Feel free to email us at panehmiang@ymail.com.

Monday, October 26, 2009

Keturunan Raja Lenggang

Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir yang ditabalkan sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-11 hari ini merupakan keturunan langsung daripada salasilah lebih 200 tahun keturunan Raja Lenggang dan juga Raja Alam Pagaruyung, Sumatera.

Tuanku Muhriz diputerakan pada 14 Jan 1948. Baginda merupakan satu-satunya anak lelaki Almarhum Tuanku Munawir Tuanku Abdul Rahman dengan Tunku Ampuan Durah Tuanku Besar Burhanuddin.

Baginda dilantik sebagai Tunku Laksamana (kedudukan kedua di antara Putera Yang Empat) pada tahun 1960, dan setahun kemudian, baginda ditabalkan sebagai Tunku Besar Seri Menanti (kedudukan tertinggi di antara Putera Yang Empat), gelaran yang disandang selama 47 tahun.

Dibesarkan di Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz bersekolah di Sekolah Tuanku Muhammad Kuala Pilah dan Sekolah Tunku Besar Tampin, sebelum ke Sekolah Menengah King George V, di Seremban.

Baginda melanjutkan pengajian di Aldenham School, Elstree, England, di mana baginda menduduki O Levels dan A Levels.

Baginda kemudian melanjutkan pengajian dalam bidang perundangan di University of Wales, Aberystwyth, United Kingdom dan mendapat ijazah LLB pada tahun 1970.

Sekembali baginda ke Malaysia, Tuanku Muhriz memulakan kerjaya baginda dalam pelbagai bidang seperti kewangan dan pengiklanan. Pengalaman ini memberi pendedahan kepada baginda dalam pelbagai industri di rantau ini.

Pada masa yang sama, Tuanku Muhriz telah menyumbang bakti baginda kepada pelbagai badan amal dan kebajikan melalui penglibatan baginda sebagai ahli yang aktif dalam Kelab Rotary, Kuala Lumpur.

Tuanku Muhriz juga telah menunjukkan minat baginda dalam memberi peluang meningkatkan pelajaran kepada anak bangsa dengan menjadi ahli dalam Lembaga Pemegang Amanah bagi Tinggi Foundation, yang memberi biasiswa kepada pelajar Malaysia yang cemerlang tetapi tidak berkemampuan untuk meneruskan pengajian mereka ke peringkat ijazah sarjana muda.

Tuanku Muhriz juga dilantik sebagai ahli Lembaga sebuah syarikat awam di Malaysia dan syarikat-syarikat berkepentingan asing yang beroperasi di Malaysia.

Sebelum dimasyhurkan sebagai Yang diPertuan Besar Negeri Sembilan pada 29 Disember 2008, Tuanku Muhriz merupakan Ahli Lembaga sebuah bank serantau, sejak 2006.

Tuanku Muhriz berminat terhadap muzik bermula sejak kecil di mana ketika zaman persekolahan baginda, Tuanku Muhriz membentuk beberapa kumpulan muzik dan sejak itu mempunyai beberapa koleksi gitar yang ditempatkan di beberapa istana untuk membolehkan baginda memetik irama jazz, samba, Beatles dan irama klasik lain yang menjadi kegemaran baginda.

Dalam bidang sukan pula, skuasy merupakan sukan kegemaran Tuanku Muhriz. Baginda telah lama bermain sukan kegemaran baginda itu dan sehingga kini masih aktif bermain sekurang-kurangnya sekali seminggu. Baginda juga gemar menonton acara-acara sukan lain. Baginda meminati kelab bolasepak Arsenal dan gemar menonton pertandingan tenis Grand Slam.

Tuanku Muhriz melangsungkan perkahwinan dengan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud pada 25 April 1974 dengan mengadakan istiadat di Istana Maziah Kuala Terengganu, Istana Lama Seri Menanti dan Istana Munarah, Seremban.

Pasangan Diraja itu mempunyai tiga orang putera Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin, Tunku Zain Al'Abidin dan Tunku Alif Hussein Saifuddin AlAmin.

Pada 29 Disember 2008, Tuanku Muhriz dimasyhurkan sebagai Yang diPertuan Besar Negeri Sembilan oleh Undang Yang Empat di Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti, selepas kemangkatan Tuanku Ja'afar Tuanku Abdul Rahman dua hari sebelumnya. - BERNAMA.

Berita lanjut klik sini dan gambar klik sinun.

6 comments:

Surah Al-Baqarah, Ayat 120

"Bukan orang Yahudi, ataupun Nasrani yang akan menerimamu, melainkan jika kamu mengikut agama mereka. Katakan,"Hanya petunjuk Allah sahaja yang benar" Jika kamu menyetujui kehendak mereka, setelah kamu menerima ilmu pengetahuan, kamu akan dapati tidak ada satu perjanjian ataupun penyokong dapat menolongmu dari Allah."

Surah Al-Baqarah, Ayat 216

"Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya."

Surah Al-Imran, Ayat 28

"Janganlah orang-orang yang beriman mengambil orang- orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Dan sesiapa yang melakukan (larangan) yang demikian maka tiadalah ia (mendapat perlindungan) dari Allah dalam sesuatu apapun, kecuali kamu hendak menjaga diri daripada sesuatu bahaya yang ditakuti dari pihak mereka (yang kafir itu). Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan diriNya (menyeksa kamu). Dan kepada Allah jualah tempat kembali."

Surah Al-An'aam, Ayat 67

"Tiap-tiap khabar berita mempunyai masa yang menentukannya (yang membuktikan benarnya atau dustanya); dan kamu akan mengetahuinya."

Surah Ar-Ra'd, Ayat 11

"Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya."

Blog Archive