Feel free to email us at panehmiang@gmail.com.

Monday, October 13, 2008

Jejak Andalusia - Kenikmatan Sementara

Abdul Mukmin yang mengambil alih teraju pentadbiran Al-Muwahidun telah berusaha untuk memenuhi impian gurunya iaitu Muhammad bin Abdullah Tumrut. Beliau telah menyusun kembali barisan tentera Muwahidun sehingga menjadi semakin kuat pada 1130 Masihi. Pada 1137 Masihi, Abdul Mukmin telah berjaya menyatukan kabilah-kabilah yang terdapat dalam wilayah Tanmaal dan Saal dan seterusnya mula menyerang kembali kerajaan Murabitun. Serangan mula dilakukan ke atas negeri Telimsan yang berdekatan dengan Maghribi sehingga berjaya memaksa tentera kerajaan Murabitun berundur dari negeri yang dikuasainya.

Abdul Mukmin meneruskan kemaraannya ke Tunisia, Tripoli, Qairuan dan Madinah dan berjaya menawan semua kawasan tersebut. Pada peringkat ini, kerajaan Murabitun menjadi semakin lemah dan akhirnya kehilangan kuasa pemerintahan kepada kerajaan baru Muwahidun pada tahun 1146 Masihi (540 Hijrah). Namun kerajaan Muwahidun iaitu kerajaan Islam yang baru tidak berhenti setakat kekalahan kerajaan Murabitun. Mereka meneruskan serangan hingga ke negeri Jaraf dan berjaya menakluknya. Tentera Muwahidun juga telah berjaya menawan raja Portugis pada 1147 Masihi dan turut menakluk Almeria setelah berperang selama 4 tahun (1152 Masihi hingga 1156 Masihi). Seterusnya tentera Muwahidun menakluk Granada pada 1160 Masihi serta meneruskan serangan hingga ke lembah Yani’.

Tujuan Abdul Mukmin melakukan serangan ke semua negeri tersebut adalah untuk mempertahankan negeri Islam yang masih berada di bawah pemerintahan Islam agar ia tidak terlepas kepada kekuasaan Kristian Eropah. Di samping itu Abdul Mukmin ingin menyatukan kembali umat Islam yang telahpun berpecah-belah sebelum itu dan hanya ditadbir oleh satu kuasa sahaja iaitu kerajaan Muhawidun.

Di bawah pentadbiran Abdul Mukmin serta Yusof dan Yaakub yang mentadbir selepasnya, kerajaan Islam telah kembali kepada zaman kegemilangan mereka seperti pada zaman Bani Umaiyah. Mereka kembali memajukan ilmu pengetahuan, mengutamakan sarjana Islam dan alim ulama’, membina semula kelas-kelas pengajian dan juga perpustakaan yang kebanyakannya telah musnah semasa zaman pemerintahan kerajaan Muhabitun. Kerajaan Muwahidun juga terkenal kerana kekuatan armada tentera laut disamping tentera darat yang mereka miliki. Pada zaman 3 pemimpin ini, umat Islam amat digeruni disebabkan kemajuan teknologi yang mereka miliki sehingga mampu memiliki senjata dan kapal perang yang canggih (Zaman ini, negara Islam terpaksa membeli kelengkapan pertahanan dari negara bukan Islam).

Namun generasi sesudah 3 pemimpin tersebut telah menyebabkan kerajaan Islam kembali menjadi lemah. Akibat merasakan kerajaan mereka sudah kuat, pemimpin seterusnya tidak lagi menggalakkan penyuburan budaya menimba ilmu dan lebih menumpukan kepada pengajian agama serta menggalakkan rakyat agar beramal ibadah. Akibat leka dengan kedamaian dan keselesaan yang dikecapi, akhirnya kuasa pemerintahan tidak lagi dipedulikan. Bahkan tanggungjawab memerintah pula dirasakan sebagai beban kepada pemimpin Islam pada ketika itu untuk melakukan amal ibadah. Bahagian seterusnya akan dibincangkan mengenai peralihan kuasa Islam kepada Kristian.

1 comment:

  1. maaf lambat. blog tuan2 puan2 sudah diseneraikan. mohon pautan reciprocal.

    ReplyDelete

Blog Archive