Melayu sudah ada rakan warganegara berbangsa Cina di depan mata dan tidak perlu lagi merantau jauh semata-mata untuk menuntut ilmu di negara China. Maka gunalah peluang yang ada ini dengan sebaiknya.

1 comment:

  1. Org melayu adalah penduduk yg teramai di malaysia,jadi kuasa membeli adalah tinggi dengan gaji yg mereka dpt dlm sektor kerajaan dan swasta..oleh itu org melayu mesti bijak menggunakan duit dan ada jihad ekonomi..HANYA beli saja di kedai yg dimiliki oleh org melayu atau pasar raya besar yg banyak mengajikan org melayu..ORG CINA KAYA KERANA ORG MELAYU DAN INDIA YG MENGKAYAKAN MEREKA..ORG CINA TIDAK MEMBELI DIKEDAI SELAIN DARI ORG CINA..LU FIKIRLAH SENDIRI

    ReplyDelete

Blog Archive