Feel free to email us at panehmiang@ymail.com.

Sunday, August 23, 2009

Wujudnya Persekutuan Tanah Melayu

Menyedari bahawa ancaman ke atas rancangan Malayan Union yang dihadapi oleh Inggeris tidak akan dapat diatasi tanpa bantuan dan kerjasama Rakyat RAJA (orang Melayu), maka British bersetuju mengenepikan dasar Imperialismenya dengan memansuhkan Malayan Union. Pada bulan Jun 1946, (tiga bulan setelah Malayan Union ditubuhkan) Kerajaan British bersetuju meminda:

1. Kedudukan (status) Negeri-negeri Melayu dari taraf `Tanah Jajahan Takluk' kepada Wilayah di bawah `Naungan' Kerajaan British;

2. Perlembagaan Tanah Melayu akan mempunyai sifat Persekutuan dengan perundangan dan pentabiran pusat yang KUAT untuk BERTANGGUNGJAWAB dalam urusan umum;

3. Kuasa Negeri-Negeri Melayu akan dipulihkan kepada Raja masing-masing. Ini akan dinyatakan dengan JELAS didalam Perlembagaan Persekutuan;

4. Malayan Union akan dihapuskan dan digantikan dengan PERSEKUTUAN TANAH MELAYU.

5. Jawatan Gabenor Malayan Union akan diganti dengan Pesuruhjaya Tinggi Persekutuan Tanah Melayu;

6. Bahasa Melayu akan menjadi bahasa rasmi Persekutuan Tanah Melayu;

7. Agama Islam akan menjadi Agama Utama Persekutuan Tanah Melayu;

8. Hak-hak keistimewaan orang Melayu akan dipulihkan seperti sediakala.

Seterusnya, British bersetuju mewujudkan suatu "Jawatankuasa Kerja" untuk menggubal dan merangka Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu dan Perjanjian Negeri-negeri. Keahlian Jawatankuasa Kerja itu terbahagi kepada tiga kumpulan, mewakili:

1. Kerajaan British, perwakilan terdiri daripada:

a. A.T. Newboult (Ketua Setiausaha Malayan Union)
b. K.K. O'Connors (Peguam Negara Malayan Union)
c. W.D. Godsall (Setiausaha Kewangan)
d. Dr. W. Linehan (Perkhidmatan Awam Malayan Union)
e. A. William (Perkhidmatan Awam Malayan Union)

2. Mewakili Raja-Raja Melayu, pula:

a. Raja Kamarulzaman (Perak)
b. Dato' Hamzah bin Abdullah (Selangor)
c. Dato' Mohamed Shariff (Kedah)
d. Dato' Nik Ahmad Kamil (Kelantan)

3. Mewakili Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), terdiri daripada:

a. Dato' Onn Ja'afar
b. Dato' Abdul Rahman bin Mohd Yassin
c. Tuan Haji Megat Yunus (Setiausaha)

Pegawai-pegawai lain yang turut hadir di mesyuarat, adalah:

1. Sir Theodore Adams, penasihat Raja-Raja Melayu;

2. Sir Roland Bradel, Penasihat Undang-undang UMNO;

3. Mr. Ralph Hone, pemerhati mewakili Gabenor-Jeneral British untuk Asia Tenggara, Sir Malcom MacDonald.

4. Mr. D.C. Watherson, Setiausaha kepada Jawatankuasa.

5. Encik (Dato') Abdullah bin Mohamed, menjadi pengganti apabila Dato' Onn meninggalkan mesyuarat kerana bertelingkah dengan Wakil Kerajaan Inggeris atas perkara dasar dan pokok yang tidak dapat diterima oleh UMNO. Supaya mesyuarat tidak tergendala sangat, maka Encik (Dato') Abdullah ditugaskan untuk meneruskan mesyuarat, tetapi terhad kepada perkara-perkara berkaitan dengan kaedah dan peraturan pentadbiran Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu yang akan ditubuhkan kelak.

Dato' Abdullah bin MOhamed merupakan seorang Pegawai Kerajaan Negeri Johor yang berkelulusan Undang-undang dari Universiti Oxford.

Apabila dilihat dari segi keanggotaan Jawatankuasa Kerja Perlembagaan itu, ternyata, bahawa ianya adalah rundingan antara ORANG MELAYU dengan BRITISH sahaja. Walaupun wakil bangsa bukan-Melayu telah tidak dilantik untuk menyertai perbincangan jawatankuasa itu, namun kepentingan mereka (kaum-kaum bukan Melayu) diawasi oleh wakil-wakil Kerajaan British.

Jawatankuasa Kerja Perlembagaan telah mengambil masa lebih kurang lima (5) bulan untuk menyelesaikan kerja-kerja menggubal dan merangka Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Pada 20 November 1946, rangka Perlembagaan `Persekutuan' dan Perjanjian untuk Negeri-Negeri Melayu, telah dibentang di Persidangan Pleno, dihadiri oleh Raja-Raja Melayu, wakil-wakil Kerajaan Malayan Union dan wakil-wakil UMNO. Rangka Perlembagaan itu telah diluluskan oleh Persidangan Pleno dan dimajukan kepada "Jemaah Menteri-Menteri" Kerajaan British di London.

Pada 5 Disember 1946, "Jemaah Menteri-Menteri" Kerajaan British menerima dan mengesahkan Perjanjian (Perlembagaan) Persekutuan Tanah Melayu serta dengan Perjanjian-Perjanjian Negeri Melayu. Setahun kemudian, Malayan Union dibubarkan dan PERSEKUTUAN TANAH MELAYU ditubuhkan pada 1 FEBRUARI 1948.

1 comment:

  1. Assalamualaikum,

    Terima Kasih atas 'ingatan' ini. Sejarah tidak pernah menipu manusia. Kita patut belajar dari Sejarah dan kesannya pada kita sekarang dan buat generasi yang akan datang.

    WaAllahuAlam.

    ReplyDelete

Surah Al-Baqarah, Ayat 120

"Bukan orang Yahudi, ataupun Nasrani yang akan menerimamu, melainkan jika kamu mengikut agama mereka. Katakan,"Hanya petunjuk Allah sahaja yang benar" Jika kamu menyetujui kehendak mereka, setelah kamu menerima ilmu pengetahuan, kamu akan dapati tidak ada satu perjanjian ataupun penyokong dapat menolongmu dari Allah."

Surah Al-Baqarah, Ayat 216

"Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya."

Surah Al-Imran, Ayat 28

"Janganlah orang-orang yang beriman mengambil orang- orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Dan sesiapa yang melakukan (larangan) yang demikian maka tiadalah ia (mendapat perlindungan) dari Allah dalam sesuatu apapun, kecuali kamu hendak menjaga diri daripada sesuatu bahaya yang ditakuti dari pihak mereka (yang kafir itu). Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan diriNya (menyeksa kamu). Dan kepada Allah jualah tempat kembali."

Surah Al-An'aam, Ayat 67

"Tiap-tiap khabar berita mempunyai masa yang menentukannya (yang membuktikan benarnya atau dustanya); dan kamu akan mengetahuinya."

Surah Ar-Ra'd, Ayat 11

"Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya."

Blog Archive