Feel free to email us at panehmiang@gmail.com.

Tuesday, November 25, 2008

Kelicikan Muhyiddin

Di sebalik wajah serius dan sikap pendiamnya, Muhyiddin sebenarnya punya kelebihan untuk menang jawatan Timbalan Presiden UMNO. Tiada siapa boleh menafikan kelebihannya selaku ahli parlimen, memegang portfolio Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta telah lama menjadi Naib Presiden UMNO. Jika dikaji, Muhyiddin sebenarnya mempunyai cita-cita politik yang tinggi. Sejarahnya menunjukkan dia seorang yang setia dengan parti, tetapi kesetiaannya kepada seseorang bergantung kepada faedah politik yang bakal diperolehinya.

Dua orang pesaing Muhyiddin dalam merebut jawatan Timbalan Presiden hanya berjaya mengesahkan kelayakan bertanding pada minggu-minggu terakhir mesyuarat bahagian UMNO. Bolehlah diibaratkan mereka berdua ini sebagai istilah cukup makan atau cukup syarat sahaja untuk bertanding. Ali Rustam dan Muhammad Taib awal-awal lagi telah dikempenkan hanya akan menyusahkan UMNO sekirang menang jawatan Timbalan Presiden kerana mereka bukan Ahli Parlimen. Dalam suasana politik negara yang tidak stabil ketika ini, UMNO pasti akan mengelak untuk mengadakan pilihanraya kecil sekiranya salah seorang daripada pesaing Muhyiddin itu menang jawatan Timbalan Presiden.

Muhyiddin sebenarnya adalah seorang ahli politik yang cekap berstrategi dan cepat menyambar peluang. Tentu semua masih ingat bagaimana ramai yang pernah beranggapan bahawa Paklah akan melantik Muhyiddin sebagai timbalannya semasa Paklah baru menjadi Perdana Menteri kerana Muhyiddin kelihatan seperti ‘masuk kem’ Paklah. Namun kemudiannya Muhyiddin kelihatan semakin tenggelam selepas hanya dilantik ke portfolio yang kurang glamour iaitu Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Muhyiddin hanya kembali popular selepas menjadi pemimpin kanan UMNO yang paling lantang mendesak Paklah untuk berundur selepas 1 April 2008 yang lalu. Muhyiddin kelihatan tidak mahu lagi dilabelkan sebagai kumpulan Paklah apabila sering mengeluarkan kenyataan yang senada dengan Ku Li dan Che Det mengenai Paklah.

Khabar angin yang kedengaran sebelum ini mengatakan Muhyiddin akan bergandingan dengan Ku Li untuk mencabar Paklah dan Najib, sedikit sebanyak telah menimbulkan rasa cemas di kalangan ahli UMNO. Kunjungan Muhyiddin bersama Ku Li ke rumah Che Det telah menguatkan lagi spekulasi tersebut. Jangkaan akar umbi bahawa krisis kepimpinan UMNO bakal berulang sebagaimana yang pernah berlaku pada 1987 telah menyebabkan banyak tekanan diberikan kepada Paklah untuk segera melepaskan jawatan. Inilah sebenarnya yang telah menyerlahkan kelicikan Muhyiddin dalam berpolitik. Dia secara tidak langsung telah memperolehi manfaat berdasarkan spekulasi dan khabar angin tersebut sehingga Paklah akhirnya akur dan bersetuju untuk mempercepatkan pelan peralihan kuasa. Namun Muhyiddin tidak pula menjadi ‘regu’ Ku Li untuk bertanding dua jawatan tertinggi UMNO itu tetapi beliau kini kelihatan telah beralih menjadi antara pemimpin yang kuat menyokong Najib.

Jika diamati akhir-akhir ini, Muhyiddin amat menjaga kelakuan dan tutur katanya apabila berbicara mengenai bakal Presiden UMNO yang baru. Walaupun mendapat pencalonan tertinggi untuk jawatan Timbalan Presiden, Muhyiddin sebenarnya amat memerlukan isyarat sokongan daripada Najib. Mungkin beliau tidak mahu kelihatan seperti orang yang tidak senada dengan bakal Presiden ataupun dianggap penentang oleh ahli-ahli UMNO. Mungkin juga Muhyiddin mengambil sikap berhati-hati kerana sedar akan tempoh berkempen yang agak panjang, mampu memberi peluang kepada dua pesaingnya untuk menyusun strategi. Maka dia harus kelihatan seperti orang yang disukai Najib agar mempunyai kelebihan untuk menjadi Timbalan Presiden UMNO.

Hakikatnya jika Muhyiddin berjaya menjadi Timbalan Presiden, maka dia sebenarnya akan menjadi individu paling beruntung sekiranya Najib menjadi Perdana Menteri. Isu peribadi Najib yang sering menjadi serangan lawan di dalam dan di luar parti pasti akan memberi kesan kepada bakal Presiden UMNO yang baru itu. Jika kejatuhan Paklah dikaitkan dengan isu kelemahan kepimpinan, Najib pula kini tidak putus-putus dengan isu berkaitan moral. Walaupun sekadar terpalit dengan persepsi negatif mengenai peribadi yang belum disahkan kebenarannya, namun ia sebenarnya mampu membunuh karier politik Najib. Maka tidak mustahil sekiranya Najib juga terpaksa berundur awal sebagaimana Paklah sekiranya isu-isu berkaitan peribadinya tidak ditangani dengan baik yang turut akan menjejaskan kredibilitinya. Jika ini berlaku, sudah tentu kesempatan akan diambil oleh Timbalan Presiden UMNO untuk menerajui parti dan siapa lagi jika bukan Muhyiddin.

Kini usia Muhyiddin sudah mencecah 61 tahun berbanding Najib yang baru sahaja berusia 55 tahun. Najib mungkin akan menjadi Perdana Menteri selama yang mungkin sekiranya mendapat sokongan berterusan daripada ahli-ahli UMNO. Pada 10 tahun akan datang usia Najib baru mencecah 65 tahun dan Muhyiddin ketika itu sudah pun berusia 71 tahun iaitu satu usia yang dianggap lewat sekiranya Muhyiddin masih berhasrat untuk menjadi Perdana Menteri. Persoalannya, berapa lama lagikah Muhyiddin dan penyokongnya sanggup menunggu untuk beliau menjadi Perdana Menteri? Tambahan pula calon-calon Naib Presiden ketika ini telah didominasi oleh orang-orang muda yang dilihat bakal menjadi pencabar kepada kedudukan Muhyiddin pada masa hadapan.

Mulai saat ini sehingga bulan Mac 2009, mungkin tiada siapa yang boleh meramal kejayaan Muhyiddin dalam misinya untuk menjadi Timbalan Presiden UMNO yang baru. Sama ada beliau berjaya atau tewas, yang pasti ketika ini ia telah menjadi tempoh yang amat mendebarkan bagi Muhyiddin serta para penyokongnya.

11 comments:

  1. Muhyidin memang layak jadi Timbalan Presiden UMNO bergandingan dengan Najib. Pada Ali Rustam dan Mat Taib... tak payah la susah-susahkan diri labur duit utk dptkan sokongan perwakilan. kalau dapat pun UMNO tak berapa umph krn sejarah telah membuktikan bahawa Ali dan Mat ni kurang idea yang bernas dan realistik jika dibandingkan dengan Muhyidin.Dah la dua-dua bukan ahli parlimen... kang tak pasal-pasal elok ada kerusi dun yang disandang tup-tup dapat kat pembankang.. tak ke naya namanya....kepada mereka berdua ni tunggu dilantik jadi MT tu pun cukuplah....

    Salam ziarah ke yieadd.blogspot.com

    ReplyDelete
  2. saya setuju dgn u add.

    ReplyDelete
  3. mungkin benar telahan saudara,ia akan jadi timbalan presiden/timbalan perdana menteri,begitu juga najib,ia akan menjadi presiden/perdana menteri,tetapi perlu di-ingat bahawa mereka hanya dapat mengecap kedudukan itu hanya seketika cuma kerana...kerana apa? kerana pakatan rakyat akan mengambil alih kerajaan dan anwar ibrahim akan menjadi perdana menteri....kah..kah..kah..

    ReplyDelete
  4. Ketika Anwar baru nak berangan-angan jadi Perdana Menteri,beliau akan didapati bersalah kerana meliwat

    ReplyDelete
  5. Assalamaulaikum Paneh,

    Mak Cik harap Muhyiddin menang. Ini harapan orang ramai.

    Tan Sri Mat Taib, tak payahlah. Duduk sahaja di rumah main dengan anak anak yang masih kecil dan cucu cucu.

    Ali Rustam no komen. Rezeki di tangan Tuhan asalkan Jangan yang tu menang sudahlah.

    Susahlah kalau Tim Presiden ada rekod buruk, ditangkap dengan wang sebegitu banyak dan satu dunia tahu. Malu. Lagi senang di ulam parti lawan dan bangsa lain. Malah orang Melayu sendiri. Lagi kecoh nanti.

    Semoga Allah swt Selamatkan terus Orang Melayu.

    ReplyDelete
  6. Dollah yankee suka anwar jd pm...ada apa2 ke dollah yankee?ke u jd 'jambu'beliau?:)

    ReplyDelete
  7. Assalamu'alaikum Wr,Wb

    Yang tak sedap dengarnya ialah Pak Lah dah tak ngam dengan Muhidin, ala mak kalau ada sabotaj dari Pak Lah nanti entah la

    ReplyDelete
  8. Title kamu salah ... bukan Kelicikkan Muhyiddin tapi ...

    ... Kecekapan politik Muhyiddin

    Nak betulkan juga para pertama. Bunyi seolah2 salah mempunyai cita2 tinggi.

    Orang muda jangan bercakap dgn bahasa cliche orang2 tua, jang.

    ReplyDelete
  9. Gua rasa posting lu ni menarik, tapi agak lari dari pendirian posting2 asal loe sebelum ni.

    Kalau betul lu saja nak 'lambung isu' & 'test market' nak tengok pandangan org pada muhyiddin, bolehlah gua setuju. tapi, letih la bro, macam tak kena..

    ReplyDelete
  10. apa yg lari pendirian abafahim? aku rasa mcm sama je. ke ko tak faham apa yg tersirat di sebalik artikel ni. tapi muhyiddin ni aku tgk org yg sentiasa at the right time at the right place.

    ReplyDelete
  11. byk tersirat dlm artikel ni. mcm sinis je bunyinya sindir muhyiddin.

    ReplyDelete

Blog Archive