Feel free to email us at panehmiang@gmail.com.

Monday, August 31, 2009

MERDEKA: Kini Tanggungjawab Kami

Pada tengah malam kira-kira 67 tahun yang lalu, Leftenan Adnan Saidi telah diperintahkan oleh Kapten H.R. Rix untuk berpindah ke sebuah tapak pertahanan yang baru. Mereka bertahan di sebuah kilang memproses candu kepunyaan British di kaki sebuah bukit di Pasir Panjang. Seramai 42 orang anggota Batalion Pertama dan Kedua, Rejimen Askar Melayu telah bertahan di situ tanpa bekalan air, makanan serta senjata tambahan. Dalam keadaan terdesak, Leftenan Adnan telah memerintahkan anak-anak buahnya untuk mengukuhkan benteng pertahanan dengan beg pasir. Leftenan Adnan sedar bahawa jumlah tentera Jepun yang akan datang menyerang terlalu ramai jika dibandingkan dengan jumlah tentera dalam pasukannya.

Tengahari keesokannya iaitu pada 14 Februari 1942, tentera Jepun akhirnya bertindak menyerang Rejimen Askar Melayu yang sedang bertahan di Bukit Candu. Sekumpulan tentera Jepun yang menyamar sebagai anggota tentera Punjabi telah datang menghampiri mereka. Sebelum sempat mereka mendekati kawasan yang dipertahankan oleh 'C' Coy, Leftenan Adnan yang ditugaskan untuk mempertahankan bahagian utara kawasan tanah tinggi tersebut telah berjaya menghidu helah yang dilakukan oleh tentera Jepun. Tentera Punjabi itu dilihatnya sedang mara bergerak dalam kumpulan berempat dan bukannya bertiga sepertimana biasa. Leftenan Adnan pada ketika itu sangat yakin bahawa apa yang dilihatnya itu adalah helah yang telah dirancang oleh tentera Jepun. Lagipun, pasukan tentera di bawah pimpinan British tidak mungkin akan melakukan kesilapan besar seperti yang dilihatnya pada ketika itu. Lantas Leftenan Adnan mengarahkan agar tembakan dilepaskan bertubi-tubi ke arah tentera Jepun yang sedang menyamar itu.

Seramai 20 orang tentera Jepun mati serta cedera dalam serangan tersebut. Peristiwa itu telah menyebabkan tentera Jepun mengamuk. Dua jam kemudiannya, sekumpulan besar tentera Jepun telah menghampiri kawasan Bukit Candu dan bertindak menyerang Leftenan Adnan dan pasukannya dengan tembakan bertali arus. Rejimen Askar Melayu ketika itu telah berjuang dengan berani sehingga ke titisan darah terakhir, walaupun mereka terpaksa berperang dengan jumlah anggota dan peluru yang sedikit berbanding pihak musuh.

Koperal Yaakob, seorang anggota platun Leftenan Adnan yang terselamat serta pernah menerima Pingat Keberanian Medal of Gallant, telah mengisahkan suasana peperangan ketika itu. Dalam suasana kacau-bilau, beliau telah terjatuh di atas tubuh seorang rakannya yang telah mati ditembak dibahagian leher. Koperal Yaakob dapat mencium bau hanyir darah yang masih mengalir hangat dari leher rakannya itu. Akibat kehabisan peluru, Koperal Yaakob terpaksa berpura-pura mati disamping mayat rakannya. Sebelum rebah, Koperal Yaakob sempat melihat Kapten Rix terbunuh bersama 12 orang tentera Melayu lain yang telah berjuang bermati-matian bersamanya.


Dalam remang senja, Koperal Yaakob dapat melihat keadaan Leftenan Adnan yang cedera parah telah diheret dan disepak terajang oleh tentera Jepun yang kelihatan sedang marah menggila. Tentera Jepun seperti ingin membalas dendam di atas kematian rakan-rakan mereka yang telah mati ditembak oleh pasukan Leftenan Adnan. Enam anggota tentera Melayu yang berjaya ditawan, telah diikat, lalu ditikam dengan bayonet oleh tentera Jepun sehingga mati. Suara anggota tentera Melayu yang mengerang kesakitan di penghujung nyawa berterusan berdengung dalam kepala Koperal Yaakob. Sambil menahan pilu, Koperal Yaakob tidak mampu melakukan apa-apa kecuali berterusan mendiamkan diri.

Tubuh Leftenan Adnan yang lemah kemudiannya diserkup dengan guni. Kakinya di gantung ke atas dan kepala ke bawah di sebuah pokok ceri berdekatan sebuah rumah banglo di Pepys Road. Tanpa sebarang belas kasihan, setiap anggota tentera Jepun yang lalu disebelah Leftenan Adnan telah bertindak menikam tubuhnya dengan bayonet berulang kali. Namun, apa yang paling menyayat hati Koperal Yaakob ialah, tidak kedengaran sepatah kata pun yang keluar daripada mulut Leftenan Adnan ketika beliau ditikam, waima perkataan "ADUH" sekalipun. Malahan Koperal Yaakob menyaksikan Leftenan Adnan merenung tajam setiap mata tentera Jepun yang menikamnya sehinggalah beliau terdiam kaku.

Darah yang banyak telah membasahi kain guni yang membaluti tubuh Leftenan Adnan. Seorang pegawai tentera Jepun kemudiannya telah menanggalkan kain guni tersebut, lantas mengeluarkan pisau dan mengelar leher Leftenan Adnan sehingga memancut darahnya ke tanah. Kemudian, pegawai tersebut telah memerintahkan anak-anak buahnya supaya memberikan amaran kepada penduduk tempatan, seandainya sesiapa cuba menyentuh mayat Leftenan Adnan atau mayat askar-askar Melayu lain untuk dikebumikan, maka mereka juga akan dibunuh.

Keberanian Leftenan Adnan Saidi bersama 42 orang anggota Batalion Pertama dan Kedua Regimen Melayu yang telah bertempur bermati-matian untuk mempertahankan tanahair tercinta ini merupakan satu episod yang kekal dalam lipatan sejarah. Pertempuran sengit itu telah disebut khusus dalam perutusan Lt. General A.E. Percival berkenaan Pemerintahan Operasi Malaya dari tarikh Disember 1941 sehingga 15 Februari 1942. Keberanian serta kepahlawanan Leftenan Adnan diakui sendiri oleh Empayar British dan juga Empayar Jepun, sehinggakan General Yamashita yang dikenali sebagai Harimau Malaya mengatakan, "Jika terdapat 10 orang Leftenan Adnan, belum pasti Malaya jatuh ke tangan Jepun."

Apakah yang Leftenan Adnan dapat daripada perjuangannya? Adakah Allahyarham mati sia-sia? Malahan Allahyarham meninggal dunia dalam usia semuda 27 tahun tanpa sempat melihat wajah anak keduanya, demi untuk mempertahankan tanahairnya. Seandainya Leftenan Adnan melihat Malaysia hari ini yang telah dipertahankan dengan nyawanya sendiri, pasti Allahyarham tidak akan menyesal.

Terima kasih kepada para pahlawan dahulu yang telah berjuang bermati-matian untuk mempertahankan negara ini. Sama ada nama mereka tercatat atau tidak dalam lipatan sejarah, jasa-jasa mereka pasti tidak akan kami persiakan. Sesukar manapun pengorbanan mencapai kemerdekaan, lebih sukar lagi tanggungjawab untuk mempertahankan sebuah negara yang merdeka. Terima kasih kerana memungkinkan kami mengecapi apa yang telah kami nikmati hari ini dan kini menjadi tanggungjawab kami untuk mewariskan generasi selepas kami akan peluang kenikmatan serta keamanan yang lebih bermakna.

Syukur alhamdulillah atas rahmat Allah di bumi Malaysia selama ini, dan sekalung doa untuk insan-insan yang selama ini berjuang bagi memastikan Malaysia bebas Merdeka dalam ertikata yang sebenar-benarnya MERDEKA. Al-Fatihah.

11 comments:

  1. Salam Meredeka,

    Al Fatihah untuk Lt Adnan serta pejuang-pejuang tanah air.

    Itulah orang Melayu, sifat juang mereka unutk tanah air. Kemana perginya kaum-kaum waktu itu ?

    Mereka cuma tahu untuk menuntut 'Malaysian Malaysia' tetapi masih tidak mahu menyerapkan nilai perkauman dalam diri mereka.

    Ada juga orang Malayu yang menjadi bacul kerana hendakkan kuasa, mengadai maruah bangsa sendiri kerana kuasa.

    ReplyDelete
  2. salam merdeka ...


    paneh leh wa cilokk article ni?? Frodo credit ur blog. Stry lt adnan ni betul2 menyentuh hati ...

    ReplyDelete
  3. what u do 4 living paneh? i think u should become a history teacher or lecturer coz d way u tell story makes me emosi u know. i can fall in love with the way u speak to me through yr post. cewah. maybe our childrens in school needs people like u to tell history so the can have more passion, more udrstdg in this subject. lgpun kbykn guru/lect ngajar sej mcm robot dan hafazan. mcmana nak paham. by the way u r good storyteller paneh n well done bro.

    ~;~@

    ReplyDelete
  4. Dari Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda: "Sesiapa yang mati tanpa pernah berperang bahkan jiwanya tidak pernah tergerak hendak turut berperang, maka matinya sama dengan mati munafik."(Muslim)

    ReplyDelete
  5. Salam all. Frodo kalo nak copy tarak hal punya. Sejarah patut dikongsi oleh semua org. Tq all.

    ReplyDelete
  6. salam merdeka..

    http://www.buaya-merah.blogspot.com

    ReplyDelete
  7. Betul Yang Gambi, ada juga orang Melayu (mamak) yang jadi bacul kerana hendakkan kuasa, mengadai maruah bangsa sendiri kerana kuasa seperti yg berlaku di Perak di kepalai oleh 1 Malaysia itself dan di sondol oleh MB palsu Pangkor. Wueek muntah terus geli tekak den. Ado jugok specis orang yg tak hurmati undang2 setelah 52 tahun merdeka, agaknya benih2 penjajah la kot!

    ReplyDelete
  8. klu jai yg crita pasal left adnan mesti ramai yg tangkap leleh. kuang kuang. sob..sob.

    ReplyDelete
  9. betapa rendah dan tidak matangnya rancangan tom tom bak, begitu jugalah pemikiran tom tom bak kat atas nih...kesian...tapi tahniah kerana mencuba walaupun kelihatan begitu bodoh dan bingai sekali...

    ReplyDelete
  10. UMNO bukan pejuang kemerdekaan, UMNO hanya merundingkan kemerdekaan sahaja...
    Org yg berjuang utk kemerdekaan adalah org yg menggadaikan nyawa dan darah mempertahan dan menghalau penjajah!!!

    UMNO hanya bertenggek atas kesusahan org!!!!

    agaknya lah...

    ReplyDelete
  11. ish ish ish

    kesian guru2 sejarah krn terdapat komentar disini yg menggambarkan spt pengomentar tidak belajar sejarah atau tidak faham sejarah sehingga nak menafikan sumbangan dan jasa org terdahulu dlm memerdekakan negara. betapa pendek dan dangkalnya kefahaman ttg pejuang dan perjuangan. adakah pejuang hanya layak utk mereka yg menumpahkan darah dan bergadai nyawa? adakah terlupa kita bahawa org yg merundingkan kemerdekaan itu juga bergadai nyawa? lupakah kita akan segala yg digadaikan oleh yg merunding kemerdekaan utk mengecap kemerdekaan?
    hayatilah kembali sejarah itu, baca dgn mata hati bukan dgn mata dengki.

    kepada bacul2 melayu, insaflah dgn apa yg berlaku diperak. jgn krn kuasa, dgn raja anggup derhaka. lihatlah benih2 tinggalan penjajah, undang2 yg ada dilanggar sesuka. dewan yg mulia tlh jd hina. dewan yg sepatutnya menjadi medan perdebatan tlh menjadi spt medan pasar borong juga medan selera. betapa kurang ajarnya benih2 penjajah, baru dikuasa seketika sudah mahu menjadi raja.
    lihatlah apabila tersalah beri kuasa kpd beruk2 yg derhaka.

    insaflah.....

    ReplyDelete

Blog Archive