Feel free to email us at panehmiang@gmail.com.

Thursday, November 13, 2008

PR: Jujur, Lurus atau Penipu

Ramai orang berbicara mengenai perkauman. Lebih ketara lagi kononnya orang Melayu bersifat perkauman, apatah lagi jika sesebuah parti politik itu memperjuangkan Melayu maka ia juga akan dituduh perkauman. Perasaan perkauman sebenarnya bukanlah sesuatu yang baru di Malaysia. Ia bermula sejak sebelum merdeka lagi terutamanya apabila orang Melayu menyedari bahawa hak mereka terancam semasa British memperkenalkan Malayan Union. Sebahagian besar rakyat Malaysia menyedari betapa meruncingnya masalah perkauman ini selepas berlakunya peristiwa 13 Mei 1969. Hakikatnya kini, tiada satu pun parti politik di Malaysia yang betul-betul boleh dilabelkan sebagai bukan perkauman.

Hari ini terlalu banyak janji manis yang dilafazkan terhadap konsep bukan perkauman oleh sebahagian besar pemimpin pembangkang dalam memperjuangkan ideologi mereka. Namun semakin mereka memperjuangkan bukan perkauman, semakin besar pula dilihat sifat perkaumannya. Teresa Kok dan  DAP adalah contoh terbaik yang kononnya memperjuangkan bukan perkauman tetapi realitinya dilihat sangat racist. Golongan yang memperjuangkan kononnya konsep bukan perkauman ini kebanyakannya disokong oleh pengikut-pengikut yang terdiri daripada 3 jenis manusia iaitu yang jujur, yang lurus dan juga yang penipu. Maka tidak hairanlah jika ketiga-tiga jenis penyokong ini saling mencurigai sebagaimana curiganya parti yang mereka sokong antara satu sama lain antara DAP, Pkr dan Pas.

Namun adakah mudah untuk sesuatu bangsa itu melupakan asal keturunan mereka? Adakah kaum di Malaysia begitu istimewa sehingga mudah untuk menolak konsep perkauman sedangkan di seluruh dunia, bangsa atau kelompok etnik merupakan tenaga utama sama ada dari segi politik mahupun pembinaan tamadun? Hakikatnya orang Asia walau dimanapun mereka berada, mempunyai hubungan yang cukup erat dengan keturunan mereka sendiri berbanding kaum yang terdapat di benua lain di dunia. Orang India di Amerika berbeza dengan orang Cina di Amerika ataupun orang Filipina di Amerika. Mereka tidak cuba untuk menjadi seperti bangsa kulit putih di Amerika, tetapi kekal mempertahankan budaya kaum mereka kerana begitu cintakan susur galur keturunan sendiri.

Di Malaysia sekiranya benar orang-orang Cina dan India tidak bersifat perkauman, maka sudah tentu mereka tidak bersungguh-sungguh untuk mengekalkan identiti mereka melalui bahasa, sekolah dan budaya; sebaliknya mereka akan cuba belajar untuk menjadi Melayu kerana menyedari hakikat bermastautin di tanah milik orang-orang Melayu. Namun itu tidak berlaku kerana kaum Cina dan India sama sahaja seperti kaum-kaum mereka yang lain di seluruh dunia yang tidak cuba untuk menjadi bukan perkauman. Kenapa saya mengatakan ia tidak mungkin berlaku? Kerana ketiga-tiga kaum utama di Malaysia ini hampir-hampir tidak mempunyai sebarang persamaan iaitu sikap, bahasa, budaya dan agama yang sangat berbeza. Tiada alasan bagi mereka dengan mudahnya untuk melupakan bangsa sendiri. Jadi, jika ada orang yang berkata “lupakanlah soal bangsa” sebenarnya adalah seorang yang pandir dan penipu.

Apa yang gagal disedari oleh kebanyakan orang Melayu ialah sesetengah orang bukan Melayu yang menyebarkan propaganda penghapusan politik perkauman sebenarnya adalah salah satu cara bagi mengukuhkan kedudukan kaum mereka sendiri. Tentangan orang bukan Melayu terhadap politik perkauman sebenarnya tidaklah mencerminkan sentimen anti-perkauman mereka sendiri, kerana penghapusan politik perkauman dan diskriminasi sebenarnya hanya akan menguntungkan mereka semata-mata. Apabila perkauman terhapus, maka dengan mudahnya prinsip kesamarataan dapat dilaksanakan dan penduduk pribumi akan hilang keistimewaan yang dimiliki serta tidak dapat lagi dilindungi oleh perlembagaan. Maka, hanya mereka yang cekap dan berkemampuan sahaja akan berjaya serta mempunyai segala hak untuk mengukuhkan kedudukan mereka.

Kebanyakan orang bukan Melayu yang saya temui seringkali mengucapkan ayat seperti “kita adalah bangsa Malaysia” dan “perpaduan kebangsaan adalah perjuangan kami”. Namun, saya tetap merasakan realitinya tidak akan jadi begitu. Selain hujah yang saya kemukakan di atas, kaum-kaum di Malaysia belum boleh diumpamakan seperti peribahasa Melayu iaitu “duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi”. Apabila kaum di Malaysia terutamanya orang Melayu mempunyai ciri yang sama dengan kaum lain sebagaimana peribahasa tersebut, maka saya percaya perpaduan kebangsaan akan tercapai dan politik perkauman tidak lagi bermakna.

Namun sejauh manakah alasan itu boleh diguna pakai kerana setiap kaum sering mendakwa bahawa kaum mereka sendiri mempunyai kedudukan yang lebih baik. Orang bukan Melayu menentang hak istimewa orang Melayu dan orang Melayu pula menimbulkan soal kuasa ekonomi kaum Cina serta jumlah golongan profesional yang dimiliki oleh kaum India. Kita juga sedia maklum bahawa kaum Cina dan India sangat protactive dalam mempertahankan kelebihan yang mereka miliki sehingga tidak membenarkan kaum lain untuk menyertai kelompok yang menjamin kelebihan mereka. Sikap prejudis yang tinggi antara kaum masih lagi wujud sehingga kini. Jadi bagaimana perpaduan kebangsaan itu akan menjadi realiti? Adakah dengan menghapuskan identiti kaum maka akan wujud persamaan dan intergrasi? Atau dengan mencapai persamaan seperti “duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi” barulah konsep perkauman akan terhapus?

Sukar untuk dipercayai hanya dengan menghapuskan konsep perkauman maka persamaan dan intergrasi akan wujud dengan serta merta. Persamaan antara kaum perlulah ditegakkan dahulu sebelum kesetiaan kaum boleh terhapus dan seterusnya perpaduan kebangsaan direalisasikan. Walaupun secara dasarnya parti-parti politik yang membentuk Barisan Nasional bersifat perkauman, namun mereka telah menunjukkan usaha untuk mencapai persamaan kaum. Parti-parti ini dilihat tidak akan mengancam usaha ke arah perpaduan kebangsaan berbanding Pakatan Rakyat yang kononnya memperjuangkan bukan perkauman, tetapi dilihat penuh muslihat serta cenderung dengan sifat memecah belahkan perpaduan rakyat Malaysia. Parti-parti seumpama inilah yang menjadi punca pergaduhan kaum dan kemunduran bangsa serta tidak mendatangkan kebaikan kepada negara. Sama ada penyokong mereka ingin terus memilih menjadi manusia yang jujur, lurus atau penipu, maka terpulanglah kepada mereka kerana “a fool sees not the same tree that a wise man sees”.

7 comments:

  1. Saya sungguh respect dengan penulisan saudara. Ianya seia dan sekata dengan tajuk bicara saya pagi ini dalam ruangan chilliriver.blogspot.com. Silalah layari blog tersebut.
    Mengenai penulisan saudara ini apa yang menjadi keprihatinan saya ialah masalah begitu peritnya kita selaku rakyat Malaysia yang berbilang kaum ini untuk sebenar-benarnya dapat bersatu padu diantara kita. Agak payah untuk kaum India dan Cina untuk berkongsi kelebihan yang mereka miliki dengan kira kaum melayu. Saya sangat bersetuju kerana saya nampak peratusan kaum melayu yang menjadi boss-boss di kompani swasta sangat kecil jumlahnya. Kemasukan kesyarikat mereka juga memerlukan kemahiran dalam bahasa mereka ( cina ). Samalah ertinya dengan menghalang kemasukan kita kesyarikat tersebut.
    Sebab itulah saya mencadangkan hanya melalyui kahwin campur sahaja dalam jangka masa sedarhana panjang perkara ini boleh diatasi.
    Dulu kemasukan islam ke Nusantara ini diantaranya menggunakan faktur kahwin campur ini. Proses asimilasi ini berlaku seantaredunia. Mungkin penerimaan masyarakat Amerika kepada Obama kerana beliau adalah anak campuran orang putih dengan negro.
    Di Sabah dan Sarawak proses asimilasi ini telah lama berlaku dengan banyaknya. Disemananjung jua, tetapi tidak banyak perlakuan seperti ini.

    ReplyDelete
  2. UMNO yang KKN - Korup, Kolusi dan Nepotisme

    Jangan salah pilih lagi, pilih lah PR kenapa -- sila baca :

    “Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah bertungkus-lumus lima tahun untuk mencari satu kesalahan pada pimpinan Pakatan Rakyat, tapi mereka gagal menjumpai apa-apa.
    "Dengan SPRM yang terkenal dengan kecekapan dan kepantasannya dalam sebarang kes melibat pimpinan PR, PR sudah boleh dikira sebagai teramat bersih kerana tiada satu kes rasuah pun sehingga kini. Rakyat lebih pandai menilai,”

    Berbanding dengan BN yang dikerumuni dengan skandal-skandal penyelewengan, rakyat perlu memikirkan apakah BN layak diberi peluang untuk kali ke 13.


    Heee .... heee right on the sweet spot, kena pilih yang korup sedangkan ada yang bersih, kenapa pilih yang berkroni sedangkan ada yang telus lagi bersih .... kenapa pilih keturuanan perompak [Isa Samad], perogol [Rahim Thamby Cik dan Rais Yatim], dan pembunuh {Mahathir] dan kepala samsen [ Irahim katak, Zahid Hamidi, Nazri Aziz] sedangkan ada yang alim lagi bijak sana


    Malaysia insya allah MERDEKA dari kezaliman UMNO dan Barisan Nasional 4 hari saja lagi .....

    ReplyDelete
  3. Undi Sahak di Longgeng. Haji Abu di Ampangan. Hidup Tok Sahak. Bakal MB baru NS. Hidup BN. Jangan Lupo Tuan2 dan Puan2. PM kito pecayo kek dio. Takkan kito tak pecayo. Bangang namo ee tu.

    ReplyDelete
  4. Paneh Miang , teruskan usaha haprak u tu , tunggu lepas 5 mei ini , lu akan tenggelam dan tak timbul-timbul lagi didada blog kerana tulisan u tak melambangkan sikap anak negori , pi lah.............

    ReplyDelete
  5. pm kito tu org longgeng ko?hanya org longgeng yg tau masalah di sini.bak kato bijak pandai,hanya jauhari mengenal manikam...

    ReplyDelete
  6. JOM UBAH.
    KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT.

    ReplyDelete
  7. undilah calon bebas di lenggeng..undilah hj zulkifli b abdulah...

    ReplyDelete

Blog Archive