Feel free to email us at panehmiang@ymail.com.

Saturday, November 1, 2008

Dirgahayu Mahathir

Sejak kau katakan dirimu tetap akan bersara
rakyat hampir serentak tergamam, sekeluarga,
dengan tekun cuba membaca keganjilan abjad,
ingin secermatnya menyelam kocakan isyarat-
bermula dari langkahmu semenjak dua dekad,
dari awal diseragamkan waktu yang keramat,
meninggalkan kegoyahan tahta kota Melaka,
meluru ke sejarah baru di Putrajaya.

Mulanya kau tukarkan derasnya isyarat masa-
seluruh negara tiba-tiba rasa degupnya.
Dan serentak pula kau dorongi pandang ke Timur,
kau sedarkan begitu mulanya visi yang makmur,
kau tegur sejarah Eropah berhati penjajah
dan gesa rakyat agar segera menginsafinya.

Kau seorang pemimpin paling sering mengejutkan
sehingga dalam panas kami mudah kesejukan
dan dalam sejuk tiba-tiba kami kepanasan.
Kau seperti damai menyaksikan kami terkejut,
kau ransang kami jadi juara–jangan takut.
Daki gunung, lawat Antartika, rayapi benua,
rentasi samudera dan saingi berniaga-
segala yang puncak-selalunya itu kau pinta.

Kau pengingat bangsamu yang sering benar pelupa,
penyedar satu perjuangan yang belum selesai,
juga penghayat tanah airmu yang sungguh damai.
Kau sempat menjadikan ramai manusia gigih,
di alaf damai, mereka menyemai benih ilmu
di musim permai mereka membisik kasih syahdu.
Kau gelorakan kejutan yang sebesar-besarnya,
dan mendorong rakyat menjerit “boleh” segalanya!
Kutahu, kau sentiasa benci kerja yang bebal,
lebih kau sanjung tiap pencapaian yang global.

Kau terlalu gemar mencabar setiap yang payah,
menyedarkan bangsa, itulah antara caranya,
meningkat taraf, menebus maruah dan anehnya,
kau memungkinkannya dengan cara yang istimewa.
Dengan resepi bancuhan amat luarbiasa,
ramuan asli dari rempah satu citarasa,
dan dengan tangan dan mata yang selalunya cerah,
dapur bangsa menyedia sajian peribadi-
demokrasi lazat dengan zat tersendiri.

Telagah dan teguranmu juga tajam berduri,
malah dalam sekam yang sebu pun terjelir api.
Dan dalam arus diplomasi dunia terkini,
selalunya kau berdiri cekal depan sekali,
lancang bersuara sepejal peluru khursani,
tanpa pengkalis, sebab, pengkalisnya kau sendiri.
Kawan-kawanmu sesekali dalam percobaan,
yang akrab terkadang meloncat juga sebelah lawan.
Dan kau memang seorang yang amat keras menghukum,
serkadang yang patah amat payah sungguh dicantum.
Memang ada yang sentiasa ingin membencimu,
dan sesekali, soal bahasa yang mampu, aku juga begitu.
Tapi, bakti yang lain wajar jua dikira,
pemimpin tak semua benar, tak semua salah.
Dan dalam sedikit gulana resah batin bangsa,
aku tetap menerimamu pemimpin berharga.
Memang kau telah berjaya menyumbang banyak bakti,
menjadi amat payah untuk sekadar membenci,
apalagi yang diragukan lebih teka-teki.

Tampaknya kau tahu dimana stesen berhenti;
sejauh mana pula pemimpin harus berlari.
Dan di antara stesen, kau sedia bersepi-
menilai masa lalu dan menyukat masa kini.
Kau berhenti ternyata sebelum dirimu mengah,
meninggalkan secebis peta dalam ribut kencang
dengan megah di sisi kibaran Jalur Gemilang.
Disayang dibenci, kau harumi taman pertiwi;
dibenci disayang, hikayatmu juga berseri.

Kau penguji sanubari dengan minda berkira,
Dan dengan lidah dan hati yang belajar berimbang.
Sayang, tidak semua tali pacu yang dapat diregang,
maklum di mana pun pasti ada kuda yang garang.
Tapi, kau pujangga siasah berpeta pusaka,
berkeris dan berperisai tangkas hampir serentak,
merenjis mutiara kata yang payah ditolak.

Tentunya kau masih berada di dalam kawasan,
merintih dan menyangsi ataupun memerhatikan.
Aku percaya, dalam serba musim dan cuaca,
kau tidak pergi-hatimu tetap tegap di sini.


A. Samad Said
, Bangsar Utama Kuala Lumpur

2 comments:

Surah Al-Baqarah, Ayat 120

"Bukan orang Yahudi, ataupun Nasrani yang akan menerimamu, melainkan jika kamu mengikut agama mereka. Katakan,"Hanya petunjuk Allah sahaja yang benar" Jika kamu menyetujui kehendak mereka, setelah kamu menerima ilmu pengetahuan, kamu akan dapati tidak ada satu perjanjian ataupun penyokong dapat menolongmu dari Allah."

Surah Al-Baqarah, Ayat 216

"Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya."

Surah Al-Imran, Ayat 28

"Janganlah orang-orang yang beriman mengambil orang- orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Dan sesiapa yang melakukan (larangan) yang demikian maka tiadalah ia (mendapat perlindungan) dari Allah dalam sesuatu apapun, kecuali kamu hendak menjaga diri daripada sesuatu bahaya yang ditakuti dari pihak mereka (yang kafir itu). Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan diriNya (menyeksa kamu). Dan kepada Allah jualah tempat kembali."

Surah Al-An'aam, Ayat 67

"Tiap-tiap khabar berita mempunyai masa yang menentukannya (yang membuktikan benarnya atau dustanya); dan kamu akan mengetahuinya."

Surah Ar-Ra'd, Ayat 11

"Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya."

Blog Archive